Nina sambut ‘babymoon’ di Pulau Maldives, teruja menanti kelahiran cahaya mata ke-2


  • Bonda
  • Jumaat, 04 Jul 2025

Nina Ismail dan suami meluangkan masa dan percutian babymoon di pulau Maldives.

PERSONALITI, usahawan dan anak kepada bekas Perdana Menteri ke-9 Malaysia, Nina Ismail Sabri mencuri perhatian ramai apabila menyambut fasa kehamilannya dengan percutian babymoon eksklusif bersama suami, Hafiz Osman, di Pulau Maldives.

Meluangkan masa bersama di samping lautan biru dan landskap pemandangan indah di kepulauan tersebut, pasangan dua sejoli itu kini sedang menanti detik kelahiran cahaya mata pertama mereka dan kini difahamkan sedang memasuki trimester kedua kehamilan.

Menerusi perkongsian Nina di Instagram pada Jumaat, suasana percutian mereka kelihatan cukup mendamaikan dengan pemandangan laut biru jernih, hiasan vila atas air, serta momen mesra pasangan itu yang amat dicemburui ramai.

BACA LAGI: Diberi penghormatan kedutaan UAE, gadis Nepal diiktiraf miliki tulisan tangan tercantik dunia

BACA LAGI: [VIDEO] Selepas bersalin, suami hadiahkan Fila rumah baharu, anggap 'rezeki anak'

Bukan sekadar trend semata-mata, percutian babymoon menjadi salah satu kaedah terapi emosi buat pasangan suami isteri sebelum menyambut kelahiran cahaya mata.

Perjalanan kehamilan kali ini merupakan sesuatu yang istimewa buat Nina, memandangkan ia adalah anak pertama hasil perkahwinannya bersama Hafiz, usahawan dan figura terkenal di media sosial.

Terdahulu, Nina berkongsi berita kehamilannya pada 2 April lalu menerusi satu hantaran di Instagram dengan kapsyen manis, 'little bun in my oven, berserta gambar imbasan ultrasound kandungannya.

Walau tidak mendedahkan secara terperinci usia kandungan ataupun jantina bayi, pasangan itu memanggil zuriatnya dengan nama sementara 'HN' sebagai singkatan kepada gabungan nama mereka.

Anak sulung, Jeanelle Nika Mandagie

Pernah mendirikan rumah tangga dengan pereka fesyen terkenal Jovian Mandagie, hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Jeanelle Nika Mandagie.

Namun, mahligai cinta dibina pada Disember 2013 itu berakhir selepas kedua-duanya dilaporkan berpisah pada Ogos 2023.

Walaupun perpisahan mereka mengejutkan ramai pihak, masing-masing kekal profesional dalam urusan penjagaan serta keperluan anak, bahkan, Jovian dilihat turut menjaga Jeanelle sementara Nina sedang bercuti di Maldives.

Perkongsian Instastory Jovian Mandagie.

Latar belakang keluarga

Nina merupakan satu-satunya anak perempuan daripada empat beradik dalam keluarga Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob dan Datin Sri Muhaini Zainal Abidin.

Dibesarkan dalam persekitaran elit dan penuh disiplin, adiknya, Gadaffi Ismail Sabri atau lebih dikenali sebagai Dafi merupakan penyanyi popular yang pernah menyertai program realiti Akademi Fantasia.

Bapanya Ismail Sabri merupakan tokoh politik tersohor negara yang pernah menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 (2021-2022), selain pernah menjadi Menteri Pertahanan dan Menteri Pertanian.

Di sebalik wajah manis dan status sosialnya, Nina turut memiliki perniagaan salon kecantikan eksklusif yang diusahakan iaitu 'Capello by Nina'.

Menjelang kelahiran yang dijangka beberapa bulan sahaja lagi, ramai dalam kalangan pengikut dan rakan selebriti serta pempengaruh seperti Fazura, Nadia Nasimuddin dan Elizabeth Thea turut menitipkan doa serta ucapan tahniah kepada pasangan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram