Ketahui jenis vaksinasi, alasan kenapa ada yang perlu sekali suntikan dan dilakukan berulang kali


  • Sihat
  • Jumaat, 13 Dis 2024

Sesetengah vaksin perlu diberikan beberapa kali, manakala sesetengahnya hanya memerlukan satu suntikan untuk memberikan perlindungan yang mencukupi.

VAKSIN memainkan peranan penting dalam memberi perlindungan kepada diri kita terhadap penyakit berjangkit.

Sejak diperkenalkan, vaksin banyak menyelamatkan nyawa dengan melindungi kita daripada penyakit berbahaya yang membawa kepada maut.

Jika anda melihat buku vaksinasi kanak-kanak, anda akan mendapati bahawa beberapa vaksin memerlukan beberapa dos seperti DTaP (difteria, tetanus, dan batuk kokol), IPV (vaksin polio tidak aktif), HepB (hepatitis B) dan HiB (Haemophilus influenzae jenis B), manakala vaksin BCG (untuk tuberkulosis) hanya memerlukan satu dos sahaja.

BACA LAGI: Cabaran pemanduan 23 selekoh, kaki Go-Kart patut uji kemahiran di RUD Karting Gamuda Cove

BACA LAGI: KKB 'hidden gem' aktiviti lasak, paragliding dan rafting antara 4 sukan ekstrem wajib cuba

photo_6260395016014907241_y

Terdapat banyak sebab vaksinasi perlu diambil mengikut dos yang ditetapkan.

Selain itu, vaksin influenza pula perlu diambil setiap tahun.

Mengapa ada vaksin yang perlu diambil beberapa dos, ada yang perlu diambil setiap tahun dan ada juga yang hanya perlu diambil sekali?

Untuk memahami perkara itu, kita perlu tahu bagaimana vaksin berfungsi.

Vaksin mengandungi bahan daripada bakteria atau virus yang boleh merangsang sistem imun badan untuk menghasilkan antibodi apabila disuntik.

Namun, pada bayi yang masih kecil, satu dos vaksin mungkin tidak menghasilkan antibodi yang cukup banyak atau antibodi yang dihasilkan mungkin tidak bertahan lama.

Jadi, untuk memastikan antibodi dapat bertahan lebih lama, vaksin diberikan dalam beberapa dos yang membolehkan setiap dos mampu meningkatkan tahap antibodi.

Contoh vaksin yang memerlukan beberapa dos pada bayi dan dos penggalak adalah:

- DTaP, IPV, HepB, dan HiB (vaksin heksavalen) – diberikan sewaktu usia dua, tiga dan lima bulan sebagai siri utama, serta pada 18 bulan sebagai dos penggalak.

- Vaksin MMR (measles, mumps, rubella) – diberikan pada umur sembilan dan 12 bulan.

- Vaksin PCV (pneumokokus) – diberikan pada umur empat dan enam bulan sebagai siri utama dan pada 15 bulan sebagai dos penggalak.

Bagi vaksin influenza, ia perlu diambil setiap tahun kerana virus itu sering bermutasi.

Virus influenza mempunyai beberapa jenis, yang utama ialah influenza A dan B.

Terdapat subjenis yang sering berubah dalam setiap jenis itu.

Oleh sebab virus influenza berkenaan sering bermutasi, vaksin untuk satu subjenis seperti H1N1 tidak boleh melindungi tubuh badan kita daripada subjenis lain.

Selain itu, antibodi yang dihasilkan oleh vaksin influenza mula berkurang selepas setahun dan tidak cukup kuat untuk memberikan perlindungan lagi.

Disebabkan itu, kita perlu mengambil vaksin influenza yang baharu setiap tahun.

Vaksin influenza sekarang dipanggil vaksin quadrivalent, yang mengandungi dua subjenis influenza A, dua subjenis influenza B dan subjenis-subjenis itu ditukar setiap tahun.

Pakar akan menentukan subjenis yang akan menjadi lebih dominan pada tahun itu berdasarkan pemerhatian mereka.

Vaksin influenza boleh diberikan kepada seseorang apabila usia mencecah enam bulan.

Secara amnya, semua orang disarankan untuk mendapatkan vaksin influenza setiap tahun, tetapi terdapat beberapa kumpulan yang berisiko lebih tinggi mendapat jangkitan influenza yang serius seperti:

- Wanita hamil

- Kanak-kanak di bawah usia lima tahun

- Orang dewasa berumur 65 tahun ke atas

- Pekerja penjagaan kesihatan

- Individu yang mempunyai penyakit kronik, seperti diabetes, asma, penyakit paru-paru kronik, dan penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD)

- Individu yang tinggal bersama bayi muda atau individu yang lebih terdedah dan tidak boleh menerima vaksin.

Dengan mengambil vaksin mengikut keperluan, kita dapat melindungi diri dan orang lain daripada penyakit berbahaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Dr Yong Junina Fadzil ialah pakar perunding pediatrik dan pakar kardiologi pediatrik.

*Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*