
FESTIVAL Filem Cannes 2025 bukan sekadar medan tayangan perdana karya seni perfileman dunia, malah turut menjadi pentas fesyen berprestij yang dinantikan setiap tahun.
Tahun ini, dua nama besar dari Indonesia iaitu Syahrini dan Cinta Laura mencuri tumpuan ramai apabila masing-masing tampil anggun dan memukau di atas karpet merah Cannes pada hari berbeza.
Busana bergemerlapan Syahrini
Pada Khamis, Syahrini melangkah megah di karpet merah Cannes bersama suaminya dengan lengkap bergaya dalam persalinan serba warna perak yang memukau.
Penyanyi berusia 44 tahun itu hadir bagi menonton tayangan perdana Dossier 137 sambil menerima anugerah berprestij daripada United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) menerusi platform Listen To Her Parole.
Syahrini memilih gaun eksklusif yang dipadankan dengan jubah lace serta tudung merah jambu pastel.
Aksen embellishment kristal berkilauan pada penutup kepala menambah seri dan keanggunannya.
Tidak cukup dengan itu, beliau turut melengkapkan gayanya dengan memegang beg tangan ‘Heart Bag Exotic’ bermotif kulit buaya dari kolaborasi jenama Vone World x Heart Evangelista.
Menyempurnakan penampilannya, Syahrini memilih solekan bertema soft glam dengan bulu mata lentik yang menjadikan keseluruhan gayanya tampil mewah, feminin dan berkelas.
Menerusi hantaran di Instagram, Syahrini menyatakan rasa syukurnya atas penghargaan yang diterima.
"Saya datang ke Cannes untuk menerima anugerah luar biasa daripada UNESCO menerusi platform Listen To Her Parole.
"Pengiktirafan ini bukan hanya satu penghormatan peribadi tetapi ia adalah satu perayaan ketabahan, transformasi dan kekuatan hubungan sesama manusia," katanya.
Cinta Laura anggun berkebaya tradisional
Cinta Laura mengenakan kebaya moden rona merah menyala.
Pada Jumaat, pelakon dan penyanyi terkenal, Cinta Laura Kiehl pula tampil penuh aura di atas karpet merah, mewakili Indonesia bersama jenama antarabangsa L’Oréal Paris.
Membawa semangat budaya dan keberanian wanita moden, Cinta mengenakan kebaya moden rona merah menyala rekaan Intan Avantie yang diberi nama Biarkan Cinta Bersemi.
Busana tersebut dipadankan dengan kain batik yang mencipta siluet elegan dengan menggabungkan elemen tradisional dan glamor kontemporari.
Perhiasan yang dikenakan Cinta adalah daripada koleksi Puspita oleh Tulola yang diinspirasikan daripada kekayaan sejarah dan karakter wanita Yogyakarta.
Gaya itu dilengkapi dengan kasut tumit minimalis rekaan Thank Shoes, solekan sentuhan jurusolek terkenal Bubah Alfian dan tatanan rambut updo hasil kreativiti Ben Mignot.
Menerusi akaun Instagram rasmi, L'Oréal Indonesia menzahirkan penghargaan terhadap kehadiran Cinta Laura:
"Cinta Laura kembali mewakili Indonesia dalam acara Festival Filem Cannes ke-78, bersama L'Oréal Paris, dengan mengenakan simbol kebanggaan warisan budaya.
"Tampil memukau dalam balutan kebaya kontemporari bertema Biarkan Cinta Bersemi karya Intanavantie.inav yang menggambarkan sosok wanita Indonesia yang berani memancarkan sinarnya sendiri," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram