
SEORANG lelaki mencipta kejutan luar biasa apabila melamar kekasih hatinya di lokasi yang tidak disangka, Zoo Negara.
Momen manis itu berlaku ketika satu pertunjukkan haiwan sedang berlangsung sambil disaksikan puluhan pengunjung lain yang turut meluangkan masa di pusat tarikan tersebut.
Namun, situasi berubah apabila seorang wanita ini didatangi seekor burung kakak tua yang meninggalkan pesanan nota ‘will you marry me’, dipercayai lamaran daripada kekasih hatinya.
BACA LAGI: [VIDEO] Tetap 'screen time' sejam sehari, Mia kongsi perkembangan positif, 3 anak makin akrab
Menerima sorakan dan tepukan gemuruh orang ramai, wanita bertuah itu kemudiannya dilamar secara terbuka depan khalayak ramai oleh seorang lelaki yang tiba-tiba berlutut dan mengeluarkan cincin daripada poketnya.
Tidak menunggu lama untuk membuat keputusan, lamaran tersebut diterima dengan tangisan penuh gembira oleh wanita berkenaan yang jelas tidak menjangkakan kejutan berkenaan.
Tular di laman sosial sejak Sabtu, perkongsian video tersebut meraih pujian ramai dan tidak kurang juga yang meluahkan ucapan tahniah atas lamaran istimewa terbabit.
Dalam pada itu, Zoo Negara turut berkongsi kegembiraan tersebut selain mendoakan agar urusan dan hubungan kedua-dua pasangan sejoli berkenaan dirahmati hingga ke jinjang pelamin.
“Zoo Negara mahu mengucapkan tahniah kepada Fuji Chong dan pasangannya, ia sangat menyentuh hati dan berbangga kerana terlibat secara langsung dalam lamaran istimewa pada hari ini.
“Terima kasih kerana telah memilih kami dan haiwan-haiwan di sini sebagai salah satu momen indah serta kisah cinta kalian.
“Kami mendoakan kebahagiaan sepanjang hayat dan cinta buat kamu berdua,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Kisah lamaran unik itu bukan sahaja mencuri perhatian ramai, malah membuktikan bahawa cinta boleh diraikan di mana sahaja berbekalkan keikhlasan dan niat yang tulus.
Ia juga membuka mata bahawa momen istimewa tidak semestinya memerlukan lokasi mewah, tetapi cukup dengan perbuatan bermakna yang pastinya meninggalkan momen manis sepanjang hayat.
Semoga pasangan itu terus berbahagia dan menjadi inspirasi buat mereka yang merancang untuk mencipta detik indah tersendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram