
PELAKON popular Siti Saleha mengesahkan dirinya kini hamil anak pertama hasil perkahwinan bersama suami, Joshua Fitton, 38.
Berita gembira tersebut dikongsikan bintang drama 7 Hari Mencintaiku itu menerusi satu rakaman video ringkas di Instagram miliknya pada Rabu, sekali gus menjawab teka-teki orang ramai yang sebelum ini membuat spekulasi mengenai keadaan dirinya.
"Kami dah lama simpan satu rahsia. Josh makan terlalu banyak dan perutnya kembung.
"Jadi saya fikir nak ‘padankan’ perutnya dengan baby bump saya,” selorohnya menerusi kapsyen di video tersebut.
BACA LAGI: Jeanelle bakal jadi kakak, Nina Sabri umum hamil cahaya mata kedua
Dalam video itu, pasangan tersebut dilihat berpelukan mesra di sebuah lokasi percutian sambil Siti Saleha atau nama penuhnya, Siti Saleha Mohd Baharum, 35, memegang gambar imbasan kehamilan bayi mereka.
Untuk rekod, Siti Saleha dan suaminya yang juga seorang pereka fesyen, Joshua Fitton mendirikan rumah tangga pada Februari lalu dalam sebuah majlis tertutup yang dihadiri keluarga terdekat.
Pelakon berwajah Pan-Asia itu sebelum ini pernah mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai Bintang Asia Terbaik – Malaysia di Anugerah Drama Antarabangsa Seoul di Korea Selatan tahun lalu, hasil lakonannya yang cemerlang dalam drama bersiri tempatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram