Miniland bertema Singapura tarikan baharu di Nusajaya, guna 1.5 juta bata mini Lego


  • Bisnes
  • Ahad, 03 Ogos 2025

Replika Marina Bay Sands Lego di Miniland antara tarikan terbaharu di Legoland Malaysia. — THOMAS YONG/The Star

JOHOR menjadi hab pembinaan model Lego universal sejak 16 tahun lalu. Versi mini bangunan ikonik dunia, termasuk pencakar langit yang mengagumkan, dihasilkan satu demi satu menggunakan bata kecil Lego.

Terletak di sebuah kilang industri di Bandar Indahpura, Kulai, Pusat Pengeluaran Lego Merlin Magic Making (MMM) yang turut dikenali sebagai Merlin Entertainment Studios (M) Sdn Bhd, berfungsi sebagai pusat kreatif dan teknikal untuk penghasilan model Lego bagi rantau Asia Pasifik.

Pengurus kanan pengeluaran model Lego Asia, Leina Rahim, 44, berkata, model-model yang siap akan dihantar dari hab MMM di Johor ke taman tema Legoland di seluruh dunia.

BACA LAGI: Lakaran iPad jadi corak hijab, budak politeknik buka mata ayah, buktikan mampu urus jenama hijab sendiri

BACA LAGI: Yogurt kelapa Ladang Amirah bebas tenusu, ciptaan geliga pasangan suami isteri dari Pontian

The Merlin Magic Making (MMM) team installs the Singapore Flyer replica with due care and close attention to safety, ensuring a secure and seamless addition to the new miniland expansion at Legoland Malaysia. — THOMAS YONG/The Star

Pasukan MMM memasang replika Singapore Flyer yang bakal menjadi tarikan baharu pengunjung di Miniland, Legoland Malaysia. — THOMAS YONG/The Star

“Projek terbaharu ialah menyiapkan 529 replika untuk Miniland di Legoland Shanghai, China yang baru sahaja dibuka bulan ini.

“Kami mempunyai pasukan seramai 91 orang dengan hampir semuanya rakyat tempatan yang terlibat dalam keseluruhan proses.

"Ia meliputi konsep dan reka bentuk, pembinaan model, ujian, pemasangan lampu sehinggalah instalasi model di taman tema,” katanya.

Hab itu membekalkan model ke 11 taman tema di seluruh dunia termasuk di Jerman dan Amerika Syarikat.

Leina berkata, beberapa model memerlukan struktur sokongan menggunakan keluli di bahagian dalam bagi memastikan keselamatan dan ketahanan.

Ia termasuklah replika Menara Lotte setinggi 11 meter untuk Miniland di Korea Selatan.

Miniland tarikan baharu Legoland Malaysia

Satu lagi projek utama ialah pembinaan dan pemasangan 16 model berskala besar bertemakan Singapura untuk Miniland baharu di Legoland Malaysia yang dibuka kepada umum pada 1 Ogos lalu.

Taman tema pertama di Asia berasaskan Lego di Iskandar Puteri hanya terletak kira-kira 30 kilometer (km) dari fasiliti MMM di Kulai.

“Ia sangat mengujakan kerana beberapa model akan dilengkapi ciri interaktif seperti bunyi, lampu dan komponen bergerak,” katanya, sambil memberitahu, semua model dibina menggunakan Lego yang diterbangkan khas dari luar negara.

Ditanya mengenai tempoh pembinaan model, Leina menjelaskan bahawa ia berbeza-beza, yang mana ada model mengambil masa sehingga 500 jam dari peringkat reka bentuk hingga siap sepenuhnya.

Leina (depan, kanan) bersama pasukannya di Merlin Magic Making menunjukkan replika mercu tanda ikonik Singapura yang akan dipamerkan di Miniland, Legoland Malaysia. — THOMAS YONG/The Star

Setiap taman tema Legoland mempunyai keunikan tersendiri kerana reka bentuk Miniland akan disesuaikan berdasarkan mercu tanda ikonik sesebuah negara.

“Kami juga mengambil kira budaya dan gaya hidup masyarakat setempat.

"Elemen ini dimasukkan dalam rekaan Minilander (watak manusia kecil) termasuk pakaian mereka,” jelasnya.

Fasiliti itu ditubuhkan pada 2009 dan secara rasmi dinamakan sebagai hab pengeluaran model Lego untuk Asia pada 2018.

Ia bertanggungjawab terhadap keseluruhan proses penciptaan model Miniland daripada reka bentuk hingga pemasangan untuk taman-taman tema Legoland di bawah kendalian Merlin Entertainments di rantau Asia Pasifik.

Ketua pasukan pengeluaran model Lego, Muhammad Fais Isa, yang memiliki Ijazah Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua, menyertai MMM 10 tahun lalu selepas meninggalkan dunia pendidikan.

Guna lebih sejuta Lego

Pemuda berusia 34 tahun itu berkata, pembinaan 16 model bertemakan Singapura mengambil masa kira-kira 16,000 jam dan menggunakan 1.5 juta bata Lego.

“Model Marina Bay Sands agak mencabar kerana biasanya model Lego kami melibatkan satu menara sahaja.

"Namun untuk projek ini, ia melibatkan tiga menara berasingan dengan pelantar di bahagian atas.

“Model ini setinggi kira-kira 4 meter dan seberat 1426 kilogram (kg), termasuk 260kg keluli sebagai rangka sokongan,” katanya.

Merlin Magic Making (MMM) serves as the creative force behind the intricate model designs at Legoland Malaysia, bringing iconic landmarks to life brick by brick. — THOMAS YONG/The Star

Pembinaan 16 model bertemakan Singapura di Miniland mengambil masa kira-kira 16,000 jam dan menggunakan 1.5 juta bata Lego. — THOMAS YONG/The Star

Bagi pembangun reka bentuk MMM, Muhammad Nazrin Kamarul Bahrin, 38, proses reka bentuk tidak sekadar bergantung kepada blueprint semata-mata, tetapi dimulakan dengan pengalaman sebenar.

“Sebaik sahaja kita memilih mercu tanda, kita akan menghantar pasukan ke lokasi sebenar.

“Kami ambil ribuan gambar pada waktu siang dan malam. Kami perhatikan semuanya dari bangunan, warna hinggalah apa yang orang makan.

"Bahkan tong sampah pun kita rakam. Perincian sekecil-kecil itu memberi identiti dan ‘jiwa’ sesebuah bandar," katanya.

Muhammad Nazrin berkata, pembinaan setiap satu Miniland mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk disiapkan meliputi proses penyelidikan, kelulusan, pemodelan 3D, pembangunan teknikal dan ujian di lokasi sebelum dipasang sepenuhnya.

Keselamatan dan kestabilan struktur menjadi keutamaan bagi pengurus teknikal penghantaran, Syed Mohd Izzudin Syed Abu Bakar, 42.

“Kami perlu memasukkan rangka keluli bagi memastikan model Marina Bay Sands itu selamat ditampung,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan pencahayaan, bunyi dan sistem automasi dalam pembinaan replika.

The technician carefully inspects each component assembled, ensuring every detail matches the real-life icon with precision and accuracy. — THOMAS YONG/The Star

Seorang juruteknik Merlin Magic Making sedang memeriksa setiap komponen yang dipasang adalah tepat seperti rekaan asalnya. — THOMAS YONG/The Star

Sementara itu, pereka model Lego, Chai Shu Ling, 29, berkata, selain memastikan struktur stabil, fokus utamanya ialah menjadikan replika kelihatan menonjol.

“Perkara pertama yang kami tanya ialah apa yang akan menarik perhatian orang ramai?

“Untuk replika Cloud Forest, kami tahu ia adalah air terjun.

“Ia mesti menarik secara visual tetapi perlu masih stabil dari segi struktur.

“Kami uji teknik, teroka warna baharu dan atasi cabaran bersama-sama,” katanya.

Dengan 1,600 Minilander dipaparkan sepanjang projek itu, Chai berkata, setiap perincian kecil diberikan perhatian khusus.

“Kami pastikan setiap tumbuhan adalah unik, tetapi tidak mengganggu struktur utama.

“Semuanya tentang keseimbangan. Walaupun dibina dengan bata Lego, kami mahu model-model ini terlihat dan terasa ‘hidup’,” ujarnya. — THE STAR / NELSON BENJAMIN & RHEMA SENG

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram