
“MELENTUR buluh biarlah dari rebungnya, tapi bagaimana mahu melentur jika air dalam telaga pun sudah keruh?”
Itu persoalan ditimbulkan pempengaruh sastera, Zhiddin Aziz, sebaik ditanya bagaimana beliau melihat usaha ibu bapa kini dalam memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan anak-anak.
Zhiddin menyeru ibu bapa agar memainkan peranan membimbing anak-anak mencintai dan menggunakan bahasa Melayu sedari kecil, bukan hanya sebagai bahasa komunikasi, tetapi juga lambang jati diri.
BACA LAGI: Guna Bahasa Melayu di pentas antarabangsa satu keputusan berani — Pakar
“Kalau sejak kecil anak sudah dibiasakan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa sulung, jangan bermimpi di siang hari untuk mereka mencintai bahasa Melayu,” katanya ketika ditemui Majoriti, baru-baru ini.
Menurut pengacara itu, anak-anak belajar melalui teladan, jika ibu bapa tidak mengangkat keindahan bahasa sendiri, mereka juga tidak akan melihat nilainya.
Jejaka berusia 22 tahun itu juga sempat berkongsi pengalaman peribadi tentang didikan yang diterimanya di rumah sewaktu kecil.
Pengaruh arwah bapa yang gemar bersajak dan berpuisi di rumah menjadikan beliau dekat dengan bahasa ibunda.
"Apa yang wali keramat (bapa) lakukan pada diri saya, dari kecil (beliau) memang selalu bercakap tentang kehindahan bahasa.
"(Secara) tiba-tiba saja arwah ayah boleh bersajak, berpuisi sambil menonton filem Tamil. 'Bergegar' dinding-dinding rumah dengan kehindahan bahasa.
"Saya budak kecil mana nak suka sajak kan?" ceritanya menambah, ibunya juga kini cenderung menggunakan peribahasa dalam status WhatsApp miliknya.
Namun jelasnya, ibu bapa yang sejak awal memperkenalkan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama kepada anak-anak tidak perlu kesal, kerana masih tidak terlambat untuk memartabatkan bahasa Melayu.
Bagi pemilik nama lengkap Mas Zhiddin Zhiddan itu, ibu bapa tidak perlu menjadi pakar, cukup berterusan menterjemahkan keindahan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian anak-anak.
"Orang kata kalau nak jadi pengembala kambing, tak perlu pun kita jadi kambing," ujarnya.
Pengaruh bahasa Indonesia
Dalam era digital, penggunaan bahasa Indonesia dalam kalangan kanak-kanak dan remaja semakin ketara, terutama melalui media sosial dan kandungan hiburan.
Namun Zhiddin menegaskan, perkara itu tidak wajar dianggap sebagai ancaman, sebaliknya perlu difahami dalam konteks perkembangan bahasa.
“Tidak salah jika anak-anak menggunakan bahasa Indonesia kerana mereka sedang berkembang.
"Malah otak mereka akan lebih kritikal apabila mampu menyelami lebih daripada satu bahasa,” jelas anak bongsu daripada enam beradik itu.
Beliau bagaimanapun berkata, walau apa jua bahasa lain yang anak-anak pelajari, bahasa Melayu sepatutnya menjadi bahasa asas yang boleh menyatukan komunikasi serantau di Nusantara.
“Kalau gunakan bahasa Melayu dari Malaysia, kita boleh bercakap dengan orang Brunei, Singapura, Indonesia tapi kalau hanya kuasai bahasa Indonesia, belum tentu boleh bercakap dengan semua,” katanya.
Namun Zhiddin juga mengingatkan bahawa penggunaan bahasa Indonesia tidak harus memadamkan akar asal bahasa Melayu yang menjadi tunjang bahasa serumpun.
Bahasa Indonesia itu sendiri katanya, adalah penyempurnaan daripada bahasa Melayu.
"Kita perlu sedar bahawa akarnya tetap sama. Contohilah mereka yang mempunyai kemahiran untuk berbahasa.
"Saya boleh katakan tak menjadi kesalahan untuk anak-anak menggunakan bahasa Indonesia kerana mereka akan terus berkembang," bicaranya.
Mengulas mengenai kebimbangan sesetengah pihak termasuk guru-guru yang mendapati pelajar semakin cenderung menggunakan istilah bahasa Indonesia dalam penulisan, Zhiddin berkata, ia adalah hasil daripada kekeliruan terhadap identiti bahasa sendiri.
“Perkataan seperti teman, tunjangan dan seantero itu semua memang wujud dalam khazanah bahasa Melayu.
"Kita patut berterima kasih kepada Indonesia kerana memperkukuh bahasa dan secara tidak langsung mengingatkan kita tentang warisan yang sama,” ujarnya.
Zhiddin yang memiliki 1.2 juta pengikut di TikTok turut menegaskan, bahasa yang tidak berkembang atau menolak pinjaman akhirnya akan mati, seperti yang berlaku pada Sanskrit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram