Hisap jari, jelir lidah tak semestinya bayi lapar, ketahui maksud 3 refleks semula jadi


  • Bonda
  • Jumaat, 25 Jul 2025

Menurut Uswatun Hasanah (gambar kecil) perbuatan bayi menjelir lidah dan menghisap jari merupakan bahasa tubuh perlu difahami ibu bapa. — Gambar hiasan/Freepik

IBU BAPA mana tidak cemas apabila si bayi asyik menjelir lidah atau menghisap jari sendiri?

Bahkan, ramai menyangka ia merupakan petanda jelas bayi lapar dan si ibu yang kurang cakna akan terus menyusu tanpa henti sehingga anak terlena.

Hakikatnya, kelakuan sedemikian bukanlah satu solusi kepada isu berbangkit.

BACA LAGI: [VIDEO] Tetap 'screen time' sejam sehari, Mia kongsi perkembangan positif, 3 anak makin akrab

BACA LAGI: 'Tak tau mana nak cari kesabaran', ibu hampir putus jaga anak 'mild' autism, mohon doa terus kuat

Menurut Pakar Tangisan dan Tidur Bayi, Uswatun Hasanah Mohd Habib menjelaskan kelakuan tersebut adalah sebahagian daripada refleks semula jadi pada bayi sejak dilahirkan.

Kesemua refleks tersebut memainkan peranan penting demi kelangsungan hidup bayi, terutama ketika otak dan sistem saraf mereka masih belum matang sepenuhnya.

Bayi lahir dengan lebih 70 refleks

Secara purata, bayi dilahirkan dengan sekitar 75 refleks semula jadi yang bertindak secara automatik bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan dunia luar rahim.

Walaupun kebanyakan refleks itu akan hilang apabila bayi mencecah usia empat hingga enam bulan, masih ada beberapa yang kekal buat sementara dan sering disalah tafsir sebagai 'tanda lapar'.

Tiga refleks bayi disalah erti

1. Rooting reflex - Bukan semestinya mahu susu

Rooting reflex ialah refleks di mana bayi akan memalingkan muka mengikut arah sentuhan pada pipi atau bibirnya.

Ia kemungkinan tercetus akibat jari ibu bapa, kain selimut ataupun rambut ibu ketika mendukung bayi.

Ia bagaimanapun tidak bermaksud bayi lapar, tetapi lebih kepada tindak balas automatik untuk membantu mengesan arah puting susu menggunakan deria sentuhan dan bau mereka.

2. Hand-to-Mouth Reflex/Babkin Reflex – Anak sedang belajar mengenal diri

Refleks itu menyebabkan bayi sering menghisap jari atau menumbuk sendiri bertujuan:

- Melatih koordinasi mulut dan tangan bagi persediaan makan

- Menenteramkan diri sendiri melalui tindakan 'comfort sucking'

- Mengenal anggota badan sendiri terutamanya jari dan tangan

Ia juga merupakan antara faktor mengapa ramai bayi berusia bawah enam bulan kelihatan obses dengan tangan mereka sendiri kerana itu adalah proses penting dalam perkembangan neurologi awal mereka.

3. Tongue Thrust Reflex - Perlindungan semula jadi daripada tercekik

Apabila bayi menjelir lidah, itu bukan tanda minta makanan tetapi sebagai tindak balas untuk membantu proses penyusuan dan melindungi bayi daripada tercekik dengan menolak keluar objek asing dari mulut.

Refleks tersebut biasanya akan hilang sekitar usia lima hingga enam bulan yang juga menjadi salah satu petunjuk bayi sudah bersedia untuk makanan pejal.

Maka, setiap tangisan, gerakan serta rengekan bayi mempunyai sebab-sebab tertentu dan bukan semuanya berkaitan dengan isu lapar atau permintaan susu.

Sebagai ibu bapa atau penjaga, amatlah penting untuk memahami kesemua refleks semula jadi tersebut agar membantu mengenal emosi dan keperluan bayi dengan lebih baik.

Elakkan daripada memberi susu berterusan tanpa henti, isyarat bahasa tubuh bayi perlu difahami dan dikaji dengan teliti demi kesihatan jangka masa panjang mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram