
BAGI Nabella Anuar, 33, pencarian produk kecantikan yang benar-benar berkualiti dan sesuai dengan kulitnya bukanlah perkara mudah.
Tambahan pula, sebagai vlogger kecantikan yang aktif berkongsi tip dan ulasan di media sosial, beliau sering terdedah kepada pelbagai produk di pasaran.
Namun akui beliau, tidak semuanya menepati keperluan kulitnya, apatah lagi ketika fenomena produk pemutih termasuk yang mengandungi merkuri menguasai pasaran tempatan sekitar 2017.
Nabella gemar berkongsi tip kecantikan di media sosial miliknya. — Instagram/nabellaanuar
"Saya nak sesuatu yang lebih selamat dan mampu empower tona kulit, bukan tukar warna kulit,” kongsinya kepada Majoriti.
Dorongan untuk menawarkan alternatif lebih selamat dan mesra kulit akhirnya membawa pada satu keputusan besar, menghasilkan produk kecantikan sendiri.
Ketika itu, pemilik nama lengkap Fatin Nabila Khairul Anuar tersebut masih menuntut di sebuah universiti awam dalam pengajian sarjana.
Walaupun bergelar mahasiswa, semangatnya untuk mencipta perubahan dalam industri kecantikan tempatan ditambah minat mendalam terhadap perniagaan tidak terbendung.
Dengan bantuan seorang rakan yang mempunyai kenalan dalam bidang kimia, mereka mula membangunkan formulasi sabun khas berasaskan arang dan madu.
Sabun CoalFace yang masih menjadi tumpuan hingga kini, dicipta khusus untuk memulihkan kulit yang terkesan akibat penggunaan produk bermerkuri.
“Arang sangat bagus untuk menyerap toksin dan madu pula membantu proses penyembuhan. Itu yang menjadi gabungan utama kami,” jelasnya.
Ketika pengajiannya tergendala dek kekangan kewangan, Nabella memilih untuk memberi sepenuh tumpuan pada perniagaan yang sedang dirintis.
Modal awal perniagaan usahawan kelahiran Sungai Petani, Kedah itu datang dari pelbagai sumber.
Sejak menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) lagi, beliau sudah aktif berniaga secara kecil-kecilan termasuk menjual kasut, beg dan pakaian melalui sistem dropship.
“Saya simpan keuntungan sedikit demi sedikit. Kemudian saya juga meminjam duit daripada datuk dan nenek termasuk menggunakan wang hantaran perkahwinan sebagai modal bisnes,” katanya mendedahkan, semangat keusahawanannya telah mula berputik seawal usia 26 tahun.
Wanita itu tidak sekadar ‘cuba-cuba’, tetapi benar-benar mempunyai kesungguhan untuk menjadikan impiannya satu kenyataan. — Instagram/nabellaanuar
Bagi beliau, dunia kecantikan sama seperti bidang hartanah, memerlukan kemahiran komunikasi, penceritaan dan strategi untuk menarik perhatian pengguna.
Ia adalah antara elemen yang sangat dekat dengan minat serta keperibadiannya, akui Ketua Pegawai Eksekutif Kayman Beauty itu.
Memiliki ibu bapa yang berkhidmat sebagai pendidik, pastinya wanita tersebut berdepan cabaran untuk meyakinkan keluarga tentang hala tuju pilihannya.
Bagi kedua orang tuanya, mereka lebih berlapang dada jika anak sulung daripada tiga beradik itu memilih karier yang lebih stabil.
"Apabail saya cakap nak berniaga, mereka agak ragu-ragu. Mereka rasa, kenapa tak bekerja sebagai kakitangan kerajaan atau jadi pensyarah? Itu lebih terjamin.
"Jadi sebab itu juga pada asalnya saya sambung belajar ijazah sarjana, kononnya nak jadi pensyarah,” tutur Nabella mengimbas kembali fasa awal dilema antara impian keluarga dan cita-cita sendiri.
Namun, segalanya berubah apabila mereka melihat kesungguhan dan komitmen luar biasa Nabella dalam mengusahakan jenama Kayman Beauty.
Dari usaha kecil-kecilan sehingga kini produknya berada di lebih 300 cawangan Guardian seluruh Malaysia, keluarga Nabella akhirnya membuka mata dan memberikan sokongan penuh kepada beliau.
Bagi Nabella, dunia kecantikan memerlukan kemahiran komunikasi, penceritaan dan strategi untuk menarik perhatian pengguna. — Instagram/nabellaanuar
Menurut Nabella yang kini membela enam ekor kucing di kediamannya, sifat overachiever yang terpateri dalam dirinya sejak kecil menjadi antara kekuatan utama mendorong kejayaan hari ini.
Overachiever merujuk kepada seseorang yang sentiasa berusaha lebih daripada kebiasaan dan menetapkan standard sangat tinggi terhadap diri sendiri, sama ada dalam pelajaran, kerjaya atau apa sahaja yang dilakukan.
Ia juga menjadi faktor yang meyakinkan keluarga bahawa wanita itu tidak sekadar ‘cuba-cuba’ dalam perniagaan, tetapi benar-benar mempunyai kesungguhan untuk menjadikan impiannya satu kenyataan.
Nama samaran bapa
Ramai yang menyangka Kayman sekadar nama komersial moden, namun hakikatnya, ia berasal daripada nama samaran bapa Nabella sendiri, seorang guru biologi yang cukup berdedikasi.
“Waktu sedang fikir nama yang sesuai untuk jenama ini, saya perasan banyak buku ayah di rumah ada tulisan ‘Kayman’ yakni singkatan bagi nama Khairul Anuar Che Mad.
"Selain digunakan untuk melabel buku-buku, nama tersebut juga dikenali dalam kalangan pelajar dan rakan sekerjanya,” cerita Nabella.
Bagi pengasas ini, penglibatan wanita dalam dunia keusahawanan adalah sesuatu yang menyegarkan dan memberi ‘jiwa’ pada industri. — Instagram/nabellaanuar
Wanita dan bisnes
Dalam landskap perniagaan yang semakin berkembang pesat, kehadiran wanita sebagai pengasas dan pemimpin syarikat bukan lagi sesuatu yang luar biasa.
Bagi Nabella, kehadiran golongan tersebut dalam dunia keusahawanan adalah sesuatu yang menyegarkan dan memberi ‘jiwa’ pada industri.
“Saya rasa wanita membawa warna dalam dunia bisnes. Kita ada kreativiti dan pada masa yang sama ada kecerdasan emosi,” ujarnya yang gemar menggayakan fesyen unik.
Menurut beliau lagi, sifat semula jadi wanita seperti empati dan naluri keibuan menjadi nilai tambah dalam kepimpinan, terutamanya untuk membina budaya kerja yang sihat dan inklusif.
Itu katanya, bukan sekadar tentang menjual produk, tetapi membina hubungan bermakna dengan pelanggan dan pasukan kerja.
“Dalam syarikat saya, majoriti staf adalah wanita muda. Kami faham cabaran wanita bekerja.
"Contohnya, sejak 2019 kami laksanakan cuti khas (menstrual leave) selama sehari untuk wanita yang mengalami sakit haid.
"Kalau datang kerja dalam keadaan sakit, kerja pun tak produktif. Jadi lebih baik mereka berehat dan kembali dengan lebih bertenaga,” jelasnya.
Menyingkap permulaan perjalanannya sebagai usahawan, Nabella berkongsi, beliau sendiri berani terjun ke dunia bisnes kerana terdorong oleh kejayaan ramai usahawan wanita.
“Saya nampak ramai wanita berjaya dalam bidang ini sejak dulu lagi. Sebab itu saya fikir kalau mereka boleh, kenapa tidak saya,” bicaranyapenuh semangat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram