Luna Maya pilih tema 'Matahari dan Bulan', resepsi unik siap ada gelanggang tenis dalam dewan


  • Cinta
  • Jumaat, 01 Ogos 2025

Majlis resepsi mewah Luna Maya dan Maxime kembali mencuri perhatian ramai.

SELEPAS sah bergelar suami isteri, pasangan selebriti Luna Maya dan Maxime Bouttier kembali mencuri perhatian ramai apabila mengadakan majlis resepsi mewah di Jakarta pada Rabu.

Mengangkat tema ‘Matahari dan Bulan’, majlis resepsi yang diadakan di sebuah hotel mewah di ibu kota itu bukan sahaja sarat dengan keindahan dekorasi, bahkan cukup unik apabila lantai ruang tariannya direka menyerupai gelanggang tenis.

Model dan pengaruh media sosial, Tirza Victoria turut berkongsi momen istimewa dari majlis berkenaan dengan memuat naik foto berlatarbelakangkan raket tenis. 

"Bola tenis pun ada tulis LM. Terlalu comel! Lantai tari direka macam gelanggang tenis," katanya. 

BACA LAGI: Ternanti-nanti jodoh? Ramai tak tahu doa ini mampu jadi kunci pasangan soleh dan solehah

BACA LAGI: Ternanti-nanti jodoh? Ramai tak tahu doa ini mampu jadi kunci pasangan soleh dan solehah

Hafizi berkongsi detik ketika berada di majlis resepsi perkahwinan Luna Maya dan Maxime. 

Pereka fesyen terkenal, Hafizi Woo juga tidak ketinggalan berkongsi detik yang sama. 

"Siapa kata tak boleh main tenis semasa resepsi kahwin?," selorohnya. 

Majlis yang dihadiri lebih 800 tetamu itu turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti popular Malaysia, Fazura yang tampil anggun dalam busana serba hitam.

Namun, yang paling menjadi bualan ramai bukan sekadar keunikan konsep, tetapi juga hadiah eksklusif yang diberikan kepada para tetamu. 

Setiap jemputan menerima mesin kopi automatik NOD yang dianggarkan bernilai 2.79 juta rupiah (RM726) seunit lengkap dengan kapsul kopi dan set cawan seramik diukir dengan logo LM, yang menjadi simbolik kepada nama pasangan pengantin.

Luna berkata, idea menghadiahkan mesin kopi bermula sebagai gurauan antara dia dan suami, namun tidak menyangka ia direalisasikan oleh pihak penaja.

“Kami hampir pengsan bila dapat tahu semua tetamu akan dapat mesin kopi. Kasihan juga yang perlu packing dan kasihan tetamu yang terpaksa mengangkat sendiri mesin seberat tiga kilogram itu,” katanya menerusi laman TikTok.

Bukan itu sahaja, setiap tetamu turut menerima vitamin kesihatan Blackmores, Mi BonCabe Goreng, alat solek termasuk lipstik Luna Maya sendiri, serta baucar rawatan kecantikan. 

Kebanyakan produk itu merupakan jenama yang diwakili Luna sebagai duta atau wajah komersial.

Majlis penuh glamor itu turut diserikan dengan persembahan eksklusif dari kumpulan legenda Indonesia, Sheila On 7 yang menyampaikan lagu-lagu nostalgia mereka secara langsung di hadapan para tetamu.

Untuk rekod, Luna Maya dan Maxime Bouttier sah bergelar suami isteri dalam majlis tertutup di Payangan, Gianyar, Bali, Indonesia pada 7 Mei lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram