Pernah jadi bos 4 cawangan kedai telefon, wanita dari Ipoh ikut jejak ibu pandu bas di Singapura


  • Bisnes
  • Isnin, 04 Ogos 2025

Chow (kanan) meninggalkan bisnes kedai telefon dan mengikut jejak langkah ibunya menjadi pemandu bas wanita di Singapura.

BUKAN impian bagi seorang budak perempuan untuk menjadi pemandu bas. Begitu juga dengan Chow Pei Guan semasa dia masih kecil.

Namun, takdir membawa wanita berusia 45 tahun dari Ipoh itu menyusuri laluan tersebut apabila dia kini menjadi pemandu bas berjaya di Singapura.

Apa yang menjadikan kisah Chow lebih istimewa, kerjaya itu sebenarnya diwarisi daripada ibunya sendiri.

BACA LAGI: Lakaran iPad jadi corak hijab, budak politeknik buka mata ayah, buktikan mampu urus jenama hijab sendiri

BACA LAGI: Yogurt kelapa Ladang Amirah bebas tenusu, ciptaan geliga pasangan suami isteri dari Pontian

Pada 2017, Chow berhijrah ke Singapura dan menyertai syarikat Go-Ahead Singapore sebagai pemandu bas. — Go-Ahead Singapore

“Saya selalu anggap kerja bawa bas ini kerja lelaki,” kata Chow.

Hakikatnya, ibunya, Tay Kwe Huah, bergelar pemandu bas di Singapura sejak 1997 dan masih berkhidmat hingga hari ini.

Chow memulakan kerjaya dalam bidang jualan telefon bimbit di Ipoh sekitar tahun 2001.

Dalam tempoh dua tahun, dia berjaya membuka kedai sendiri, menawarkan perkhidmatan jual beli, aksesori dan baik pulih telefon sebelum perniagaannya berkembang daripada satu kepada empat cawangan.

Namun, kejayaan itu tidak kekal lama. Tahun 2014 menyaksikan jualan mula merosot dan keadaan menjadi lebih parah pada 2015 apabila kerajaan memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Harga barang naik, margin keuntungan makin kecil. Saya terpaksa tutup satu demi satu cawangan,” katanya.

Akhirnya, pada 2016, kedai terakhirnya turut gulung tikar.

Saat Chow buntu memikirkan masa depan, ibunya menyarankan agar dia mempertimbangkan kerjaya sebagai pemandu bas kerana lebih stabil dan menjamin faedah lebih baik.

Walaupun tidak pernah terlintas untuk mengikut jejak langkah ibunya, kenangan zaman remaja Chow melihat wanita itu bekerja di Singapura tetap segar dalam ingatan.

Selepas lapan tahun berkhidmat sebagai pemandu bas, Chow sudah menghafal kira-kira 30 laluan berbeza di seluruh Singapura. — Go-Ahead Singapore

Setiap kali cuti sekolah, dia akan menemani ibunya menaiki bas nombor 62 dari Hougang ke Geylang, semata-mata untuk menghabiskan masa bersama.

“Bawa bas pun satu bentuk perkhidmatan, sama macam layan pelanggan di kedai telefon dulu. Tak banyak beza pun,” katanya.

Pada 2017, Chow berhijrah ke Singapura dan menyertai syarikat Go-Ahead Singapore sebagai pemandu bas.

"Saya masih ingat ketika ikuti latihan, hanya saya pemandu wanita daripada enam orang yang terpilih.

Pada hari pertama memandu bas bernombor 381, yang menawarkan perkhidmatan pengantara di Punggol, Chow mengakui dia terlalu gugup.

“Saya kena hafal laluan, belajar guna sistem tambang, jumpa ramai orang. Hari tu saya terlalu malu nak sapa sesiapa pun,” katanya sambil ketawa.

Setahun kemudian, Chow sudah bersedia mengambil laluan lebih panjang dan kini, selepas lapan tahun, dia sudah menghafal kira-kira 30 laluan berbeza di seluruh Singapura.

Chow bertemu jodoh dengan suaminya di depoh bas tempat dia bekerja. — Chow Pei Guan

Bermula seawal 5.30 pagi, Chow bekerja antara tujuh hingga 12 jam sehari bergantung kepada laluan, dengan dua hingga 10 perjalanan sehari serta rehat antara 40 hingga 60 minit setiap pusingan.

Walaupun sudah lama dalam kerjaya ini, masih ada penumpang yang terkejut melihat wanita di belakang stereng.

“Apabila ada yang tanya awak boleh pandu ke?, saya jawab, jangan risau, saya dah dilatih dan akan bawa penumpang dengan selamat,” katanya.

Sejak tahun lalu, Chow bukan sahaja memandu, malah kini menjadi mentor kepada pemandu baharu dan membantu rakan sekerja menguasai laluan baharu.

Jika tidak bertugas sebagai mentor, dia akan kembali ke rutin hariannya yang masih dinikmatinya kerana dapat menjelajah ke pelbagai kawasan di Singapura.

Laluan kegemarannya? Bas nombor 518 yang mengambil masa hampir tiga jam dari Pasir Ris ke Orchard Road dan Marina Bay Sands.

“Waktu musim perayaan, saya boleh nikmati lampu-lampu cantik di bandar. Seronok sangat,” katanya.

Chow (kanan) menjadi mentor kepada pemandu baharu dan membantu rakan sekerja menguasai laluan baharu. — Go-Ahead Singapore

Sepanjang hari, Chow menyaksikan pelbagai ragam penumpang. Ada yang berkongsi payung dengan orang lain, pelajar yang makan mi segera panas-panas dalam bas, sehinggalah kanak-kanak yang sanggup naik satu pusingan penuh hanya untuk menyeberangi jalan ke sekolah.

“Ada seorang budak ni, rumah dia betul-betul seberang jalan dari sekolah tapi dia akan nikmati atu pusingan penuh sebab suka naik bas,” katanya sambil tertawa.

Dia juga sering membantu warga emas atau kanak-kanak yang sesat atau tertidur hingga terlepas hentian.

“Kalau orang tua sesat, kami hubungi pusat kawalan dan mereka akan hubungi polis. Kalau kanak-kanak, saya tenangkan dulu, bawa balik ke hentian asal dalam pusingan seterusnya,” jelasnya.

Di sebalik kerjaya itu juga, Chow tidak menyangka akan bertemu jodoh di depoh bas.

Dia bertemu lelaki yang kini menjadi suaminya selepas berkenalan dengan lebih lanjut di pusat kawalan operasi tempat dia bekerja.

“Apabila saya hadapi cabaran di tempat kerja, dialah yang beri semangat dan bantu cari jalan untuk selesaikan. Saya suka kematangan dia,” kata Chow yang mempunyai seorang anak lelaki.

Hari ini, Chow bukan lagi wanita yang memandang rendah kerjaya memandu bas.

“Saya anggap kalau anda ada kemahuan, anda boleh ubah nasib tak kiralah anda umur berapa pun,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram