
MATA pelajaran Matematik dan Sains bagi murid Tahap 1 menunjukkan pengurangan kepadatan sehingga 50 peratus susulan penyusunan semula kurikulum menerusi penjajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) sejak dilaksanakan bermula Mac lalu, seawal kalendar akademik 2023/2024.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, inisiatif di bawah Intervensi Kurikulum itu menyaksikan terdapat perbezaan sebelum dan selepas dari segi kepadatan dalam topik-topik tertentu bagi kedua-dua mata pelajaran terbabit.
Beliau berkata, pihak kementerian menyedari kebimbangan ibu bapa terhadap beberapa perkara antaranya aras kurikulum yang tinggi, kandungan kurikulum kurang bersesuaian dengan usia murid, keciciran pembelajaran dan Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sukar difahami.
BACA LAGI: KPM giat tingkat usaha penyediaan tambahan internet, tablet untuk sekolah Orang Asli di Pos Betau
BACA LAGI: Ajar Rukun Negara seawal peringkat prasekolah, pupuk semangat perpaduan
Dokumen penjajaran KSSR disediakan dalam Bahasa Melayu dan terjemahan dalam Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil.
Justeru katanya, penjajaran KSSR akan dapat memudahkan guru-guru melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dan seterusnya memudahkan murid memahami semua standard pembelajaran yang ditetapkan dalam kurikulum sekolah.
"Berdasarkan penyusunan ini melibatkan pengemaskinian standard pembelajaran dan kandungan bagi topik-topik tertentu dalam subjek Sains dan Matematik sedia ada, kita telah dapat membuat pengurangan kepadatan kurikulum kedua-dua mata pelajaran itu sebanyak 50 peratus.
"Antara pengemaskiniannya ialah kita gabungkan beberapa standard pembelajaran dan standard kandungan yang akhirnya dapat mengurangkan kepadatan dalam kurikulum, bahkan ada sesetengah topik (silabus) daripadanya kita bawa ke Tahun 2," katanya pada sidang akhbar di Kementerian Pendidikan, Putrajaya pada Isnin.
Azman berkata, dokumen penjajaran kurikulum itu juga bukan sahaja untuk Sains dan Matematik, malah boleh digunakan bersama dengan Modul Bimbingan (Mobim) untuk dua lagi subjek lain iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Dokumen penjajaran KSSR antara 4 inisiatif yang dilaksanakan KPM bagi menangani isu keciciran pembelajaran.
Ia disediakan dalam Bahasa Melayu dan terjemahan dalam Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil.
Tiga inisiatif lain ialah pengesanan awal literasi dan numerasi, pelaporan pentaksiran bilik darjah (PBD) mesra ibu bapa serta latihan untuk guru.
Kata Azman lagi, KPM komited memastikan intervensi kurikulum yang sedang dilaksanakan dapat memberi impak positif kepada pengalaman pembelajaran murid serta kualiti pendidikan secara keseluruhan.
"Kurikulum yang disusun semula diharap dapat memenuhi keperluan dan gaya pembelajaran murid melalui penyediaan bahan pembelajaran yang relevan.
"Sokongan masyarakat termasuk ibu bapa dan pihak berkepentingan lain adalah diharapkan bagi memastikan inisiatif ini berjaya," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram