Tepis dakwaan anak ramai rezeki sempit, Ustazah Asma' amal 'zikir penat' ketika stres


  • Bonda
  • Isnin, 28 Jul 2025

Ustazah Asma Harun sentiasa bersyukur dikurniakan rezeki di samping keluarga bahagianya.

PENDAKWAH terkenal Ustazah Asma' Harun menepis dakwaan bahawa memiliki anak ramai punca rezeki sempit, malah menganggap ia sebagai satu pemberian tak ternilai.

Tidak menafikan dirinya kadang-kala agak terhimpit antara komitmen kerja dan keluarga, ibu kepada tujuh cahaya mata itu walau bagaimanapun sentiasa bersyukur dengan ketentuan ilahi.

Mengamalkan beberapa amalan rohani serta bacaan sunnah berlandaskan al Quran, Asma' yakin ia merupakan antara solusi kepada segala masalah serta tekanan dihadapi sejak bergelar penceramah personaliti pada 2018.

BACA LAGI: Saintis Jepun temukan rawatan baharu CRISPR, potong lebihan kromosom sindrom Down, tangani punca genetik peringkat bayi

BACA LAGI: 'ALLAH tutup aib kita selama ini, tapi diri sendiri buka', Ustazah Asma tegur masyarakat ikut trend S-Line, perkara sia-sia

Malah, segala urusan perniagaan dan pengurusan yayasan miliknya juga berjalan lancar sejak menjadikan 'zikir penat' sebagai amalan sunnah dalam kehidupan sehariannya.

"Kalau orang tanya saya, saya tak ada jawapan yang spesifik yang jelas bagaimana saya atur masa dengan anak tujuh orang, sekarang saya sedang buat PhD.

"Lepas tu, gerak kerja dakwah saya sangat aktif dan bila saya rasa dah tak terdaya saya amalkan zikir penat, ini antara zikir yang selalu saya akan ulang dan saya yakin ALLAH tak akan meninggalkan saya.

"Saya tiada masa untuk diri sendiri, sangat sikit masa, tetapi apabila kita serah kepada ALLAH, ALLAH akan gantikan, anak kita akan dapat guru yang the best, kawan yang terbaik, environment yang baik dan ALLAH berikan kita pekerja-pekerja yang baik, sahabat-sahabat yang baik, nampak tak bagaimana dia mengaturkan kita melalui sekeliling," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Dermalene Skin Centre di Shah Alam, Selangor pada Ahad.

 

 

Kisah di sebalik zikir Fatimah

Pada suatu hari, Saidatina Fatimah mengadu kepada suaminya, Saidina Ali Abu Talib RA tentang keletihan tangannya akibat menggiling gandum untuk membuat roti setiap hari. 

Keletihan fizikal itu membuatkan beliau berharap agar dibantu dengan kehadiran seorang khadam.

Saidina Ali berkata kepada isterinya:

"Bapa kamu (Rasulullah SAW) telah membawa pulang tawanan perang. Pergilah bertemu dengannya dan mintalah seorang khadam untuk membantu tugas harianmu.

"Lalu, Saidatina Fatimah pergi menemui ayahandanya dan menyatakan hasrat tersebut. Namun, Rasulullah SAW menolak permintaan tersebut dengan lembut, lalu menawarkan sesuatu yang jauh lebih bermakna.

"Mahukah kamu berdua jika aku ajarkan sesuatu yang lebih baik daripada seorang khadam? Apabila kamu berdua berbaring untuk tidur, maka:

- Bertakbirlah (اللَّهُ أَكْبَرُ) sebanyak 34 kali

- Bertasbihlah (سُبْحَانَ اللَّهِ) sebanyak 33 kali

- Bertahmidlah (الْحَمْدُ لِلَّهِ) sebanyak 33 kali

- Zikir ini adalah lebih baik untuk kamu berdua daripada seorang khadam.(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bacaan zikir Fatimah

Berikut adalah bacaan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada Fatimah dan Ali RA:

1. سُبْحَانَ اللَّهِ

   Subḥānallāh — 33 kali

   Maksud: Maha Suci Allah

2. الْحَمْدُ لِلَّهِ

   Alḥamdulillāh — 33 kali

   Maksud: Segala puji bagi ALLAH

3. اللَّهُ أَكْبَرُ

   Allāhu Akbar — 34 kali

   Maksud: ALLAH Maha Besar

Jumlah keseluruhan: 100 kali zikir sebelum tidur

Tambahan itu, ada juga ulama yang menyarankan menambah zikir berikut untuk melengkapkan bilangan tepat 100 bacaan:

4. لَا إِلٰهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ**

   Lā ilāha illallāh waḥdahu lā sharīka lah, lahul-mulku wa lahul-ḥamdu, yuḥyī wa yumīt, wa huwa ‘alā kulli shay’in qadīr

   Dibaca: 1 kali

Maksudnya:

"Tiada Tuhan melainkan ALLAH Yang Maha Esa. Tiada sekutu bagi-Nya. Milik-Nya segala kerajaan dan pujian. Dialah yang menghidupkan dan mematikan. Dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu".

 

Anak penambah rezeki

Lantang menyuarakan pendapat berhubung dakwaan anak punca rezeki tertutup, graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Al-Azhar, Mesir itu tegas menyatakan haram hukumnya jika berfikiran sedemikian.

Katanya, fahaman itu sama sekali berbeza dengan ajaran dari sudut Islam bahkan, tidakwajar ditokok tambah dengan isu komitmen kewangan khususnya generasi masa kini.

"Fahaman untuk tidak mahu anak atas faktor sengaja hukumnya tidak dibenarkan, kalau ayat senang faham adalah haram, ia bercanggah dengan tujuan nikah yang bertujuan menghalalkan persetubuhan dan keduanya meramaikan umat nabi Muhammad SAW.

"Jadi sebab itu merancang untuk tidak mahu anak itu bercanggah dengan syarak, tetapi merancang untuk jarakkan kelahiran anak itu dibenarkan atas faktor mungkin ekonomi, kebimbangan komitmen.

"ALLAH dah janjikan dalam al Quran setiap manusia itu ada rezeki dia bukan kita yang tentukan rezeki anak, kalau ada yang anak ramai tapi dia faham agama mereka akan tetap terpelihara semuanya mencukupi," tambahnya.

Asma' di samping suami tercintanya, Tengku Fazli Tengku Yahya.

Bahkan, Asma' turut menjadikan dirinya sebagai contoh teladan buat masyarakat bila mana pernikahannya dengan sang suami berlangsung ketika mereka tidak mempunyai kerjaya dan pendapatan tetap.

Berkat restu kedua ibu bapa dan kepercayaan terhadap konteks rezeki selepas berkahwin, segalanya berubah dan kehidupan pasangan suami isteri tersebut dipermudahkan sehingga ke urusan anak-anak.

Sekadar info, kerjaya awalnya bermula sebagai penjawat awam di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Memegang beberapa jawatan penting termasuk Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam dan Bahagian Halal, namun pada 2017, Asma' melepaskan jawatannya demi mengejar misi dakwah sepenuh masa.

Kini, beliau aktif berdakwah melalui pelbagai medium termasuk ceramah awam, media sosial dan penulisan selain telah menghasilkan lebih 10 buku motivasi antaranya Jangan Biarkan Aku Sendiri, Kembara Menuju Allah dan 150 Tip Wanita Bahagia.

Di samping itu, Asma' juga terlibat aktif dalam kerja kebajikan dan menjadi penaung kepada NGO Sahabat Amal Care serta Yayasan Al Hijrah, khusus membantu pendidikan dan kebajikan pelajar tahfiz serta keluarga miskin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram