
DUNIA gusti profesional berduka dengan pemergian ikon World Wrestling Entertainment (WWE), Hulk Hogan yang dilaporkan meninggal dunia pada usia 71 tahun akibat serangan jantung pada Khamis.
Menurut kenyataan rasmi Jabatan Polis Clearwater, Florida, Amerika Syarikat (AS), pasukan kecemasan telah dipanggil ke kediaman Hogan di Clearwater Beach, AS sekitar pukul 9.50 pagi.
Mendiang kemudiannya dibawa ke Hospital Morton Plant dan disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.
BACA LAGI: Kekal imej bertanjak, Shaukat sudah sebelah kaki ke pentas WWE
"Tiada sebarang unsur jenayah atau aktiviti mencurigakan dikesan," katanya.
Simbol 'Hulkamania' dan era kegemilangan WWE
Hogan dianggap antara tokoh paling berpengaruh dalam sejarah gusti profesional.
Memulakan kerjayanya bersama WWE pada awal 1980-an, Hogan menjadi wajah utama acara WrestleMania pertama pada 1985, sekali gus melonjakkan populariti sukan itu ke arus perdana global.
Sebaris dengan nama-nama besar lain seperti Andre the Giant, Randy Savage dan The Rock, sepanjang kerjayanya dia telah memenangi enam kejuaraan dunia WWE dan diundang ke WWE Hall of Fame pada 2005 selain menganggap Macho Man sebagai musuh sejati dalam gelanggang gusti.
"Hulk Hogan membantu WWE mencapai pengiktirafan peringkat global, kami mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan-rakan dan peminat seluruh dunia," ujar WWE menerusi kenyataan rasmi di media sosial.
Populariti luar gelanggang
Populariti Hogan melangkaui gelanggang gusti apabila banyak menerima tawaran berlakon filem, diundang ke rancangan televisyen selain turut memiliki program realitinya sendiri iaitu Hogan Knows Best pada 2005.
Pada Konvensyen Kebangsaan Republikan AS 2024, Hogan menarik perhatian ramai apabila menyatakan sokongan kepada calon presiden Donald Trump melalui gaya promosinya yang ikonik.
"Kami kehilangan seorang rakan yang hebat hari ini, beliau seorang penghibur sejati yang memberi impak besar kepada budaya popular," tulis Trump dalam satu hantaran media sosial pada Jumaat.
Anjur liga gusti profesional
Walaupun berdepan pelbagai masalah kesihatan dan pernah menjalani lebih 25 pembedahan tulang belakang, Hogan kekal aktif dalam industri hiburan antarabangsa.
Pada April lalu, beliau mengumumkan pelantikannya sebagai pesuruhjaya pertama organisasi Real American Freestyle, liga gusti profesional tanpa skrip yang dijangka memulakan acara sulung pada Ogos ini.
"Gusti tetap gusti, saya mahu bantu generasi baru menjadi bintang besar," kata beliau ketika memperkenalkan liga tersebut.
Hulk Hogan pernah menganjurkan liga gusti profesional sekitar April lalu yang juga merupakan kejohanan gusti tanpa skrip pertama di dunia. — Agensi
Fakta menarik Hulk Hogan
1. Lebih 25 pembedahan sepanjang hidup
Hogan menjalani lebih 25 pembedahan termasuk:
- 10 pembedahan tulang belakang
- Pembedahan kedua-dua pinggul dan lutut
- Rawatan saraf akibat kecederaan gusti
Selain itu, Hogan juga pernah mengalami kesan lumpuh sementara di bahagian kaki akibat komplikasi pembedahan belakang.
2. Juara dunia WWE 12 kali
Berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia gusti, Hogan membuktikan dirinya berada di kelas tersendiri apabila telah menjuarai 12 gelaran juara dunia secara keseluruhan.
Berdasarkan rekod WWE, Hogan telah menjuarai kedua-dua takhta WWE dan World Champion Wrestling (WCW) sebanyak enam kali selain turut menjadi watak utama yang melonjakkan acara WrestleMania sehingga dikenali di peringkat global.
3. Pelakon dan personaliti popular
Hogan turut membintangi beberapa buah filem popular Hollywood seperti Suburban Commando (1991), Mr. Nanny (1993) dan No Holds Barred (1989).
Paling fenomena apabila dia muncul dalam rancangan realiti keluarga Hogan Knows Best (2005–2007) yang banyak mendedahkan sisi peribadi serta kisah menarik perjalanan seninya kepada peminat.
4. Pemain bass kumpulan rock
Sebelum terjun ke dunia gusti, Hogan merupakan pemain gitar bass sebuah band rock di AS sekitar 1960-an.
Meskipun kurang popular, minatnya terhadap muzik membentuk dirinya sebagai individu versatil dalam pelbagai bidang, sekali gus berjaya menawan dunia hiburan di persada dunia.
Justeru, pemergian Hulk Hogan bukan sahaja meninggalkan kekosongan besar dalam dunia gusti profesional, tetapi juga buat jutaan peminat yang membesar dengan era kegemilangannya.
Dari gelanggang gusti ke layar kaca, Hogan kekal sebagai figura yang bakal dikenangi sebagai legenda WWE yang tiada galang gantinya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram