
GAYA sanggul besar dan ikatan rambut terlalu ketat serta tinggi semakin menjadi pilihan para wanita khususnya yang bertudung.
Namun, di sebalik trend yang semakin popular itu, pakar perubatan memberi peringatan, gaya rambut sedemikian berpotensi tinggi menyebabkan traction alopecia atau keguguran rambut berpunca daripada tarikan kronik terhadap akar rambut.
Menurut pakar dermatologi, istilah alopecia merujuk pada keguguran rambut secara am, namun traction alopecia berlaku khusus akibat tarikan berulang dan berterusan pada akar rambut, menyebabkan rambut tercabut dari folikel dan akhirnya gagal tumbuh semula.
BACA LAGI: [VIDEO] Tampil unik, jurusolek popular India dandan rambut pengantin perempuan replika ikan
“Traction alopecia boleh dicegah dan dirawat jika dikenal pasti lebih awal.
"Namun ramai masih tak sedar dan terus mengulangi gaya rambut ketat yang sama saban hari,” katanya.
Masalah tersebut mula dikenal pasti lebih seabad lalu oleh doktor di Greenland, selepas mendapati wanita yang sering mengikat rambut dalam bentuk ketat seperti gaya ponytail, mengalami keguguran rambut ketara di bahagian hadapan kepala.
Simptom awal mungkin kelihatan kecil seperti bintik-bintik menyerupai jerawat pada kulit kepala, gatal dan kemerahan.
Kawasan rambut yang sering tertarik seperti bahagian hadapan dan sisi kepala menjadi paling terjejas.
Namun jika berlarutan, ia boleh membawa kepada rambut menipis, rambut putus dan akhirnya kebotakan kekal.
Lebih membimbangkan, kawasan rambut yang sering tertarik seperti bahagian hadapan dan sisi kepala menjadi paling terjejas.
Dalam kes yang lebih kronik, lepuh bernanah dan keradangan folikel turut berlaku, menandakan kerosakan mendalam pada akar rambut.
Siapa berisiko?
Traction alopecia boleh menimpa sesiapa sahaja, namun ia lebih lazim dalam kalangan:
1) Wanita bertudung memakai sanggul palsu ketat.
2) Individu menggayakan rambut tocang, cornrow atau dreadlock.
3) Individu menggunakan sambungan rambut.
4) Pengguna alat penggaya rambut haba tinggi dan bahan kimia.
5) Penari balet, atlet gimnastik dan pekerja profesional yang perlu mengikat rambut kemas setiap hari.
6) Lelaki juga boleh mengalaminya terutama di kawasan janggut jika sering memutarnya dengan ketat.
Longgarkan ikatan rambut merupakan antara langkah pencegahan traction alopecia.
Cegah sebelum terlambat
Antara langkah pencegahan traction alopecia termasuklah:
1) Longgarkan ikatan rambut dan elak dari gaya ketat sepanjang masa.
2) Tukar gaya rambut secara berkala, jangan biarkan satu gaya berlarutan berminggu-minggu.
3) Elak guna getah rambut yang mencabut rambut.
4) Kurangkan penggunaan bahan kimia dan haba.
5) Gunakan penutup rambut satin jika memakai rambut palsu.
6) Elakkan tidur dengan rambut digulung menggunakan penggulung.
Jika rambut mula gugur atau kulit kepala menunjukkan simptom seperti pedih dan bintik merah, perlu segera berjumpa pakar.
Rawatan awal mampu menyelamatkan keadaan. Pakar dermatologi akan melakukan pemeriksaan dan dalam sesetengah kes, biopsi kulit kepala dilakukan untuk mengenal pasti punca sebenar.
Traction alopecia bukan sekadar isu kosmetik, tetapi masalah kesihatan rambut yang boleh memberi kesan jangka panjang jika diabaikan.
Bagi wanita yang gemar bergaya, sudah tiba masanya untuk menilai semula rutin rambut harian kerana kesihatan rambut anda lebih penting daripada trend semata-mata. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram