
HIPERTENSI atau tekanan darah tinggi kini menjadi isu kesihatan global yang menjejaskan hampir separuh daripada golongan dewasa di Amerika Syarikat (AS).
Selain pengambilan ubat dan pemakanan sihat, pakar menekankan bahawa rutin pagi juga memainkan peranan penting dalam mengawal tekanan darah.
Berikut enam amalan waktu pagi disokong oleh pakar kesihatan, yang boleh membantu anda memulakan hari dengan lebih sihat dan stabil dari segi tekanan darah:
BACA LAGI: Pekerja duduk terlalu lama berpotensi dapat hipertensi
BACA LAGI: Ketahui senarai 'influencer' hijab tempatan dijadikan inspirasi dan ikutan oleh gadis muda
1. Hadkan masa skrin
Memulakan hari dengan menyemak telefon pintar atau berita boleh meningkatkan tekanan, terutama jika terdedah pada kandungan beremosi atau provokatif di media sosial.
Menurut pakar Certified Strength and Conditioning Specialists (CSCSs), Brooke Matheson, aktiviti yang menenangkan seperti berjalan kaki, bermeditasi, mandi air suam atau mendengar muzik lembut mampu mengaktifkan sistem saraf parasimpatetik dan menurunkan tekanan darah.
2. Ambil sarapan tinggi kalium
Kalium penting untuk mengimbangi tahap natrium dalam badan dan membantu melonggarkan salur darah.
Pakar pemakanan jantung, Michelle Routhenstein menyarankan diet Dietary Approaches to Stop Hypertension (DASH) yang menekankan pengambilan kalium menerusi makanan seperti pisang, kentang, yogurt Greek, aprikot dan jus oren.
Memulakan hari dengan menyemak telefon pintar atau berita boleh meningkatkan tekanan.
3. Luangkan masa di luar rumah
Cahaya matahari pagi bukan sahaja menyokong penghasilan vitamin D yang penting untuk kelenturan salur darah tetapi juga membantu mengatur ritma tubuh.
Masa di luar rumah dikaitkan dengan pengurangan tekanan, peningkatan pergerakan fizikal dan kesejahteraan emosi.
4. Pantau bacaan tekanan darah
Memantau tekanan darah di rumah memberi gambaran sebenar tentang pola harian.
Pakar kardiologi intervensi, Dr. Jeffrey Le berkata, memahami corak tekanan darah sepanjang hari adalah lebih penting berbanding hanya satu bacaan semata-mata.
Bacaan melebihi 180/120 milimeter merkuri (mmHg) memerlukan perhatian perubatan segera.
5. Amalkan pernafasan dalam
Senaman pernafasan seperti pernafasan diafragmatik dapat mengurangkan tekanan darah dan kadar degupan jantung.
Amalan itu bukanlah sesuatu yang baharu, namun kini semakin diiktiraf dari sudut saintifik kerana kesannya yang positif terhadap kesihatan kardiovaskular.
6. Kawal pengambilan kafein
Meskipun kopi atau teh boleh menjadi sebahagian daripada rutin pagi, pengambilan berlebihan boleh menyebabkan lonjakan sementara tekanan darah.
Kajian mendapati satu hingga tiga cawan kopi sehari biasanya selamat, malah kopi dan teh hijau mengandungi antioksidan yang boleh membantu menyeimbangkan kesan kafein.
Pengambilan kafein berlebihan boleh menyebabkan lonjakan sementara tekanan darah.
Pakar turut menyarankan beberapa langkah tambahan sepanjang hari bagi menyokong tekanan darah yang sihat:
1) Tidur berkualiti
Kurang tidur atau gangguan tidur seperti apnea boleh meningkatkan tekanan darah.
Jika anda menggunakan alat bantuan pernafasan Continuous Positive Airway Pressure (CPAP), pastikan ia digunakan dengan konsisten.
2) Kawal stres
Teruskan teknik pengurusan tekanan sepanjang hari, seperti berhenti seketika daripada skrin, melakukan regangan atau senaman pernafasan ringan setiap beberapa jam.
3) Kekal aktif
Tak kira masa atau jenis aktiviti, yang penting ialah pergerakan. Senaman membantu menstabilkan tekanan darah dan menyokong kesihatan mental.
4) Hadkan alkohol
Individu dengan hipertensi disarankan mengehadkan atau mengelakkan pengambilan alkohol kerana ia boleh menaikkan tekanan darah walaupun dalam kuantiti kecil.
Mengawal tekanan darah bukan sekadar soal ubat atau senaman, tetapi juga berkait rapat dengan bagaimana anda memulakan hari.
Tabiat pagi yang bijak seperti menghadkan masa skrin, menikmati cahaya matahari pagi, mengambil makanan kaya kalium dan mengamalkan pernafasan dalam boleh membawa perubahan besar dalam jangka panjang.
Namun begitu, pemeriksaan berkala dengan doktor tetap menjadi keutamaan bagi memastikan tekanan darah anda kekal terkawal dan risiko komplikasi dapat diminimumkan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram