
SEORANG doktor forensik wanita dari barat daya China mencuri perhatian selepas penampilannya yang berotot tular di media sosial baru-baru ini.
Yanyan, 26, merupakan wanita pertama yang bertugas sebagai pakar patologi forensik dalam menyiasat kes kematian mengejut atau mencurigakan di sebuah makmal sains forensik di wilayah Chongqing.
Sejak menamatkan pengajian dalam bidang perubatan forensik daripada Universiti Perubatan Chongqing tiga tahun lalu, Yanyan telah mengendalikan lebih 600 mayat.
BACA LAGI: 'Niat awal berlari nak kuruskan badan lepas bersalin, ibu anak 3 tak sangka kini jadi pelari maraton ultra
Yanyan sering berkongsi rutin senamannya di media sosial.
Tidak hanya tular kerana kepakarannya, beliau juga dikagumi dengan tubuh fizikalnya yang luar biasa, hasil daripada latihan kecergasan intensif diamalkannya.
Menerusi platform media sosial, beliau berkongsi rutin senaman kepada lebih 14,000 pengikut, termasuk keupayaannya melakukan deadlift seberat 120 kilogram (kg), mengangkat gergaji rantai dengan sebelah tangan dan melaksanakan prosedur kraniotomi dalam masa tiga minit sahaja.
“Bersukan bukan sekadar untuk kesihatan, ia juga membantu saya melakukan kerja dengan lebih baik,” katanya.
Dalam bidang patologi forensik, tugas mengangkat dan mengendalikan mayat seberat hingga 150kg bukan perkara luar biasa.
Namun menurut Yanyan, diskriminasi terhadap wanita masih berlaku disebabkan tanggapan bahawa mereka ‘lemah’ secara fizikal dan tidak sesuai dengan kerja berat atau syif malam yang panjang.
“Malah ada institusi yang hanya membuka jawatan tersebut kepada lelaki.
"Ada pula yang mempersoalkan kelayakan wanita kerana dianggap lebih sesuai fokus pada keluarga,” jelasnya.
Yanyan telah menyaksikan pelbagai jenis kematian daripada penyakit hingga kemalangan.
Yanyan juga mendedahkan, pengamal forensik tanpa mengira jantina turut berdepan stigma masyarakat yang melihat pekerjaan mereka sebagai sesuatu yang ‘membawa malang’.
Malah, wujud segelintir individu yang enggan bersalaman sebaik mengetahui kerjayanya.
Namun, sokongan daripada keluarga dan suaminya yang turut meminati kecergasan fizikal memberikan kekuatan buat Yanyan untuk terus berkhidmat.
Beliau juga menjadikan akaun media sosialnya sebagai ruang untuk mendidik masyarakat dan memperbetulkan persepsi terhadap profesionnya.
“Saya kekal tenang walaupun ketika berdepan mayat pertama dalam kerjaya ini.
"Bagi saya, nilai kerja ini adalah memberi keadilan kepada si mati dan ketenangan kepada keluarga mereka,” bicaranya.
Yanyan kini berhasrat untuk terus mempelajari teknologi baharu dalam bidang forensik, selain berharap masyarakat akan belajar menghargai hidup.
Ujarnya, beliau telah menyaksikan pelbagai jenis kematian daripada penyakit hingga kemalangan.
"Reaksi waris juga berbeza-beza, ada yang menangis, kecewa atau langsung tidak peduli.
"Itulah sebabnya saya ingin memberitahu semua orang, hargailah nikmat hidup selagi masih sempat,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram