
LAMBAIAN terakhir dari tingkap wad hospital menjadi memori terakhir yang tersimpan kemas dalam ingatan si isteri sebelum insan tersayang pergi buat selama-lamanya, sekitar dua tahun lalu.
Kehilangan suami akibat serangan jantung mengejut masih segar dalam hati wanita tersebut, yang dengan cekal dan tenang membesarkan tiga anak mereka selepas tragedi hitam pada 1 Ogos 2023.
Berkongsi semula kisah itu di aplikasi Threads milik pengguna bernama shakirahfz, beliau berkata, semuanya bermula pada 27 Julai 2023, apabila menerima panggilan telefon daripada suami yang mengadu rasa ingin pitam selepas bermain ragbi.
BACA LAGI: [VIDEO] Pesona adibusana Syahrini dan Cinta Laura menyinar di Festival Filem Cannes 2025
Menurutnya, walaupun ditawarkan bantuan untuk diambil, arwah menolak dan sempat meminta maaf kerana tidak dapat membelikan makan malam buat isterinya.
“Saya tunggu dia di rumah dengan anak-anak, tidak tahu rupa-rupanya dia kena serangan jantung.
"Arwah sampai rumah terus masuk bilik air, muntah-muntah dan mengadu sakit dada teramat sangat,” tulisnya.
Tambahnya, arwah suami segera dibawa ke Jabatan Kecemasan sebuah hospital, namun wanita tersebut hanya mampu menunggu dalam kereta kerana menjaga anak-anak kecil.
Detik yang tidak dapat dilupakan apabila menerima panggilan dari pihak hospital memaklumkan suaminya sedang nazak dan mereka memerlukan kebenaran waris untuk memulakan rawatan kecemasan.
“Saya menangis dan menggigil, kemudian telefon ibu saya dan ibu mentua untuk sampaikan berita tersebut, jantung laju selajunya,” kongsinya.
Ceritanya, selepas dua hari di Jabatan Kecemasan, keadaan arwah stabil dan dipindahkan ke wad.
Sepanjang tempoh itu, mereka sempat berbual, bergelak ketawa dan juga menangis bersama.
"Sempat lagi dia tenangkan saya cakap, 'jangan risau sayang, saya okey ni. Cuma saya fikir, kalau hidup lepas ini, mesti akan susahkan orang'.
"Maksudnya dah sakit jantung kan, kenalah pergi buat pemeriksaan dan tak boleh buat kerja berat," ujarnya mengimbas kata-kata terakhir suami.
Namun pada awal pagi 1 Ogos 2023, beliau dikejutkan dengan panggilan telefon menyatakan suaminya kembali kritikal dan sedang menjalani bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR).
Setibanya di hospital, beliau disambut oleh seorang doktor wanita yang menyerahkan lukisan anaknya yang ditemui di tempat tidur arwah.
“Saya fikirkan anak dia, jadi kami cuba sedaya upaya untuk selamatkan dia,” kata doktor tersebut.
Namun wanita itu tahu, tubuh suaminya sudah mulai sejuk. Dengan penuh reda, beliau meminta doktor menghentikan CPR.
“Saya kucup tangan dan dahi arwah buat kali terakhir dan bisikkan yang saya reda,” ujarnya.
Selepas dua tahun berlalu, wanita itu meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang berbakti kepada suaminya di saat-saat terakhir.
Kini, beliau membesarkan tiga cahaya matanya dengan penuh ketabahan dan menganggap anak-anaklah sebenarnya sumber kekuatan yang sebenar.
“Dulu orang kata saya kuat, sebenarnya anak-anak yang kuat. Mereka adalah wira saya,” ucapnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram