
BEKAS isteri Hulk Hogan sempat memuat naik hantaran menyentuh hati ramai hanya beberapa hari sebelum hari kematiannya.
Ikon World Wrestling Entertainment (WWE) itu sebelum ini dilaporkan meninggal dunia pada usia 71 tahun di rumahnya, Clearwater, Florida, Amerika Syarikat (AS).
Lebih menyedihkan apabila bekas isteri ahli gusti profesional itu, Linda Hogan mengenang detik bahagia mereka menerusi hantaran di media sosial.
BACA LAGI: Pernah jalani lebih 25 pembedahan tulang belakang, legenda WWE Hulk Hogan meninggal dunia
Hulk Hogan merupakan legenda sukan gusti dunia yang mencetuskan fenomena di peringkat global. — Agensi
Dalam hantaran tersebut, Linda memuat naik foto dirinya bersama Hulk pada 1996 berserta kapsyen the good old days.
Gambar itu juga memaparkan Linda memakai gaun hitam dengan sarung tangan separas siku dan gaya rambut yang diikat ala ekor kuda.
Manakala, Hulk pula mengenakan kostum gusti merah dan kuning sambil memeluk Linda.
Untuk rekod, Hulk atau nama sebenarnya Terry Bollea berkahwin dengan Linda pada 1983 dan dikurniakan dua cahaya mata, Brooke, 37, dan Nick berusia 36 tahun.
Keluarga itu juga pernah membuat rancangan realiti televisyen mereka, Hogan Knows Best sekitar 2005 hingga 2007.
Nick (dua dari kanan) dan Brooke (dua dari kiri).
Rancangan yang disiarkan selama empat musim itu bagaimanapun diakhiri dengan pengakhiran perkahwinan Hulk dan Linda.
Linda memfailkan perceraian pada November 2007 dan secara rasmi berpisah pada 2009.
Beberapa bulan kemudian, Linda membuat pendedahan mengejutkan apabila mengakui bahawa dirinya menjadi punca kepada perpisahan mereka.
Selepas menimbulkan pelbagai dakwaan negatif terhadap bekas suaminya, Linda masih menyifatkan Hulk merupakan bapa dan suami yang baik. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram