'Sampai merungut kenapa aku accident hari ini', wanita kongsi hikmah kemalangan dengan penunggang p-hailing


  • Maya
  • Selasa, 29 Jul 2025

Kemalangan tersebut dipercayai berlaku akibat kecuaian penunggang motosikal itu. — Gambar janaan AI

PERKONGSIAN seorang wanita ketika berdepan kemalangan jalan raya bersama seorang penunggang p-hailing pada Ahad lalu meraih perhatian warga maya.

Berdasarkan hantaran di akaun Threads milik pengguna bernama cllmejayy_, beliau berkata, insiden berlaku apabila keretanya dilanggar seorang lelaki yang didakwa cuai ketika menunggang motosikal.

Akui wanita itu, walaupun pada awalnya tidak berpuas hati selepas melihat kerosakan pada kereta, reaksi jujur dan rendah diri pemuda itu mengubah segalanya.

BACA LAGI: 'Terasa paling buruk antara semua dewi', Ramona Zamzam imbau masalah kulit ketika mula ceburi dunia hiburan

BACA LAGI: 'Terasa paling buruk antara semua dewi', Ramona Zamzam imbau masalah kulit ketika mula ceburi dunia hiburan

“Pemuda itu tak berhenti minta maaf, mengaku salah dan paling saya sebak, dia cakap tak ada duit nak ganti. Nak hulur sikit pun dia tak mampu,” katanya.

Wanita itu menambah, beliau sempat memerhati gerak-geri pemuda tersebut yang akhirnya terduduk di tepi jalan, termenung memikirkan nasibnya.

“Saya buat keputusan untuk terus ke balai buat laporan. Saya beritahu, saya tak nak ganti kerosakan, nak dia buat laporan saja," ujarnya.

Namun, yang lebih terkesan ialah perbualan mereka selepas selesai membuat laporan polis.

Pemuda itu menceritakan bahawa dirinya baru sahaja memulakan tugasan pada hari itu dan motosikal yang digunakan juga baru dibeli, tidak sampai sebulan bagi menggantikan motor lamanya yang rosak.

“Saya tanya lepas ini nak sambung order ke. Dia jawab, ‘tak kak, saya nak balik temankan mak. Mak duduk seorang. Saya anak tunggal. Ayah dah meninggal masa umur lima tahun',” luahnya.

Wanita itu kemudian bertanyakan tentang rezekinya pada hari berkenaan.

“‘Belum (dapat tempahan) lagi, bukan rezeki saya hari ini. Tak apa, esok ada lagi'.

"Saya sangat sedih, rasa hidup saya berat diuji, rupanya ada orang yang jauh lebih hebat daripada aku,” tuturnya.

Tersentuh dengan keikhlasan dan ketabahan pemuda tersebut, wanita itu nekad menghulurkan wang tunai RM150, sebagai ganti pendapatan harian lelaki itu yang terjejas.

Namun, pemuda itu menolak berulang kali kerana merasakan beliau yang bersalah.

Wanita itu tetap memaksa pemuda berkenaan menerima wang tersebut dan menyatakan bahawa beliau masih mempunyai ibu yang perlu dijaga dan diberi makan.

"Budak itu tunduk sedih. Dia cakap terima kasih banyak kali kepada aku.

"Katanya, nanti senang dia singgah rumah. Aku pesan supaya bawa motor elok-elok sebab ada mak yang tunggu di rumah, dia angguk paham.

“Aku sentap kejadian semalam, sampai merungut kenapalah aku kemalangan hari ini.

"Kuasa ALLAH aturkan kemalangan itu berlaku, rupanya aku nak ditemukan dengan budak ini, ALLAH uji aku sebenarnya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram