Hadir ke Minggu Fesyen Milan bersama kekasih, diari gaya Ameera Khan jadi tumpuan


  • Gaya
  • Isnin, 07 Jul 2025

Ameera Khan terus membuktikan dirinya sebagai wajah muda yang relevan di pentas fesyen antarabangsa. — Instagram/@littlemisskhan

NAMA Ameera Khan bukan lagi nama baru dalam dunia fesyen antarabangsa. Setiap tahun, beliau sering diundang ke minggu fesyen terkenal seperti Minggu Fesyen Paris dan Milan.

Kehadiran beliau di barisan hadapan acara-acara jenama terkemuka membuktikan pengaruh dan kehadirannya semakin diiktiraf dalam industri fesyen global.

Untuk persembahan musim bunga/panas 2026 di Milan, Itali, beliau sekali lagi mencuri perhatian dengan penampilan bergaya mengikut identiti setiap jenama.

Menariknya, untuk musim ini beliau hadir ditemani kekasihnya, pelakon dan model dari Indonesia, Jefri Nichol, sekali gus menambah perhatian ramai terhadap penampilannya.

BACA LAGI: Kulit tetap bermasalah walau tak culas amal rutin kecantikan, Deanna Yusoff kongsi tip awet muda tanpa modal

BACA LAGI: [VIDEO] Sambung puting susu ke botol plastik risiko jejas tingkah laku, penyebab kanak-kanak murung

Berikut lima penampilan utama Ameera yang paling mencuri tumpuan sepanjang MFW kali ini:

1. Dolce & Gabbana

Ameera membuka minggu fesyen dengan gaya penuh misteri dalam busana serba hitam dari Dolce & Gabbana.

Beliau mengenakan gaun ketat paras betis, dipadankan dengan sarung tangan hitam, beg tangan dan but hitam.

Rambut beliau dibiarkan terurai, memberikan sentuhan klasik dan mewah. Penampilan ini cukup kemas dan elegan, sesuai dengan imej jenama Itali tersebut.

2. Emporio Armani

Di pertunjukan Emporio Armani, Ameera memilih gaya maskulin dengan sentuhan feminin. Beliau menggayakan suit bersama seluar pendek berona hijau, lengkap dengan kolar beralun dan but hitam panjang bertali.

Rambutnya diikat sanggul rapi, manakala beg clutch rona beige dipadankan untuk melengkapkan penampilan secara ringkas dan kemas.

3. Tod's

Untuk gaya lebih ringkas, Ameera tampil dalam dress asimetri warna krim rekaan Tod’s. Potongan ala apron dengan tali kulit boleh laras di belakang leher dipadankan bersama seluar putih, menjadikan busana ini tampak moden dan praktikal.

Rambutnya dibiarkan lurus dan terurai, sesuai dengan identiti Tod’s yang sering menampilkan gaya Itali yang santai dan bersahaja.

4. Amiri

Ameera memilih gaya kasual tetapi tetap menarik untuk pertunjukan Amiri. Beliau memakai skirt pendek warna coklat bersama kemeja putih longgar dengan perincian jalur manik kelabu menegak di bahagian hadapan.

Rambutnya diikat kemas dan beliau membawa beg tangan clutch yang ringkas. Gaya ini selari dengan identiti Amiri yang sering menampilkan rekaan luxury streetwear dan elemen perincian yang unik.

5. Yohji Yamamoto

Untuk Yohji Yamamoto, Ameera tampil menggayakan dress hitam asimetri dengan potongan high-low, iaitu lebih pendek di bahagian belakang dan labuh di bahagian depan.

Rekaan tanpa lengan dengan perincian ruffle di bahagian bahu dan dada menjadikan busana ini kelihatan unik dan moden.

Fabrik yang ringan dipadankan dengan kasut pointy nose bertumit rendah menjadikan penampilan nampak kemas dan bergaya.

Rambutnya pula diikat tocang kemas, menjadikan keseluruhan gaya persis anak patung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram