
PENYAKIT campak yang selama ini dianggap sebagai penyakit ringan zaman kanak-kanak, kini muncul semula sebagai ancaman kesihatan global khususnya terhadap wanita hamil.
Di sebalik gejalanya yang kelihatan biasa seperti demam dan ruam, campak sebenarnya boleh membawa maut jika tidak dicegah dengan vaksinasi.
Menurut bekas Presiden Persatuan Perubatan Malaysia dan Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia, Dr Milton Lum, campak merupakan salah satu penyakit paling mudah berjangkit di dunia.
Seorang pesakit boleh menyebarkan virus itu kepada 12 hingga 18 orang lain yang belum divaksin iaitu angka yang jauh lebih tinggi berbanding cacar air, Covid-19 dan influenza.
“Virus campak boleh kekal aktif di udara atau pada permukaan tercemar selama dua jam. Ini menjadikannya sangat mudah menular terutamanya di kawasan ramai penduduk,” katanya.
Wanita hamil yang dijangkiti campak berisiko mengalami komplikasi serius seperti pneumonia, hepatitis, keguguran, kelahiran pramatang dan pertumbuhan janin terbantut.
Lebih membimbangkan, mereka juga menghadapi risiko kematian yang 10 kali ganda lebih tinggi berbanding wanita yang tidak hamil.
“Jika jangkitan berlaku dua minggu sebelum tarikh bersalin, bayi yang dilahirkan boleh mengalami campak kongenital.
"Ia boleh muncul dalam tempoh 10 hari pertama kehidupan dengan gejala demam, ruam, hepatitis dan pneumonia yang boleh membawa kepada radang otak atau kematian,” kata Dr Milton.
Setakat ini, Dr Milton berkata, tiada ubat khusus untuk merawat penyakit campak.
Rawatan yang ada hanya bersifat sokongan dan memberi fokus kepada pengawalan komplikasi.
Katanya lagi, wanita hamil yang disyaki dijangkiti campak perlu mendapatkan rawatan segera daripada pakar penyakit berjangkit dan jika perlu, dimasukkan ke hospital yang mempunyai kemudahan obstetrik dan neonatal.
Pemberian intravenous immunoglobulin (IVIG) disarankan dalam tempoh enam hari selepas pendedahan kepada virus, khususnya kepada wanita hamil yang tidak pernah divaksin atau tidak pasti status vaksinasinya.
Dr Milton berkata, bayi yang baru lahir juga boleh diberi IVIG untuk mengurangkan risiko komplikasi.
“Kelahiran pramatang pada pesakit yang terdedah kepada campak juga boleh menjadi petunjuk awal jangkitan.
"Selepas pandemik Covid-19, kadar vaksinasi global termasuk di Malaysia mengalami penurunan mendadak. Ini membuka ruang kepada peningkatan semula kes campak,” tambahnya.
Dr Milton berkata, Malaysia merekodkan 1,968 kes campak pada 2023 dan angka itu melonjak kepada 3,456 kes pada 2024 iaitu peningkatan sebanyak 76 peratus.
“Lonjakan ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi juga di negara lain seperti Amerika Syarikat, Eropah, Kemboja, Laos, Vietnam dan Filipina.
"Ini isyarat jelas bahawa kita sedang berdepan ancaman besar yang boleh dicegah,” katanya.
Sejak diperkenalkan pada 1963, vaksin campak telah menyelamatkan lebih 94 juta nyawa di seluruh dunia dengan lebih banyak daripada semua vaksin lain kecuali vaksin cacar.
Namun begitu, masih ada pihak yang mempersoalkan keselamatan vaksin terutama dengan menyebarkan dakwaan tidak berasas seperti kaitan vaksin campak dengan autisme iaitu satu mitos yang sudah lama dibuktikan salah melalui pelbagai kajian.
“Malah, masih ada yang percaya kepada ‘measles party’ dan menggunakan rawatan lapuk seperti vitamin A, budesonide dan clarithromycin sedangkan tiada bukti saintifik menyokong keberkesanannya,” katanya.
Malaysia telah melancarkan program penghapusan campak sejak 2004 dan menetapkan sasaran penghapusan sepenuhnya menjelang 2023. Namun sasaran itu masih belum dicapai.
Dr Milton menyeru agar usaha meningkatkan semula kadar vaksinasi dipertingkatkan terutama dalam kalangan kanak-kanak dan wanita hamil yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi.
“Kematian akibat campak sepatutnya tidak berlaku pada zaman ini. Kita ada vaksin yang selamat, terbukti berkesan dan mampu menyelamatkan nyawa.
"Tugas kita sekarang adalah untuk memulihkan keyakinan terhadap vaksin dan memastikan tiada yang tercicir daripada perlindungan ini,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram