
PERNAHKAH anda rasa letih walaupun tubuh tidak melakukan kerja berat?
Atau terasa seolah-olah semua hal dalam rumah perlu anda urus, dari perkara besar seperti bajet bulanan hingga hal remeh seperti periksa minyak enjin kereta?
Jika ya, anda mungkin sedang memikul sesuatu yang dipanggil mental load, iaitu beban emosi dan kognitif yang sering tidak disedari, namun memberi impak besar pada kesejahteraan diri.
BACA LAGI: Pembuluh darah kepala pecah, suri rumah stres 24 jam jaga anak kini berjuang nyawa di ICU
Mental load merujuk pada kerja tidak kelihatan yang melibatkan perancangan, pemikiran dan pengurusan hal-hal harian, kebanyakannya dilakukan secara senyap dan berterusan, tanpa cuti atau penghargaan.
Berdasarkan perkongsian pengguna TikTok dengan nama akaun quincemelon, beban itu biasanya ditanggung oleh wanita, hasil peranan tradisional yang diwarisi daripada norma budaya dan struktur jantina.
“Contoh mudah, wanita bukan sekadar membasuh baju. Dia juga perlu ingat baju siapa belum dibasuh, sabun cukup atau tidak, bila sesuai untuk sidai baju dan apakah cuaca hari ini mengizinkan?
"Ia mental load, bukan tenaga fizikal tapi kerja otak yang tak berhenti,” katanya.
Antara kerja tidak rasmi adalah mengingati tarikh penting seperti ulang tahun, janji temu doktor, mesyuarat suami.
Selain itu, kerja lain termasuklah periksa kerja sekolah anak dan rancang menu harian serta bajet isi rumah.
"Jaga kestabilan emosi ahli keluarga dan rancang percutian, kenduri, hadiah serta jadual harian semua orang," katanya.
Kerja-kerja begitu jarang dilihat sebagai ‘tugas sebenar’ kerana ia tidak fizikal, tetapi hakikatnya ia menuntut tenaga mental yang tinggi dan konsisten.
Antara sebab utama wanita lebih terbeban ialah:
1) Norma budaya – Sejak kecil, wanita dilatih untuk menjadi ‘penjaga rumah’, memikirkan kebajikan orang lain terlebih dahulu.
2) Peranan pengurus mental – Lelaki sering hanya bertindak apabila diarahkan, menjadikan wanita secara automatik memikul beban pengurusan.
3) Tak minta tolong, tapi bukan bermakna tak perlu bantuan – Ramai wanita penat untuk sentiasa mengarah dan memberi arahan. Mereka tidak mahu dilihat sebagai bossy, walhal mereka perlukan rehat.
Kesan psikologi
Mental load yang tidak ditangani boleh menyebabkan:
1) Burnout walaupun tiada kerja fizikal berat
2) Mudah marah dan cepat tersinggung
3) Rasa sunyi dan tidak dihargai
4) Kemurungan dan hilang minat terhadap pasangan atau anak
5) Rasa tidak cukup baik walaupun sudah lakukan segala-galanya
Isteri perlu meminta pasangan ambil tahu tentang kerja rumah secara aktif, bukan tunggu disuruh.
Apa penyelesaiannya?
Penyelesaian tidak terletak pada 'tolong sekejap-sekejap' atau 'suruh buat bila perlu'. Sebaliknya, ia perlu kepada:
1) Komunikasi terbuka – Pasangan perlu berbincang dan kenal pasti beban yang tidak nampak itu
2) Delegasi realistik – Bukan sekadar bantu, tetapi ambil tanggungjawab penuh sesuatu tugas dari A sampai Z
3) Penerimaan bahawa rumah tak perlu sempurna, diri sendiri lebih utama
4) Dokumentasi beban mental – Bila ditulis dan dibincangkan, ia lebih difahami
5) Minta pasangan ambil tahu secara aktif, bukan tunggu disuruh
Kadangkala, orang yang menanggung mental load tidak perlukan nasihat. Mereka hanya ingin difahami.
Ingin diberi ruang untuk berehat tanpa rasa bersalah, ingin tahu bahawa nilai diri mereka tidak bergantung pada berapa banyak kerja yang diselesaikan.
Paling penting, ingin dibenarkan untuk penat tanpa perlu minta izin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram