[VIDEO] Kostum pari-pari antara bahan pameran Muzium V&A, cerminan komitmen Kate Middleton terhadap pendidikan awal kanak-kanak


  • Maya
  • Jumaat, 01 Ogos 2025

Paparan bertajuk 'Makers and Creators' itu merupakan hasil lawatan Kate ke stor simpanan muzium tersebut. — Agensi

PUTERI Wales, Catherine Britain atau lebih dikenali sebagai Kate Middleton, menarik perhatian dunia seni apabila memilih sendiri beberapa objek bersejarah untuk dipamerkan dalam satu pameran mini di Muzium Victoria & Albert (V&A), United Kingdom (UK).

Antara pilihan peribadi beliau termasuklah lukisan cat air landskap hutan karya penulis kanak-kanak tersohor, Beatrix Potter dan kostum pari-pari daripada produksi balet The Sleeping Beauty oleh Royal Ballet pada 1960, rekaan pereka teater terkenal, Oliver Messel.

Paparan bertajuk Makers and Creators itu merupakan hasil lawatan Puteri Catherine ke stor simpanan muzium tersebut serta kemudahan terbaharu V&A East yang berkonsepkan 'atas permintaan' pada Jun lalu.

BACA LAGI: Jenayah 'love scam' belum ternoktah, skuad petugas khas jadi 'mata-mata' pantau platform media sosial

BACA LAGI: Jenayah 'love scam' belum ternoktah, skuad petugas khas jadi 'mata-mata' pantau platform media sosial

 

 

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan sempena pameran tersebut, Catherine berkata, objek boleh menceritakan sebuah kisah.

"Sekumpulan objek boleh membentuk satu naratif tentang masa lalu kita dan sebagai inspirasi masa hadapan,” katanya.

Beliau menambah, gabungan objek unik boleh membantu masyarakat meneroka pengalaman sosial dan budaya serta memahami peranan individu dalam struktur kehidupan yang lebih luas.

Antara objek lain yang dipilih termasuklah pasu porselin biru-putih dari Dinasti Qing yang dihasilkan antara 1662 hingga 1722, selimut buatan tangan dari Wales bertarikh 1830 hingga 1840 dan jubin tanah liat abad ke-15 dari Somerset, selatan England.

Pihak V&A dalam kenyataan memaklumkan, pameran itu bukan sekadar meraikan seni pencipta-pencipta masa lampau, malah turut menunjukkan bagaimana objek bersejarah terus memberi pengaruh kepada bidang fesyen, seni reka, filem dan kreativiti masa kini.

Kate (kiri) ketika melawat pameran mini di Muzium V&A, UK. — Agensi

Pilihan objek oleh Kate juga dikatakan mencerminkan minat beliau terhadap alam semula jadi dan komitmennya terhadap pembangunan pendidikan awal kanak-kanak.

Melalui inisiatif Order an Object, pengunjung diberi peluang untuk meneliti objek-objek tersebut dari jarak dekat secara percuma.

Mereka hanya perlu membuat tempahan awal melalui katalog dalam talian muzium dan menetapkan janji temu bersama kakitangan khas.

Sebanyak satu perlima daripada keseluruhan koleksi muzium kini boleh diakses di bangunan empat tingkat V&A East Storehouse yang dibina di bekas tapak Sukan Olimpik London 2012.

Pameran mini pilihan Catherine dijangka terus dibuka untuk kunjungan orang ramai sehingga awal 2026. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram