[VIDEO] Tetap 'screen time' sejam sehari, Mia kongsi perkembangan positif, 3 anak makin akrab


  • Bonda
  • Jumaat, 25 Jul 2025

Mia menetapkan tempoh sejam setiap hari untuk anak-anaknya bermain gajet dan menonton televisyen. — Gambar/@mia.ahm4d

SUDAH menjadi kelaziman masa senggang kanak-kanak hari ini kebanyakannya dipenuhi dengan permainan gajet dan tontonan kartun sama ada di televisyen mahupun laman sosial.

Tidak dinafikan, perkembangan teknologi semasa merupakan antara faktor mendorong perkara tersebut bila mana sektor pembelajaran negara juga dilihat semakin beralih ke arah dunia pendigitalan.

Namun, pendedahan tanpa kawalan dan pemantauan rapi daripada ibu bapa boleh menyebabkan si kecil terjurus kepada isu lewat pertuturan, kurang aktiviti sosial dan terasing dengan persekitaran sekeliling.

BACA LAGI: 'Bukan tak mahu, tapi tak mampu', Nina kongsi pengalaman isu susu badan vs formula

BACA LAGI: 'Tak tau mana nak cari kesabaran', ibu hampir putus jaga anak 'mild' autism, mohon doa terus kuat

Cakna tentang perkara itu, pelakon dan juga isteri kepada penjaga gol skuad kebangsaan, Mia Ahmad berkongsi kaedah serta tip dipraktikkan kepada tiga anaknya.

Menetapkan tempoh sejam sehari untuk bermain gajet dan menonton televisyen, ibu kepada empat cahaya mata itu berdepan pelbagai cabaran dalam meredakan kemarahan serta tantrum anak-anaknya.

Jelasnya, situasi agak tidak terkawal pada permulaannya apabila kediaman disepahkan dengan barangan mainan, tangisan dan jeritan anaknya yang meminta agar diberikan gajet.

Pun begitu, situasi mula beralih ke arah positif apabila ia menjadi kebiasaan dan anak-anaknya lebih mesra serta terbuka untuk meluangkan masa bermain bersama.

"Cuma sejam screen time setiap hari, selebihnya lantai bersepah, suara bising, emosi dan kadang kala sangat luar biasa.

"Tapi perlahan-lahan mereka belajar untuk bermain, berhubung dan saya gembira dapat melihat mereka bermain dan membesar bersama, worth it? Every second," ciapnya di laman Instagram.

Sekadar info, pada 13 Januari 2017, Mia Ahmad sah bergelar isteri kepada penjaga gol Izham Tarmizi Roslan dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung penuh sederhana namun meriah di Taiping, Perak.

Pasangan tersebut melangsungkan perkahwinan selepas beberapa bulan mengikat tali pertunangan dan hasil perkahwinan tersebut, pasangan dua sejoli itu dikurniakan empat cahaya mata.

Walaupun Mia kini lebih menumpukan perhatian kepada keluarga dan kehidupan peribadi, pelakon drama Mr. Boss Miss Stalker (2016) itu masih aktif di media sosial dan gemar berkongsi momen bahagia di samping keluarganya.

Perkahwinan mereka juga pernah menjadi perhatian media apabila timbul khabar angin berkaitan isu rumah tangga, namun kedua-duanya dilihat mengambil pendekatan tenang dan menjaga privasi demi keharmonian keluarga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram