Balerina cilik dari Sabah menyerlah di Sepanyol, rakyat Malaysia pertama 'top 3' Dance World Cup 2025


  • Sukses
  • Rabu, 30 Jul 2025

Ivana menjadi rakyat Malaysia pertama menempatkan diri dalam kelompok tiga teratas kejohanan berprestij itu.

 

 

MALAYSIA mencatat sejarah baharu dalam arena balet antarabangsa apabila seorang balerina cilik dari Sabah, Ivana Iman Mohammad Ezral berjaya meraih pingat perak dalam kategori solo balet peringkat akhir Dance World Cup (DWC) 2025 yang berlangsung di Burgos, Sepanyol, awal bulan ini.

Ivana, 10, menjadi rakyat Malaysia pertama menempatkan diri dalam kelompok tiga teratas kejohanan berprestij itu.

Persembahannya digambarkan sebagai menyeronokkan, segar dan penuh keanggunan berjaya memukau para juri antarabangsa, sekali gus mengangkat nama Malaysia di pentas global.

BACA LAGI: 'Nickname' bapa jadi taruhan, lulusan hartanah cipta produk kosmetik selamat, mesra kulit

BACA LAGI: 'Mak pesan buat baju jangan seksi-seksi', titipan bonda jadi pegangan Hafiza bawa jenama fesyen Muslimah

 

 

Kejohanan yang dianggap sebagai 'Olimpik tarian remaja' itu menghimpunkan lebih 120,000 penari dari lebih 70 negara melalui proses saringan yang ketat, dengan hanya penari terbaik mara ke peringkat akhir.

Kategori solo balet klasik yang disertai Ivana merupakan antara kategori paling kompetitif, dinilai oleh bekas penari utama dan koreografer terkenal dari seluruh dunia.

Menurut ibunya, Dr. Natassia Sarah Mohd Danny, Ivana Iman mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama berjaya memenangi tempat kedua dalam kategori tersebut di DWC.

Malah, kemenangan itu turut dianggap oleh salah seorang juri sebagai pencapaian bersejarah bukan sahaja buat Ivana, tetapi juga untuk Malaysia.

“Pingat perak dan markah 89.3 peratus yang diperoleh Ivana hanya kurang 0.7 peratus daripada pemenang emas dari England.

"Menurut juri, melihat keanggunan, ketelitian teknikal dan keupayaan penceritaan yang dimiliki seorang penari muda dari negara yang tidak terkenal dengan balet klasik adalah sesuatu yang luar biasa,” kata Dr. Natassia.

Pencapaian tersebut bukanlah kali pertama Ivana mewakili negara di peringkat antarabangsa.

Ivana with her parents.

Ivana bersama bapanya, Mohammad Ezral (kiri) dan ibu, Dr. Natassia Sarah.

Tahun lalu, beliau menyertai Dance World Cup 2024 di Prague, Republik Czech dan menamatkan pertandingan di tempat ketujuh dalam kategori solo (apa-apa gaya balet), dengan markah 89.4 peratus, bersaing dengan peserta dari 52 negara.

Sebagai anak sulung daripada empat beradik, kejayaan Ivana turut disokong penuh oleh keluarga terutama bapanya, Mohammad Ezral Ansari.

Dr Natassia menyifatkan suaminya sebagai 'wira sebenar' yang banyak berkorban dan mengurus segala latihan serta keperluan anak mereka.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penaja, termasuk kerajaan negeri Sabah, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Fong Hin dan Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali atas bantuan dan sokongan sepanjang perjalanan Ivana.

“Kesemua penaja ini memainkan peranan penting dalam membantu urusan tiket penerbangan dan penginapan Ivana untuk bertanding di Sepanyol,” katanya.

Dengan kejayaan ini, Ivana Iman kini dilihat sebagai bintang muda yang sedang meningkat naik dalam dunia balet antarabangsa, sekali gus membuka jalan untuk lebih ramai bakat muda Malaysia bersinar di pentas global. — The Star/STEPHANIE LEE

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram