[VIDEO] Bayi lembik dan termenung, ibu kongsi anak sawan lepas cucuk vaksin, doktor perjelas punca AEFI


  • Sihat
  • Rabu, 30 Jul 2025

Dr. Syed (gambar kecil) menjelaskan, AEFI merangkumi semua isu perubatan yang berlaku selepas seseorang menerima suntikan vaksin.

SEORANG ibu berkongsi pengalaman mencemaskan apabila anak lelakinya yang dikenali sebagai Aakif, mengalami beberapa kali serangan sawan tanpa demam dipercayai selepas mengambil suntikan vaksin untuk usia lima dan enam bulan.

Menurut perkongsian yang dimuat naik di TikTok bondamighaa pada Jumaat lalu, difahamkan insiden pertama berlaku pada 14 April lepas apabila Aakif tiba-tiba menjadi lembik dan tidak memberi respons ketika mahu didodoikan.

Bayi itu kemudiannya disahkan mengalami sawan jenis blank stare dan perlu dirujuk ke hospital.

BACA LAGI: Cegah 3 penyakit utama, vaksin TdaP bantu ibu hamil beri perlindungan awal pada bayi

BACA LAGI: Ketahui jenis vaksinasi, alasan kenapa ada yang perlu sekali suntikan dan dilakukan berulang kali

Aakif kemudian dimasukkan ke hospital selama tiga hari dan menjalani pelbagai ujian termasuk elektroensefalogram (EEG), ultrabunyi otak, imbasan CT (CT Scan) dan imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) bagi mencari punca sawan, namun semua keputusan menunjukkan hasil yang normal.

Walaupun begitu, serangan sawan berulang sebanyak dua kali lagi, termasuk kali ketiga pada Hari Raya Haji, menyebabkan Aakif perlu terus dipantau oleh pakar saraf dan otak.

Difahamkan sehingga kini, punca sebenar masih belum dikenal pasti.

Sementara itu, perunding neonatologi dan pakar pediatrik, Dr. Syed Khaliq memberi penjelasan mengenai Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) yang sering disalahertikan sebagai kecederaan akibat vaksin, terutama dalam kalangan ibu bapa yang gusar terhadap kesan sampingan vaksin.

Dr. Syed menjelaskan, AEFI merangkumi semua isu perubatan yang berlaku selepas seseorang menerima suntikan vaksin, tidak semestinya berpunca langsung daripada vaksin itu sendiri.

“AEFI adalah pemantauan terhadap sebarang isu perubatan selepas imunisasi, sama ada berpunca secara langsung, akibat proses pemberian vaksin atau hanya kebetulan,” jelasnya menerusi hantaran video di TikTok drsyedkhaliq.

AEFI mungkin melibatkan kejadian seperti sawan, namun statistik menunjukkan ia berlaku mungkin satu dalam sejuta.  — Gambar hiasan

Tambah beliau, kesan sampingan seperti demam, alahan, muntah atau cirit-birit adalah perkara biasa dan kebanyakannya bersifat ringan.

Dalam kes yang sangat jarang, AEFI mungkin melibatkan kejadian seperti sawan, namun statistik menunjukkan ia berlaku mungkin satu dalam sejuta.

Dr. Syed menekankan, vaksin yang digunakan di Malaysia adalah halal dan terbukti selamat secara relatif serta melalui proses pemantauan yang ketat.

Tegasnya, tiada rawatan atau ubat yang bebas sepenuhnya daripada risiko.

“Semua benda ada risiko tetapi kita timbangkan manfaatnya. Kita guna vaksin untuk cegah penyakit yang jauh lebih berbahaya.

"Kalau doktor nak buat untung pun, lebih untung rawat penyakit daripada mencegah,” ujarnya.

Beliau turut menerangkan AEFI boleh berpunca daripada tiga perkara utama.

Jelasnya, ia termasuk kesan langsung daripada vaksin, seperti alahan kepada bahan tertentu.

"Contohnya ada vaksin tertentu menggunakan putih telur dalam proses pembuatan. Jadi orang yang alergi pada telur kadang-kadang boleh ada risiko alahan," katanya.

girl scratch the itch with hand , Concept with Healthcare And Medicine.

AEFI boleh berpunca daripada kesan langsung daripada vaksin, seperti alahan kepada bahan tertentu. — Gambar hiasan

Seterusnya, AEFI juga boleh berpunca daripada masalah dalam proses imunisasi, contohnya vaksin tidak disimpan dengan betul atau diberikan secara salah.

"Sepatutnya dia letak dalam peti tapi tak letak, jadi vaksin tersebut boleh jadi kurang efektif.

"Selain itu, terdapat juga keadaan kebetulan (coincidental), seperti kanak-kanak yang jatuh sakit akibat jangkitan lain yang tidak berkaitan dengan vaksin, tetapi berlaku selepas vaksinasi," terangnya.

Dr. Syed menyeru masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang mengelirukan di media sosial dan menilai vaksinasi secara adil berdasarkan fakta perubatan.

“AEFI bukan bukti vaksin bahaya. Ia sebahagian daripada sistem kawalan keselamatan yang memastikan imunisasi terus menjadi satu usaha pencegahan terbaik untuk anak-anak kita,” maklumnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram