
AMEERA Khan, atau nama sebenarnya Nur Ameera Abdul Halim Khan, terus mengukuhkan kedudukannya dalam persada fesyen antarabangsa dengan menghadiri pelbagai acara fesyen mingguan sejak beberapa tahun kebelakangan ini sehingga Mac 2025.
Dengan rupa paras menawan dan cita rasa fesyen yang tinggi, beliau sering diundang oleh jenama-jenama mewah untuk menghadiri pertunjukan fesyen mereka.
Selain menghadiri pertunjukan fesyen, Ameer, 25, juga sering berkongsi pengalaman dan gaya fesyennya di media sosial, menjadikannya sebagai ikon fesyen dalam kalangan pengikutnya.
Gaya fesyennya yang sentiasa mengikuti trend semasa, tetapi tetap mengekalkan identiti peribadi menjadikan beliau salah seorang individu paling berpengaruh dalam dunia fesyen Malaysia dan antarabangsa.
BACA LAGI: Sweden, Iceland antara negara terbaik buat wanita berhasrat kerja di luar negara
BACA LAGI: 5 gaya karpet merah paling menarik di Oscars 2025
Kehadirannya adik kepada pelakon dan usahawan, Noor Neelofa itu ke acara-acara berprestij ini tidak hanya membuktikan pengaruhnya dalam industri fesyen tetapi juga membuka lebih banyak peluang untuk berkolaborasi dengan jenama terkenal.
Berikut adalah antara acara pertunjukan fesyen yang pernah dihadiri oleh beliau:
Ameera tampil kasual sewaktu menghadiri pertunjukan Burberry. — Instagram/@littlemisskhan
Meskipun baru berusia 19 tahun ketika itu, namun Ameera sudah melebarkan sayapnya ke pentas fesyen dunia.
Melangkah kaki ke Shanghai pada tahun 2019, China bagi pertunjukan fesyen Burberry, Ameera mengenakan kemeja putih dengan logo 'Burberry London England' dipadankan dengan blazer bermotif kotak-kotak dalam warna neutral.
Rambutnya disanggul kemas dengan reben merah jambu, memberikan sentuhan feminin yang mewah.
Louis Vuitton Pre-Fall 2023 berlangsung pada 29 April di Jambatan Jamsugyo. — Instagram/@littlemisskhan
Pada April 2023, wanita berasal dari Kelantan itu menghadiri pertunjukan fesyen Louis Vuitton koleksi Pre-Fall 2023 di Korea Selatan yang hanya dihadiri oleh golongan kenamaan dan selebriti terkemuka.
Penampilan lebih avant-garde dengan blazer putih bercorak zip berwarna keemasan dan seperti tali pinggang berwarna hitam. Gaya tersebut dipadankan dengan seluar hitam dan beg tangan putih bercorak polka dot berwarna-warni.
Ameera sering tampil memukau di dalam setiap langkahnya ke pentas fesyen antarabangsa. — Instagram/@littlemisskhan
Pada tahun lalu pula, Ameera menghadiri Minggu Fesyen Milan untuk menyaksikan koleksi musim bunga/panas 2025 dari jenama-jenama terkemuka.
Ameera memperlihatkan gaya yang anggun dan mewah dengan sentuhan elegan minimalis apabila mengenakan busana serba putih daripada MaxMara, yang terdiri daripada kot oversaiz, dipadankan dengan knitwear putih dan skirt bermotifkan seperti kelopak bunga.
Penampilannya disempurnakan dengan kasut tumit tinggi perak yang menambah elemen moden pada keseluruhan gaya. Rambutnya yang panjang dan beralun dibiarkan terurai, melengkapkan aura elegan yang effortless.
Penampilan Ameera di acara pertunjukan fesyen sentiasa dinanti-nantikan oleh pengikutnya dan penggemar fesyen. — Instagram/@littlemisskhan
Selain itu, beliau juga memakai rekaan daripada Emporio Armani. Beliau mengenakan sut baldu berwarna mint green dengan potongan sut yang longgar namun terletak kemas memberi keselesaan.
Sentuhan aksesori seperti kaca mata hitam dan beg tangan hitam kecil menambah elemen eksklusif pada penampilannya.
Selendang mini hitam yang disilangkan di bahu memberi kontras yang menarik, menjadikan keseluruhan penampilannya tampak lebih dramatik dan berkelas.
Ameera menggabungkan aura kelembutan dan ketegasan dalam fesyennya sewaktu di Minggu Fesyen Paris pada tahun lepas. — Instagram/@littlemisskhan
Saban musim, Ameera pasti akan menghadiri Minggu Fesyen Paris dan sewaktu acara berlangsung, beliau akan duduk sebaris dengan selebriti antarabangsa yang lain.
Berlatar belakangkan Menara Eiffel, Ameera tampil memukau dengan mengenakan knitwear Louis Vuitton berleher tinggi berwarna krim dilengkapi sentuhan aksesori berbulu putih pada tangannya.
Beg Louis Vuitton berwarna hitam melengkapkan gayanya memberikan keseimbangan antara kelembutan dan ketegasan dalam fesyen.
Ameera tampil klasik dengan busana rekaan Dior. — Instagram/@littlemisskhan
Ameera turut hadir ke acara itu dalam busana mewah dari Dior yang mengetengahkan elemen klasik dan elegan. Gaun hitam dengan sulaman perak di bahagian hadapan menambahkan sentuhan mewah dan eksklusif sekali gus mencerminkan kehalusan seni couture Dior.
Penampilannya dilengkapkan dengan beg tangan hitam serta perincian emas dan kasut yang menambah ketinggiannya. Rambutnya yang diikat bersama anting-anting menyerlahkan pesona klasik yang sesuai dengan suasana mewah di sekelilingnya.
Ameera kini merupakan antara individu paling berpengaruh dalam dunia fesyen di Malaysia. — Instagram/@littlemisskhan
Pada musim bunga/panas 2025, Ameera sekali lagi menghadiri Milan Fashion Week, memperlihatkan gaya fesyen yang menawan dan elegan.
Beliau mengenakan gaun maxi tanpa lengan Fendi dengan corak abstrak dalam rona coklat gelap dan terang yang menyerlahkan lagi rekaan tersebut.
Gaya eksklusif ini dipadankan dengan beg tangan kulit hitam berkilat daripada Fendi serta subang yang menambahkan sentuhan elegan.
Kehadirannya dalam acara-acara ini turut mendapat liputan meluas dalam beberapa majalah fesyen antarabangsa sekali gus mengukuhkan lagi statusnya dalam dunia fesyen global.
Selain menghadiri pertunjukan fesyen, Ameera juga semakin aktif dalam bekerjasama dengan jenama-jenama mewah dalam pelbagai projek, termasuk sesi fotografi dan kempen digital.
Dengan keunikan gayanya dan kehadiran yang konsisten di pentas fesyen dunia, beliau semakin dikenali bukan sahaja sebagai seorang pempengaruh kecantikan tetapi juga sebagai ikon gaya yang berpengaruh dalam industri terlibat. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram