Model iklan AI majalah Vogue cetus kekeliruan, bimbang standard kecantikan plastik dijadikan ukuran


  • Gaya
  • Ahad, 27 Jul 2025

Model AI Guess tampil memukau dalam kempen fesyen yang mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai.

SEBUAH iklan terbaharu dalam edisi cetak Vogue isu Ogos telah mencetuskan perdebatan hangat apabila menampilkan model berambut perang yang kelihatan sempurna.

Namun begitu ia sebenarnya dicipta sepenuhnya oleh teknologi kecerdasan buatan (AI).

Model tersebut adalah hasil karya syarikat Seraphinne Vallora, yang dibayar oleh pengasas jenama fesyen Guess, Paul Marciano, melalui Instagram untuk menghasilkan wajah digital bagi kempen musim panas mereka.

BACA LAGI: Ilusi rumah Flovik cabar imaginasi, helah ruang bertingkat simpan rahsia tersembunyi

BACA LAGI: Elyana beri bayangan kembali bertarung melawan kanser, pertama kali didiagnos 16 tahun dulu

Walaupun iklan itu mempunyai label kecil menyatakan ia dicipta oleh AI, banyak pihak menganggap tindakan itu mengundang kesan serius.

Ia termasuk menjejaskan usaha selama bertahun-tahun ke arah kepelbagaian dalam industri fesyen dan meningkatkan tekanan terhadap pengguna, terutamanya golongan muda yang sudah pun bergelut dengan standard kecantikan.

Model plus-size dan aktivis industri, Felicity Hayward, menyifatkan langkah itu sebagai 'malas dan murah'.

Lebih membimbangkan, pengasas Seraphinne sendiri mengakui imej-imej di media sosial mereka kurang kepelbagaian dan imej wanita berkulit gelap atau rupa yang tidak konvensional kurang mendapat sambutan.

Walaupun mereka menegaskan teknologi mereka masih belum cukup canggih untuk hasilkan model bersaiz besar, ramai melihatnya sebagai alasan untuk kekal mempromosi rupa ideal kurus, muda dan berkulit cerah.

Kebimbangan turut timbul tentang impak psikologi termasuk risiko kepada kesihatan mental dan gangguan pemakanan apabila orang awam tidak sedar mereka melihat wajah rekaan komputer yang kelihatan 'terlalu sempurna'.

Tambah buruk, tiada undang-undang di United Kingdom (UK) yang mewajibkan untuk mengesahkan imej AI, menjadikan pengguna mudah terkeliru dan terpengaruh.

Pakar teknologi dan bekas model Sinead Bovell menyifatkan penyiaran iklan AI dalam Vogue sebagai bermasalah dan memberi isyarat bahawa ia kini diterima oleh institusi paling berpengaruh dalam fesyen.

Sementara itu, bekas model dan pengasas NGO Model Alliance, Sara Ziff, menegaskan AI hanya mengurangkan kos syarikat tetapi pada masa sama menjejaskan mata pencarian ramai kru dalam industri daripada jurusolek, jurugambar, hinggalah ke model sebenar.

Namun Seraphinne mempertahankan pendekatan mereka sebagai 'pelengkap, bukan pengganti', dan percaya teknologi mereka akan terus menjadi pilihan utama jenama-jenama besar pada masa depan.

Realitinya, di sebalik pilihan alternatif, trend model AI ini mungkin menambah lagi jurang antara dunia fesyen dan realiti.

Soalnya kini, adakah kita sedang menyambut masa depan atau melangkah ke arah industri yang sepenuhnya plastik tanpa jiwa? — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram