
"DARI luaran nampak okey, tapi hanya ALLAH yang tahu betapa penatnya menyesuaikan diri".
Demikian luahan seorang suri rumah disahkan menghidap Autisme Spektrum Tahap 1 (ASD Level 1) dan ADHD (AuDHD) oleh pakar psikiatri baru-baru ini.
Diagnosis itu disahkan secara klinikal pada 2 Julai lalu melalui dua kaedah piawaian iaitu DSM-5 (Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Edisi Kelima) dan ujian WAIS (Wechsler Adult Intelligence Scale).
BACA LAGI: 'Tak tau mana nak cari kesabaran', ibu hampir putus jaga anak 'mild' autism, mohon doa terus kuat
BACA LAGI: 'Bukan tak mahu, tapi tak mampu', Nina kongsi pengalaman isu susu badan vs formula
Kini beliau difahamkan sedang dalam proses menyesuaikan kehidupan seharian mengikut keperluan neurologinya sebagai individu neurodivergent, satu istilah menggambarkan otak berfungsi secara berbeza daripada kebiasaan.
Autisme dewasa wujud
Persepsi masyarakat terhadap autisme kebiasaannya berlaku pada kanak-kanak dengan simptom seperti lewat pertuturan, mudah tantrum dan sukar mendengar arahan tertentu.
Namun, hakikatnya autisme juga wujud dalam kalangan orang dewasa, malah ramai individu luar sana tidak sedar bahawa mereka mungkin tergolong dalam spektrum tersebut.
Berkongsi pengalamannya di laman Facebook, Sha Ramson Abdullah menjelaskan beberapa petanda dan kaedah mengenal pasti ciri autisme pada golongan dewasa.
"Ramai orang dewasa hidup bertahun-tahun tanpa tahu mereka sebenarnya autistik, mereka ada kerjaya, keluarga dan boleh bersosial tetapi secara diam-diam bergelut dalam rutin harian yang orang lain anggap 'biasa'," katanya.
Tahap autisme
- Tahap 1 (ringan): Masih boleh berdikari, tetapi memerlukan sokongan
- Tahap 2 (sederhana): Memerlukan sokongan yang lebih ketara
- Tahap 3 (teruk): Sangat bergantung kepada bantuan harian
Punca ramai autistik dewasa tak dikesan dari kecil
1. Kurang kesedaran zaman dulu
Sistem pendidikan dan masyarakat kurang peka terhadap neurodiversiti dengan kekurangan individu kebiasaannya hanya dilabel:
- Pemalu
- Degil
- Lembab
- Keras kepala
2. Autisme tahap ringan sering tersembunyi
Mereka kelihatan ‘normal’ tetapi menghadapi kesukaran dalam memahami sosial, menyusun barang atau mengurus rutin harian.
3. Perempuan autistik pandai ‘masking’ (berpura-pura normal)
Mereka bijak meniru gaya orang lain, tersenyum walau tidak selesa dan memendam emosi sehingga berlaku kecelaruan emosi tanpa disedari.
Tujuh simptom autisme dewasa
Berikut antara tanda-tanda yang dikongsikan Sha Ramson berdasarkan pengalamannya sendiri:
1. Sensitiviti sensori
- Tidak tahan bunyi bising, lampu terang atau tempat sesak.
- Tidak selesa bila kain bersentuhan kulit atau suhu sejuk melampau.
2. Sukar faham isyarat sosial
- Tidak faham sindiran, perlian atau maksud tersirat di sebalik ayat.
- Cenderung mengambil kata-kata secara literal Contohnya: "Kalau orang cakap 'pintu hati tertutup'... dia betul-betul bayangkan pintu".
3. Mudah penat (burnout)
- Sangat letih selepas berinteraksi sosial.
- Otak penat kerana terpaksa mengawal ekspresi muka, nada suara dan reaksi sepanjang masa.
4. Perlu rutin konsisten
- Panik jika jadual harian terganggu.
- Selesa dengan susunan, makanan dan tempat yang sama setiap masa.
5. Sukar buat keputusan
- Keliru nak pilih warna baju atau makanan.
- Terlalu banyak pilihan boleh menyebabkan kecelaruan otak dan tertekan.
6. Lurus dan terlalu jujur
- Jawapan terus terang tanpa ditapis dengan ayat mendorong kemarahan.
- Sering disalah faham sebagai kasar atau kurang ajar.
7. Sembunyi emosi
- Emosi tidak stabil akibat terlampau memendam dan menyimpan masalah sendirian.
- Bila terlampau letih emosi, terus senyap atau berdiam diri.
Hubungan Sha Ramson (kanan) dan suami tercinta kekal erat walaupun disahkan autisme.
Ujian diagnosis autisme dewasa
Diagnosis autisme dewasa tidak boleh dilakukan melalui ujian secara atas talian semata-mata. Ia memerlukan:
- Temu bual menyeluruh
- Pemerhatian tingkah laku
- Penilaian latar belakang zaman kanak-kanak
- Ujian piawaian:DSM-5 Diagnostic Criteria dan
WAIS-IV (Wechsler Adult Intelligence Scale)
Justeru, perkongsiannya di laman sosial membuka mata bahawa autisme dewasa sememangnya wujud dan tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat luar sana.
"Autism Level 1 (Asperger’s) memang tak boleh dilihat dari luaran sebab kami boleh bercakap dan nampak macam tak ada masalah tapi struggle untuk faham maksud tersirat.
"Saya Sha, disahkan Autism (ASD Level 1) + ADHD melalui ujian DSM-5 dan WAIS dan saya sedang belajar cara hidup mengikut kapasiti saya," katanya mengakhiri perkongsian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram