
KEMATIAN merupakan detik paling sukar dan pahit untuk diterima mana-mana individu di atas muka bumi.
Kehilangan insan tersayang sama ada keluarga mahupun rakan baik, masing-masing meninggalkan kesan mendalam terhadap hari-hari bakal diharungi ekoran memori yang kekal tersemat di jiwa.
Namun, ramai terlepas pandang dan kurang cakna akan hal pengurusan jenazah usai kematian khususnya dari segi prosedur serta dokumentasi si mati.
BACA LAGI: Nina sambut ‘babymoon’ di Pulau Maldives, teruja menanti kelahiran cahaya mata ke-2
BACA LAGI: 'Tak tau mana nak cari kesabaran', ibu hampir putus jaga anak 'mild' autism, mohon doa terus kuat
Situasi tersebut boleh digambarkan menerusi perkongsian seorang individu ini yang cukup prihatin terhadap nasib dua remaja yang difahamkan baru kehilangan ibu kandungnya baru-baru ini.
Merupakan seorang pemandu van jenazah, individu terbabit menerangkan beberapa langkah serta prosedur dalam mendapatkan sijil kematian serta syarat penting dalam hal pengebumian.
"Sebab kamu anak dia, ni abang nak terangkan dokumen mak dalam masa 14 hari bila-bila masa lapang, bawa yang kuning ni dua keping ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk sijil kematian.
"Tadi dah mandikan mak daripada mula sampai la selesai, dulu mak mandikan kita kan, yang ni kita dapat mandikan mak Alhamdulillah.
"Tak semua orang dapat peluang macam ni tau tapi awak dapat, lepas ni kita nak kafankan jenazah, solat dan terus ke urusan pengebumian," ujarnya.
Perkongsian itu nyata mencuri perhatian ramai yang rata-ratanya meluahkan kesedihan atas detik kehilangan tersebut.
Malah, tidak kurang juga yang mendoakan agar kedua-dua ramaja berkenaan diberikan kekuatan dan tabah menjadi anak yang soleh serta solehah.
Dalam pada itu, berikut merupakan beberapa prosedur dan senarai dokumen penting yang perlu diurus oleh waris terdekat bagi mengelakkan sebarang kesulitan di kemudian hari.
1. Dapatkan sijil kematian
Langkah pertama paling penting, pastikan waris mendapatkan Sijil Kematian rasmi daripada JPN.
Untuk urusan di hospital kerajaan, kebiasaannya pihak hospital akan menguruskan pendaftaran kematian manakala jika kematian berlaku di rumah, waris perlu membawa:
- Kad pengenalan si mati
- Kad pengenalan pelapor (waris)
- Surat pengesahan kematian daripada doktor
2. Kemas kini maklumat di jabatan-jabatan berkaitan
Selepas memperoleh sijil kematian, waris perlu memaklumkan kematian kepada jabatan dan institusi berikut:
- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
Bagi mengemaskini status kematian dalam sistem MyKad dan rekod nasional.
- Jabatan imigresen
Jika si mati memiliki pasport, ia perlu diserah dan dibatalkan.
- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
Untuk membatalkan lesen memandu dan urus hak milik kenderaan.
- KWSP
Waris perlu menuntut caruman simpanan melalui proses tuntutan kematian dan sila sertakan sijil kematian, kad pengenalan waris, dokumen sokongan seperti sijil nikah dan surat beranak anak.
3. Urus akaun bank dan harta si mati
Bagi pengurusan kewangan dan harta pusaka, waris perlu:
- Maklumkan kepada pihak bank
Bank akan bekukan akaun si mati buat sementara dan tiada transaksi boleh dibuat sehingga proses tuntutan sah dilakukan.
- Failkan permohonan pentadbiran harta pusaka agar tuntutan boleh dibuat berdasarkan jumlah dan bentuk harta:
4. Tuntutan takaful dan insurans
Jika si mati ada polisi insurans atau takaful hayat, waris perlu:
- Hubungi syarikat takaful dan serahkan salinan sijil kematian serta kad pengenalan pemegang polisi
- Isi borang tuntutan (Claim Form) dan sertakan bukti hubungan waris (contoh: sijil perkahwinan atau surat beranak)
5. Kemaskini di agensi lain
Beberapa agensi lain yang perlu dimaklumkan termasuklah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mengemaskini rekod cukai pendapatan.
- Majikan atau pencen kerajaan: Jika si mati masih bekerja atau pesara
- Tabung Haji, ASB, Amanah Saham: Untuk proses penamaan atau tuntutan pewaris
- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR): Untuk membatalkan daftar pemilih
6. Proses pembahagian pusaka
Jika si mati tidak meninggalkan wasiat, pembahagian akan dibuat menurut hukum faraid (untuk Muslim) atau Akta Pembahagian 1958 (bukan Muslim) dan proses itu memerlukan:
- Senarai waris yang sah
- Senarai harta (akaun, rumah, tanah, kenderaan)
- Sijil kematian dan pengesahan waris
Justeru, pengurusan dokumen selepas kematian bukan sekadar prosedur rasmi, malah ia penting untuk memastikan hak waris terjaga dan aset si mati diuruskan dengan telus.
Bagi mendapatkan panduan lebih jelas, pewaris si mati boleh mendapatkan khidmat nasihat dari Unit Pusaka Kecil, Amanah Raya atau peguam syarie agar proses perundangan dapat diurus dengan baik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram