'Ini adalah untuk anda, Malaysia!' Eshwin Kaur wakil negara, top 5 Miss Supranational 2025


  • Sukses
  • Jumaat, 27 Jun 2025

Eshwin akan kembali ke pentas akhir Miss Supranational pada awal pagi Ahad untuk berentap bersama empat finalis lain bagi merebut gelaran Miss Supranational 2025

MALAYSIA mencatat satu lagi detik membanggakan di pentas antarabangsa apabila wakil negara, Eshwin Kaur, diumumkan sebagai salah seorang daripada lima finalis terbaik pertandingan ratu cantik Miss Supranational 2025 yang berlangsung di Poland, awal pagi Jumaat.

Miss Supranational merupakan salah satu pertandingan ratu cantik antarabangsa paling berprestij di dunia yang memfokuskan kepada kecantikan, keperibadian dan kebolehan komunikasi peserta dalam menyampaikan mesej positif kepada masyarakat global.

Tahun ini, pertandingan menyaksikan penyertaan daripada lebih 70 negara, menjadikan persaingan antara yang paling sengit dalam sejarah penganjuran.

BACA LAGI: Ruang terhad bukan alasan, ada cara hias apartmen kecil tampak 'cozy', moden ala 'suite'

BACA LAGI: Bingkai gambar, kusyen bukan sekadar pelengkap hiasan, mampu ubah ruang biasa jadi wow!

Eshwin, yang mewakili Malaysia dengan penuh semangat, melahirkan rasa syukur dan terharu selepas diumumkan sebagai finalis lima terbaik bersama wakil dari Filipina, Brazil, Curacao dan Amerika Syarikat.

"Hai semua! Baru habis! Ini adalah untuk anda, Malaysia! Terima kasih banyak-banyak! Saya sangat gembira! Ash tak boleh mengucapkan betapa gembira saya! Terima kasih banyak-banyak untuk semua sokongan yang tetap di atas Tunggu sampai 2 pagi untuk menonton! Terima kasih banyak-banyak! Ini adalah untuk anda, Malaysia!” katanya penuh emosi sejurus selepas diumumkan mara ke pentas akhir.

Momen menyentuh hati turut dikongsikan menerusi laman rasmi Miss Supranational apabila pesanan istimewa daripada pasukan dan penyokong Eshwin dikongsikan untuk menyuntik semangat sebelum malam kemuncak.

"Eshwin yang dikasihi!

"Apa sahaja yang berlaku sebelum ini, biarkan ia berlalu. Malam ini adalah yang paling penting. Ini ialah detik anda.

"Berikan segalanya. Tunjukkan kepada dunia bahawa anda bukan sekadar seorang finalis. Anda ialah seseorang yang benar-benar layak untuk mahkota Miss Supranational 2025.

"Anda telah banyak berkorban, bekerja siang dan malam dan memikul harapan seluruh negara. Kini, berdirilah dengan bangga di pentas itu dan bawa pulang mahkota untuk Malaysia."

Sokongan rakyat Malaysia jelas terpancar di ruangan komen media sosial rasmi pertandingan yang dibanjiri ucapan tahniah dan semangat kepada Eshwin sejak awal pagi lagi.

Walaupun keputusan rasmi siapa yang bakal menjulang mahkota Miss Supranational 2025 belum diumumkan sepenuhnya, kejayaan Eshwin melangkah sejauh ini sudah cukup membuktikan keupayaan Malaysia bersaing di pentas dunia dalam arena ratu cantik.

Rata-rata rakyat Malaysia turut meluahkan rasa bangga melihat pencapaian Eshwin yang bukan sahaja mempersembahkan keanggunan tetapi juga intelek dan keperibadian tinggi di peringkat antarabangsa.

Untuk info, Miss Supranational merupakan pertandingan ratu cantik antarabangsa yang berpangkalan di Poland dan mula diperkenalkan pada 2009.

Pertandingan itu dikenali sebagai salah satu daripada 'Big Five' dalam dunia ratu cantik, seiring dengan pertandingan seperti Miss Universe dan Miss World.

Setiap tahun, ratusan wanita dari seluruh dunia menyertai pertandingan itu bagi merebut gelaran yang melambangkan keanggunan, kecemerlangan dan peranan sebagai duta global.

Eshwin akan kembali ke pentas akhir Miss Supranational pada awal pagi Ahad untuk berentap bersama empat finalis lain bagi merebut gelaran Miss Supranational 2025 di Poland. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram