
HANYA sebilangan yang mampu menyatukan dua dunia berbeza, seni dan sains dalam kehidupan serta kerjaya mereka.
Meskipun tidak ramai berada di persimpangan unik tersebut, artis visual yang juga ahli akademik, Lyne Ismail, 56, berjaya menyeimbangkannya dengan gaya tersendiri.
“Sejujurnya, ia adalah perjalanan yang sunyi kerana saya tidak kenal ramai orang yang berada dalam kedudukan seperti saya.
"Berada antara dunia seni dan sains, tidak ramai yang boleh berbual tentang pengalaman yang sama seperti ini,” katanya.
Walaupun kerjaya awalnya dalam bidang kimia dan kejuruteraan semikonduktor menjanjikan masa depan cerah, Lyne mengambil keputusan meninggalkan dunia sains demi mengejar minat dalam seni halus.
The Voice Of Water karya Lyne merupakan pemasangan langsung yang menggabungkan 'subwoofer', takungan air, lampu diod pemancar cahaya (LED) dan paparan video berulang.
Dunia baharu
Berbekalkan ijazah dalam bidang Kimia, Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Kejuruteraan dan kerjaya yang menjanjikan dalam penyelidikan semikonduktor, keputusan Lyne untuk beralih ke dunia seni ternyata mengejutkan.
“Saya suka apa yang saya buat, tapi sampai satu tahap rasa macam ada sesuatu yang kurang.
"Saya tulis dan terbitkan kertas penyelidikan satu demi satu dan mula terfikir, apa manfaatnya untuk orang biasa?
"Masa itu saya melukis sekadar hobi, jadi saya mahukan cabaran baharu.
Lyne pernah memberitahu bosnya bahawa beliau ingin mendaftar kursus Seni Halus, tanpa menyedari keputusan itu akan mengubah haluan hidupnya secara menyeluruh.
Pengunjung mengunjungi pameran seni sulung Lyne yang berlangsung di Temu House baru-baru ini.
Sejak membuka pintu ke dunia seni, beliau tidak lagi menoleh ke belakang.
Beliau akhirnya mengambil keputusan meninggalkan bidang kejuruteraan dan sains untuk terjun sepenuhnya ke dalam dunia seni.
"Meskipun ketika itu tidak pasti sama ada akan berjaya atau sebaliknya, namun saya tahu saya kena cuba,” tambahnya.
Melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dalam Seni Halus bagaimanapun bukanlah sesuatu yang mudah buat Lyne.
“Saya lebih tua daripada kebanyakan pelajar lain dan saya tiada latar belakang seni macam mereka.
"Apa yang saya rasa bagus, rupa-rupanya tidak. Jadi saya macam asyik terkejar-kejar,” luahnya.
Ketika cuti semester, Lyne mengurung diri di studio dan mempelajari semula teori warna, teknik sapuan berus dan pelbagai teknik lain melalui saluran YouTube.
“Satu hari saya letak kanvas di lantai dan mula campak-campak cat. Saya ‘gila’ sekejap, saya dah tak peduli masa itu.
"Dari situlah lahirnya karya pertama saya, The Egg Pt 1, yang termasuk dalam siri Birth sebab ia ibarat kelahiran semula saya,” kata bekas saintis itu.
Buku karya Lyne, Musings of the Spring Water diterbitkan terhad kepada 100 naskhah sahaja.
Selepas menamatkan pengajian, Lyne menjadi pensyarah teori seni visual di Universiti Malaya.
Selepas tujuh tahun bergelar pensyarah dan dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Jabatan Sinergi Penyelidikan di universiti sama, Lyne baru-baru ini tampil dengan pameran seni sulungnya bertajuk Cat Town: Energy, Matter, And The Art Of Becoming, berlangsung di Temu House, Petaling Jaya, Selangor yang berakhir pada 27 Julai lalu.
Pameran itu mengetengahkan 13 karya lukisan abstrak bersaiz besar dan sebuah pemasangan interaktif berjudul The Voice Of Water (The Mayor), yang mana air membentuk corak mandala sebagai respons pada bunyi dan getaran.
Lebih daripada sekadar pameran visual, Cat Town turut dilengkapi penerbitan buku Musings Of The Spring Water, koleksi esei reflektif hasil tulisan Lyne sendiri.
Buku berkenaan menyelami persoalan falsafah tentang kejadian, kawalan dan penyerahan diri dalam penciptaan seni, inspirasi yang turut disampaikan menerusi watak-watak arketip seperti The Mayor, The Boy dan The Girl, yang menurut Lyne, mewakili sisi-sisi dalam dirinya sendiri.
“Pameran ini sebenarnya mencerminkan potret diri saya. Ia menunjukkan sisi diri yang selama ini dipendam,” ujarnya menambah, Musings of the Spring Water diterbitkan terhad kepada 100 naskhah sahaja.
Lyne menyifatkan pamerannya sebagai simbol ‘kepulangan’ kepada penciptaan dan kebenaran diri.
Beliau turut berkongsi, judul bukunya diinspirasikan daripada puisi Rumi, The Two Intelligences yang memperincikan dua jenis ilmu iaitu ilmu diperoleh dari luar dan yang sedia wujud dalam diri.
Bagi Lyne, menyatukan seni dan sains bukan sekadar soal minat, tetapi keperluan untuk memahami manusia secara holistik.
“Untuk benar-benar faham akan nilai dan kemanusiaan, kita perlukan seni.
"Nilai, etika dan falsafah tidak diajar dalam STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), sebaliknya ia wujud dalam seni,” bicaranya lagi.
Lyne menyifatkan pamerannya sebagai simbol ‘kepulangan’ kepada penciptaan dan kebenaran diri.
“Saya akhirnya boleh berkata, di sinilah saya selama ini,” ungkapnya.
Versi Bahasa Malaysia buku Musings Of The Spring Water dijangka diterbitkan tidak lama lagi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. — The Star/HANIS MAKETAB
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram