'Cinta tak selalu hadir melalui kata-kata,' layanan konsisten arwah suami suburi kenangan sewaktu bersama


  • Cinta
  • Isnin, 19 Mei 2025

Seorang wanita berasa perkara kecil yang dibuat pasangan secara konsisten menjadi kenangan terindah selepas meninggal dunia.— Gambar Hiasan

CINTA sejati kadangkala tidak dinyatakan melalui kata-kata manis atau hadiah mewah, tetapi ditunjukkan dalam bentuk perbuatan kecil yang dilakukan dengan penuh konsisten tanpa jemu.

Demikian kisah yang menyentuh hati dikongsikan oleh Dr Kent Khaw menerusi laman Threads, apabila seorang wanita berkongsi memori manis bersama arwah suaminya yang telah meninggal dunia enam bulan lalu selepas 12 tahun menjalani kehidupan berumah tangga.

Menurut wanita itu, setiap pagi sebelum berangkat ke tempat kerja, suaminya akan singgah membeli sebungkus karipap dan teh tarik dari gerai di hadapan masjid dan meletakkannya di atas meja dapur sebagai sarapan buatnya.

BACA LAGI:[VIDEO] Pesona adibusana Syahrini dan Cinta Laura menyinar di Festival Filem Cannes 2025

BACA LAGI:Jadi penyembuh luka kehilangan anak kandung OKU, 2 ibu nekad ambil anak angkat sepasang kembar Sindrom Down

Ramai mulai terkenang memori bersama pasangan yang sudahtiada.— Gambar Hiasan

Ia menjadi rutin harian yang cukup untuk dikenang sepanjang hayat.

Namun pada suatu pagi, dia memutuskan untuk membeli sarapan bersendirian setelah sekian lama tidak menjejakkan kaki ke gerai itu,

Sewaktu memilih kuih, makcik penjual menyapanya dengan senyuman dan berkata, "Eh… ini bungkus karipap awak. Suami awak dulu tempah awal. Dia pesan, kalau dia tak sempat ambil satu hari nanti, dia tetap nak awak makan macam biasa.”

Kata-kata itu menusuk ke jiwanya. Dengan mata yang mula berkaca, wanita itu mengambil bungkusan kuih yang masih panas itu perlahan-lahan seolah-olah cinta suaminya masih tinggal bersama.

"Kadang cinta tak tinggal dalam kata-kata, tapi dalam perkara paling kecil yang dia ulang setiap hari, supaya bila dia tiada… kita masih terasa dia ada,"tulis hantaran itu.

Dr Kent Khaw memaklumkan, kisah itu dikongsikan oleh salah seorang pengikut beliau.

Sejurus selepas dimuat naik, hantaran tersebut tular sehingga mencetuskan luahan penuh emosi daripada warganet yang turut berkongsi kehilangan pasangan hidup masing-masing.

Seorang wanita terkenang memori arwah suami ketika solat.— Gambar Hiasan

Antaranya, seorang pengguna, Mrsnorrrrrrrrr yang baru lima bulan merasai kehilangan suami terkenang kembali memori bersama suami.

“Saya memang susah tidur. Selalunya pukul 3 pagi baru saya lena. Suami akan bangun solat sunat dan selepas itu dia bersandar di tebing katil untuk berzikir.

"Kepala saya akan berada di belakangnya, tumpang dengar zikir sampai tertidur. Sekarang… Ya ALLAH, siksanya nak biasakan hidup tanpa dia. Sakitnya bila rindu tak berbalas. Al-Fatihah suamiku, moga syurga tempatmu," katanya.

Sementara itu, Halizdafron mengenang kebaikan suami yang suka bersedekah.

“Suami saya meninggal 14 Februari 2024. Dia tak pernah lupa beri keropok mentah untuk disedekah ke surau.

"Saya teruskan amalan itu. Moga pahala terus mengalir buatnya," katanya.

Kisah sama turut dirasai oleh Sealysuraya yang mengimbas saat-saat bersama arwah suaminya.

"Kami ke mana-mana sentiasa berdua. Ada tempat-tempat kegemaran kami. Bila saya pergi tanpa dia, orang di situ akan tanya,pakcik mana? Kadang soalan itu buat saya hilang kata.

"Tapi selepas dua tahun, mereka dah biasa terima saya hanya datang bersama anak. Saya juga belajar menerima kehilangan," katanya.—Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,

Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram