Cegah 3 penyakit utama, vaksin TdaP bantu ibu hamil beri perlindungan awal pada bayi


  • Bonda
  • Rabu, 28 Mei 2025

Ibu hamil digalakkan mengambil suntikan vaksin TdaP bagi mengelak bayi dilahirkan dijangkiti penyakit serius. — Gambar hiasan/Agensi

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menawarkan vaksin TdaP secara percuma kepada semua wanita hamil bagi setiap kehamilan baru-baru ini.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan perlindungan kesihatan bayi yang bakal dilahirkan selain mencegah jangkitan penyakit serius.

Vaksin TdaP yang merangkumi perlindungan terhadap tiga penyakit utama iaitu difteria, tetanus (kancing gigi) dan pertussis (batuk kokol), bertujuan bukan hanya untuk melindungi ibu, malah turut memberi imuniti awal kepada bayi baru lahir melalui pemindahan antibodi semasa kehamilan.

BACA LAGI: [VIDEO] 7 tahun TTC, pempengaruh kongsi suka duka jalani rawatan IVF

BACA LAGI: Kaedah 'grounding' atasi tantrum, didik emosi si kecil kembali tenang bermain dengan alam semula jadi

Pun begitu, masih ramai golongan ibu bapa yang belum cakna akan kepentingan pengambilan vaksin itu ekoran fahaman dan penerimaan bercanggah terhadap perubatan tersebut.

Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Amirul Amzar menerusi perkongsian di Facebook tampil merungkai keperluan vaksin TdaP yang menurutnya berupaya mencegah jangkitan bermula dari kandungan dalam perut.

Vaksin TdaP cegah bayi daripada jangkitan penyakit serius. — Gambar hiasan

1. Imuniti seawal lahir

Bayi hanya menerima vaksin pertamanya pada usia dua bulan, menjadikan tempoh awal kelahiran sebagai masa paling berisiko untuk jangkitan neonatal pertussis.

Justeru, vaksinasi ibu hamil antara minggu ke-27 hingga 36 kehamilan dianggap waktu paling sesuai bagi memastikan pemindahan antibodi kepada janin berlaku secara optimum.

2. Vaksin TdaP ganti vaksin tetanus

Sebelum ini, hanya vaksin tetanus sahaja yang diberikan kepada ibu mengandung.

Namun, peningkatan kesedaran tentang bahaya batuk kokol kepada bayi telah mendorong KKM untuk menaik taraf kepada vaksin tiga serangkai (TdaP).

Negara-negara maju seperti United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat (AS) telah lama mengamalkan pendekatan ini dalam program imunisasi ibu hamil mereka.

3. Setiap kehamilan perlu divaksin

Penting untuk diingat bahawa vaksin ini perlu diambil untuk setiap kehamilan walaupun seorang individu itu hamil setiap tahun.

Ini kerana antibodi daripada suntikan sebelumnya tidak kekal cukup lama untuk melindungi kelahiran bayi seterusnya.

4. Kesan sampingan ringan

Seperti kebanyakan vaksin lain, suntikan TdaP mungkin meninggalkan kesan sakit lengan atau demam ringan, namun simptom serius amat jarang berlaku.

Tambahan, vaksin ini telah terbukti selamat digunakan termasuk oleh fasiliti kesihatan swasta di Malaysia sejak bertahun lamanya.

5. Kekangan bajet faktor kelewatan

Menurut KKM, vaksin TdaP sebelum ini tidak dapat disediakan secara percuma kepada semua ibu hamil kerana kekangan peruntukan.

Bagaimanapun, dengan kestabilan program imunisasi kanak-kanak yang sedia ada, fokus kini turut diberikan kepada golongan ibu hamil dan warga emas sebagai sebahagian usaha memperluas perlindungan kesihatan awam.

Orang ramai digalakkan untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada klinik kesihatan berdekatan mengenai pengambilan vaksin TdaP tersebut sepanjang kehamilan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram