[VIDEO] Siap 'transfer' duit tiket, pegawai imigresen gagalkan perjalanan wanita ke Pakistan, didakwa jadi mangsa 'love scam'


  • Maya
  • Jumaat, 01 Ogos 2025

Siasatan lanjut mendapati wanita tersebut membiayai sendiri segala kos perjalanan dan perbelanjaan semasa berada di Pakistan. — Gambar hiasan

TINDAKAN tangkas pegawai Imigresen Jakarta Selatan, Indonesia berjaya menggagalkan cubaan seorang wanita tempatan untuk ke Pakistan bagi bertemu teman lelaki yang hanya dikenalinya melalui media sosial.

Kejadian itu dikongsikan menerusi laman Instagram rasmi Pejabat Imigresen Jakarta Selatan @kanimjaksel pada 17 Julai lalu sebelum menjadi tular.

Rakaman tersebut menunjukkan wanita tersebut dihentikan daripada meneruskan perjalanannya setelah disyaki menjadi mangsa penipuan cinta siber.

BACA LAGI: Pengesahan identiti 'dating app' boleh halang 'love scammer' cipta akaun palsu, pengguna perlu buat tetapan privasi lebih bijak

BACA LAGI: Jenayah 'love scam' belum ternoktah, skuad petugas khas jadi 'mata-mata' pantau platform media sosial

 

 

Dalam video berkenaan, pegawai imigresen kelihatan tenang namun tegas ketika menyoal wanita berkenaan di kaunter pemeriksaan.

"Awak nak pergi mana?" soal pegawai.

"Ke Pakistan untuk bertemu teman lelaki saya," jawab wanita itu.

Pegawai kemudian mula menyelidik identiti lelaki yang dikatakan tersebut.

Menurut pengakuan wanita itu, lelaki berkenaan merupakan warganegara Pakistan yang tidak pernah menetap di Indonesia.

Mereka hanya berkenalan melalui Facebook dan berinteraksi secara maya menerusi panggilan video.

Lebih membimbangkan, wanita tersebut turut mengaku bahawa ibu bapanya tidak tahu tentang niatnya ke luar negara.

“Teman lelaki minta saya jangan beritahu ibu bapa,” ujarnya.

Siasatan lanjut mendapati wanita tersebut telah membiayai sendiri segala kos perjalanan dan perbelanjaan semasa berada di Pakistan.

Untuk tiket pulang ke Indonesia pula, wanita tersebut telah memindahkan wang berjumlah 5 juta rupiah (RM1,300) kepada teman lelakinya dengan harapan lelaki itu akan membelikan tiket kepulangannya seperti yang dijanjikan.

Setelah mendengar pengakuan itu, pegawai imigresen segera mengambil tindakan berjaga-jaga.

"Kamu percaya dengan teman lelaki kamu sedangkan belum pernah berjumpa?" soalnya lagi.

Beliau menjelaskan kepada wanita tersebut bahawa berdasarkan pengalamannya, kes seumpama itu sering kali dikaitkan dengan penipuan cinta siber.

Ia satu bentuk eksploitasi yang semakin berleluasa dan boleh membawa pada jenayah lebih serius seperti pemerdagangan manusia.

"Saya sering menghadapi kes seperti ini dan kebiasaannya ini adalah modus operandi penipu.

"Takut nanti apabila awak sudah beri sejumlah wang ke teman lelaki, tiba-tiba teman lelaki tak boleh dihubungi, siapa yang nak dikejar?

"Bagaiamana pula kalau selepas tiba di sana, awak dibiarkan sendirian atau jadi mangsa pemerdagangan manusia?

"Awak pun tiada ahli keluarga di sana bukan?" soal pegawai itu lagi.

Difahamkan, pihak imigresen mengambil keputusan untuk menolak permohonan perjalanan wanita tersebut.

Pegawai memaklumkan, terdapat petunjuk kukuh menunjukkan wanita itu berada dalam situasi berisiko tinggi menjadi mangsa eksploitasi, sama ada dalam bentuk penipuan cinta, pemerdagangan atau penyeludupan manusia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel danTelegram