Pantau perkembangan 1,000 hari pertama anak, bayi risiko tinggi dijangkiti 3 penyakit tersembunyi


  • Bonda
  • Jumaat, 20 Jun 2025

Ibu bapa perlu memantau perkembangan dan tahap kesihatan anak seawal 1,000 hari terawal kelahiran bayi. — Gambar hiasan/Freepik

PAKAR kesihatan kanak-kanak menegaskan bahawa tempoh 1,000 hari pertama kelahiran sehingga usia dua tahun adalah masa paling kritikal dalam memantau perkembangan bayi.

Menurut Pakar Pediatrik dan Perkembangan Kanak-Kanak Sunway Medical Centre, Dr. Khoo Chai Soon, ramai masih belum cakna akan hal itu yang sepatutnya menjadi panduan utama setiap ibu bapa.

BACA LAGI: Cadang pertimbang cuti paterniti sebulan, 7 hari tak cukup, beri peluang suami bantu urus bayi, isteri

BACA LAGI: ‘Jangan jadi ayah banyak membeli tak sempat menemani’, ALLAH ajar Saharul Ridzwan erti cinta menerusi Khadijah Alkubraa

“Ibu bapa kebiasaannya peka apabila anak lambat berjalan atau berdiri, tetapi masalah pertuturan lambat sering terlepas pandang.

"Masalah pertuturan ini adalah satu masalah yang sangat penting sebab kematangan otak sebenarnya banyak ditentukan oleh pertuturan sebenarnya,” ujarnya dalam temu bual eksklusif bersama Majoriti.

Pakar Pediatrik dan Perkembangan Kanak-Kanak, Dr Khoo Chai Soon menggesa tahap kesihatan bayi dipantau seawal tempoh 1,000 tahun pertama.

 

Pertuturan lambat bukan isu kecil

Pertuturan bukan hanya soal percakapan, sebaliknya ia membuktikan tahap kematangan otak bayi.

Berbeza dengan perkembangan motor kasar seperti berjalan yang lebih bersifat semula jadi,  pertuturan memerlukan rangsangan berterusan daripada persekitaran.

Justeru, Dr. Khoo menggalakkan ibu bapa mempraktikkan beberapa kaedah rangsangan pertuturan pada bayi seperti:

- Menyebut nama anak.

- Mengulang suara bayi.

- Menggunakan isyarat dan ekspresi wajah seperti menunjuk, melambai atau menepuk tangan.

Namun, pengaruh gajet kini menjadi cabaran besar dalam tumbesaran si kecil hinggakan ada antaranya terlebih dahulu mengenal peranti telefon pintar  sebelum sebutan 'mama' atau 'papa'.

 Ibu bapa perlu kerap berbual dan meluangkan masa bersama anak bagi merangsang deria mereka. — Gambar hiasan/Freepik

 

Saringan awal demi masa depan anak

Beberapa jenis ujian saringan kesihatan awal perlu dilakukan bagi mengesan masalah tersembunyi sejak usia bayi:

1. Kecacatan kelahiran sejak lahir

- Saringan seperti G6PD dan hipotiroid kongenital sejurus selepas kelahiran berupaya mengesan sebaran petanda awal kecacatan bayi.

- Ujian saringan pendengaran bagi mengelakkan masalah pertuturan berpunca daripada isu pendengaran.

 

2. Risiko autisme

Dr. Khoo dalam masa sama tegas menyatakan kepentingan melakukan kaji selidik M-CHAT (Modified Checklist for Autism in Toddlers) semasa lawatan vaksinasi anak seawal usia 18 bulan.

Ujian tindak balas bila dipanggil nama, penglihatan dan pergerakan mata serta tahap pendengaran bayi boleh membantu mengenal pasti risiko autisme lebih awal.

"Autisme bukan boleh disembuhkan, tetapi intervensi awal boleh meningkatkan keupayaan anak dengan ketara.

"Biasanya masa lahir atau dalam tempoh 1,000 hari pertama memang sudah boleh kenal pasti simptom autisme, sebab itu sangat penting untuk ibu bapa buat saringan M-CHAT," ujarnya.

 

3. Masalah metabolik dan penyakit jarang jumpa

Bayi baru lahir berisiko tinggi dijangkiti penyakit seperti batu karang yang sering berkait dengan gangguan metabolik dalam sel badan mereka.

Selain itu, kanser kanak-kanak seperti leukemia dan tumor pejal juga boleh dikenal pasti awal dengan pemerhatian yang teliti terhadap simptom dan perkembangan anak.

 

Peranan ibu bapa sangat penting

Tempoh 1,000 hari pertama kehidupan adalah fasa asas kepada pertumbuhan otak, emosi dan imuniti bayi. 

Dengan pemerhatian teliti dan pemahaman ibu bapa terhadap perkembangan anak, intervensi awal boleh dilaksanakan bagi mencegah masalah kesihatan jangka panjang, sekali gus mengelak daripada sebarang penyakit kronik.

"Kesihatan anak bukan hanya tanggungjawab doktor, ibu bapa adalah barisan hadapan pertama bertanggungjawab dalam memastikan anak membesar dengan sihat dan sejahtera," katanya mengakhiri bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram