
PENGALAMAN bergelar ibu menyusu merupakan detik sukar dilupakan setiap wanita.
Ada berpendapat, ia merupakan sumber makanan terbaik bagi bayi baru lahir namun, segelintir pihak tampil membidas perkara itu dengan hujah bahawa susu formula lebih berkhasiat dalam soal tumbesaran anak.
Tampil dengan pendapat berbeza-beza, isu itu menjadi topik hangat di laman sosial kebelakangan ini ekoran percanggahan fahaman yang sukar diterima segelintir ibu di luar sana.
BACA LAGI: Nina sambut ‘babymoon’ di Pulau Maldives, teruja menanti kelahiran cahaya mata ke-2
BACA LAGI: 'Tak tau mana nak cari kesabaran', ibu hampir putus jaga anak 'mild' autism, mohon doa terus kuat
Berkongsi pengalaman, personaliti, usahawan dan anak kepada bekas Perdana Menteri ke-9 Malaysia, Nina Ismail Sabri lantang menyuarakan pendapatnya berhubung isu berbangkit.
Nina merupakan antara personaliti dan usahawan popular negara.
Katanya, kedua-dua susu formula ataupun susu badan mempunyai kebaikan tersendiri bergantung kepada situasi dan keupayaan tubuh badan si ibu.
Enggan memihak kepada mana-mana jawapan, hal itu menurutnya tidak wajar menjadi pertikaian kerana keutamaan yang paling penting adalah kesihatan dan keperluan bayi usai kelahiran.
"Saya lalui tempoh bersalin yang sangat panjang di bilik pembedahan, lepas tu kena czer, malam tu saya ingat jururawat datang untuk susukan anak.
"Saya tiada apa untuk diberi, susu tak keluar dan sangat penat ketika itu, saya bagitahu jururawat tolong bagi susu formula dan jangan ganggu sebab saya mahu tidur.
"Saya tidur sepanjang malam dan esoknya bangun kolostrum mula ada, saya percaya sebab dapat rehat dan tidur yang cukup, kena jaga diri juga untuk kebaikan bayi okay," ciapnya di laman Threads pada Khamis.
Tambahnya lagi, susu formula tidak menjadi satu kesalahan bahkan berperanan sebagai solusi buat ibu di luar sana yang mungkin bergelut untuk mendapatkan bekalan mencukupi untuk si bayi.
Malah, Nina sendiri turut menggunakan susu formula selepas anaknya enggan lagi menyusu badan seawal usia tujuh bulan.
"Saya tak faham mereka yang suka tekankan susu badan lebih bagus daripada susu formula, saya menyusukan Jeanelle sampai dia berusia tujuh bulan.
"Some moms I know try very hard to give breast milk but dah tak ada susu nak buat macam mana kan? Pada saya selagi bayi dijaga dengan baik, susu badan atau formula tak kisah, you do you ok mommies, dont stress yourself out," katanya.
Menggesa orang ramai untuk sentiasa menghormati apa jua pendekatan dan kaedah digunakan, Nina tegas menyatakan setiap ibu mahukan yang terbaik untuk anak-anak dan hal itu tidak wajar dipertikaikan.
Yakin bahawa kemudahan teknologi mampu berperanan sebagai rujukan terbaik zaman kini, setiap pendapat dan panduan di laman sosial seharusnya mendorong ke arah psoitif dan membina semangat buat si ibu.
"Bagi pendapat hanya bila diperlukan dan diminta, kebanyakan ibu sudah membuat soal selidik cuma circumstances je berlainan for everyone.
"As fellow moms we should all just be supportive of one another," tambahnya.
Terdahulu, Nina mencuri perhatian ramai apabila menyambut fasa kehamilannya dengan percutian babymoon eksklusif bersama suami, Hafiz Osman, di Pulau Maldives.
Perjalanan kehamilan kali ini merupakan sesuatu yang istimewa buat Nina, memandangkan ia adalah anak pertama hasil perkahwinannya bersama Hafiz, usahawan dan figura terkenal di media sosial.
Walau tidak mendedahkan secara terperinci usia kandungan ataupun jantina bayi, pasangan itu memanggil zuriatnya dengan nama sementara 'HN' sebagai singkatan kepada gabungan nama mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram