Elyana beri bayangan kembali bertarung melawan kanser, pertama kali didiagnos 16 tahun dulu


  • Maya
  • Ahad, 27 Jul 2025

Elyana berkongsi gambar terbaharu yang mencetuskan kebimbangan peminat tentang keadaan kesihatannya.

"KAU berharga, dan kau cukup layak untuk selalu dirayakan."

Itulah luahan penuh makna ditulis penyanyi dan pelakon Elyana di laman Instagram miliknya baru-baru ini, mencerminkan ketabahan seorang wanita yang telah berbelas tahun bertarung melawan penyakit kanser.

Walaupun tidak lagi aktif sepenuhnya dalam industri hiburan, nama Elyana tetap terpahat di hati peminat.

BACA LAGI: Bayi 5 bulan mati kebuluran di Gaza, berat badan lebih ringan berbanding saat baru lahir

BACA LAGI: Dekorasi 'hygiene first’ semakin popular, jubin porcelain tak serap kotoran, hiasan pokok peace lily tapis udara semula jadi

Ini bukan sekadar kerana bakat seni yang ditinggalkan, tetapi keberanian dan kejujuran beliau berkongsi kisah perjuangannya dengan rakyat Malaysia.

Baru-baru ini, Elyana menarik perhatian ramai selepas memuat naik sekeping gambar dirinya dalam keadaan yang mencetuskan kebimbangan peminatnya.

Dalam gambar tersebut, Elyana tersenyum sambil berswafoto di hadapan cermin namun memakai baju pesakit di hospital.

Bukan sahaja mengenakan pakaian pesakit di hospital, Elyana juga mencukur keseluruhan rambutnya sekali gus menimbulkan persoalan adakah penyakit kanser limfoma pernah dihadapinya kembali menyerang?

Walaupun beliau tidak menyatakan secara langsung mengenai relapse, kapsyen yang dimuat naik seiring dengan gambar itu menggambarkan satu bentuk keletihan emosi.

"Bermatian-matian berusaha untuk nampak tenang dan waras tanpa bercerita."

Peminat serta rakan artis membanjiri ruangan komen dengan kata-kata semangat dan doa, memohon agar Elyana terus kuat dan tidak berputus asa.

Elyana menarik perhatian ramai selepas memuat naik sekeping gambar dirinya dalam keadaan yang mencetuskan kebimbangan peminatnya.

Dari rahsia ke pendedahan umum

Perjalanan getir Elyana bermula sekitar 2009 apabila dia pertama kali disahkan menghidap kanser.

Namun ketika itu, beliau memilih untuk merahsiakan penyakitnya dan terus aktif menyanyi serta berlakon seperti biasa.

Tujuh tahun kemudian, pada 2017, Elyana mengejutkan ramai apabila mengumumkan secara terbuka bahawa dia sebenarnya telah menghidap kanser tahap empat.

Pendedahan itu dibuat sejurus selepas tersingkir daripada program Gegar Vaganza, dan menjadi titik perubahan dalam hidupnya serta pandangan masyarakat terhadap pesakit kanser.

Keadaan kesihatan naik turun

Selepas membuat pendedahan umum, Elyana menjalani pelbagai rawatan termasuk kemoterapi intensif, yang menyebabkan penurunan berat badan mendadak dan perubahan fizikal ketara.

Namun beliau tetap berkongsi perkembangan itu secara terbuka, bukan untuk meraih simpati tetapi untuk memberikan semangat kepada pesakit lain.

Pada 2021 menyaksikan sedikit sinar harapan apabila Elyana memaklumkan bahawa sel kanser dalam tubuhnya semakin mengecil.

Namun tidak lama kemudian, beliau memberi bayangan bahawa penyakit itu mungkin kembali.

Kini, dengan hantaran gambar terbaharu di Instagram, ramai menganggap kenyataan beliau mengisyaratkan bahawa beliau sedang berdepan relapse, walaupun tidak mengesahkannya secara rasmi.

Meskipun tidak lagi menghiasi pentas hiburan, Elyana tetap menjadi simbol kekuatan seorang wanita yang terus menyuluh jalan buat mereka yang sedang bertarung dengan kesakitan.

Kata-katanya sering menjadi sandaran buat ramai, seperti pesanan menyentuh hati baru-baru ini.

"Jika akhirnya kamu mendengar cerita buruk tentang diriku dari mereka, fahamilah aku juga pernah baik pada mereka, cuma mereka tidak menceritakan bahagian itu."

Beliau juga menyeru agar mereka yang sedang sakit menjauhi individu yang hanya pandai berkata-kata tetapi tidak memahami.

Dia menyampaikan mesej penting bahawa pesakit juga berhak dihargai, disayangi dan tidak dipandang rendah hanya kerana mereka kelihatan lemah secara fizikal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram