[VIDEO] 'Reject' jenama kasut antarabangsa, pelari ultra dari pergunungan Mexico mahu kekal imej Orang Asli Raramuri


  • Sukses
  • Selasa, 29 Jul 2025

Di sebalik segala kejayaan dan pengiktirafan, Lorena kekal dengan prinsip rendah diri dan bersahaja. — Agensi

KETIKA pelari lain bergantung pada kasut canggih dan gel tenaga, wanita dari Mexico, Maria Lorena Ramirez kekal dengan imej tradisional suku Raramuri.

Wanita berusia 30 tahun itu kekal mengenakan sandal kulit huarache, skirt panjang kain sipuchaka dan air mineral sebagai teman setia sepanjang menyertai pelbagai acara ultra maraton.

Menariknya, beliau juga pernah menolak tawaran kasut jenama sukan antarabangsa yang ingin menajanya.

BACA LAGI: 'Ratu Pecut in the making', Nur Alferra catat rekod baharu 100m MSS Sabah

BACA LAGI: Niat awal berlari nak kuruskan badan lepas bersalin, ibu anak 3 tak sangka kini jadi pelari maraton ultra

"Orang yang pakai kasut itu selalu di belakang saya,” katanya suatu ketika dahulu.

Bagi Lorena, berlari bukan sekadar mengejar kemenangan. Ia adalah sebahagian daripada budaya dan cara hidup komuniti Raramuri, suku Orang Asli yang terkenal dengan ketahanan fizikal luar biasa.

Berasal dari kawasan pergunungan Chihuahua, Mexico, masyarakat itu hidup jauh dari kemudahan asas dan telah lama bergantung pada kaki mereka untuk menggembala, bersekolah dan mendapatkan keperluan harian.

Anak-anak Raramuri, termasuk Lorena ketika kecil, lazimnya berlari tiga hingga empat jam sehari hanya untuk ke sekolah.

“Tiada bas dari rumah ke sekolah, malah jiran pun jauh dari rumah kami,” ujarnya dalam satu temu bual ringkas.

Legasi ayah

Kebolehan luar biasa Lorena bukanlah sesuatu yang asing dalam keluarganya.

Bapanya, Santiago Ramirez pernah menjuarai Ultramaraton de los Canones sejauh 102 kilometer (km) sebanyak tiga kali.

Lorena sendiri menyertai perlumbaan pertamanya atas ajakan bapanya dan menjuarai larian 10km di Cuauhtemoc, Chihuahua.

Masyarakat Raramuri telah lama bergantung pada kaki mereka untuk menggembala, bersekolah dan mendapatkan keperluan harian. — Agensi

Namun hanya pada 2017, dunia mula mengenali nama Lorena selepas memenangi UltraTrail Cerro Rojo sejauh 50km dan Ultramaraton de los Canones Guachochi sejauh 100km.

Tahun yang sama, beliau mencipta sejarah sebagai wanita Raramuri pertama bertanding dalam perlumbaan ultra di Eropah, iaitu Ultramaratón de Cajamar Tenerife di Sepanyol.

Ikon senyap

Kisah hidup Lorena diangkat ke dokumentari Netflix bertajuk Lorena, Light-Footed Woman pada 2019.

Meskipun menjadi subjek utama, beliau kekal sebagai seorang yang bersederhana, malah perlu ditemani adiknya untuk menjawab soalan wartawan.

“Lorena ibarat seekor gazel yang tidak banyak bercakap, tetapi pantas dan penuh semangat,” ujar bapanya.

Antara detik menarik dalam dokumentari itu adalah apabila Lorena menolak kasut lumba khas yang dihadiahkan kepadanya, dengan alasan bahawa pelari yang memakainya 'selalu di belakang'.

Berjuang demi komuniti

Sejak 2024, Lorena menubuhkan yayasan Fundacion Lorena Ramirez A.C., bertujuan memperkasa komuniti Raramuri yang masih ketinggalan dalam aspek pendidikan, kesihatan dan kemudahan asas.

“Ramai hidup tanpa elektrik, tanpa klinik atau sekolah. Anak-anak perlu berlari jauh ke sekolah dan ramai yang belajar tanpa makanan,” kongsinya yang menamatkan Hong Kong 100 Ultramarathon pada Mac lalu, dengan kecederaan ringan dan berada di tempat ke-328.

Kisah hidup Lorena diangkat ke dokumentari Netflix pada 2019. — Agensi

Lebih membimbangkan, keupayaan fizikal masyarakat Raramuri turut dijadikan sasaran kartel dadah untuk tujuan penyeludupan, menjadikan pemerkasaan komuniti itu lebih mendesak.

Melalui yayasan tersebut, Lorena membantu lebih 1,200 penduduk Raramuri dengan menyediakan makanan berkhasiat, peluang pendidikan, perumahan dan bantuan kepada perniagaan kecil.

Impiannya kini adalah untuk membina hospital, klinik, sekolah dan asrama untuk generasi masa depan.

Dalam usaha memelihara warisan suku Raramuri, Lorena turut melancarkan inisiatif Unstoppable Mexico, program yang menyokong pelari dan atlet dari komuniti Orang Asli Mexico untuk menyertai kejohanan dalam dan luar negara.

Setakat ini, 10 pelari telah berdaftar di bawah program tersebut, termasuk bapanya sendiri yang menyertai Master Trail World Championship 2024 di Sepanyol hasil tajaan yayasan.

Lorena menyimpan impian lebih besar, untuk melihat atlet dari komuniti Orang Asli Mexico beraksi di pentas Olimpik.

Di sebalik segala kejayaan dan pengiktirafan, Lorena kekal dengan prinsip rendah diri dan bersahaja.

Bagi wanita itu, setiap langkah bukan sekadar menjejak laluan perlumbaan, tetapi juga membawa harapan, warisan dan masa depan seluruh komuniti yang bergantung pada kekuatan seorang wanita luar biasa.

“Selagi masih cukup kuat untuk berlari, saya tak mahu berhenti,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram