
PENGALAMAN membesarkan anak merupakan satu detik bermakna tidak boleh dijual beli bahkan, cukup bernilai bagi setiap yang bergelar ibu bapa.
Tidak dinafikan, setiap pasangan mempunyai cabaran dan kisah berbeza yang mungkin tidak seindah yang dijangka ekoran pelbagai faktor luaran yang mendesak.
Namun, perkongsian seorang ibu dikenali sebagai Has Mieza di laman sosial nyata mengundang seribu satu kesedaran tanggungjawab terhadap setiap ibu bapa yang dikurniakan anak istimewa.
BACA LAGI: Lindungi masa depan isteri dan anak, 5 perkara suami perlu cakna andai ditakdirkan 'pergi' dulu
Meluahkan rasa letih, kecewa dan putus asa dalam menguruskan anak perempuan berusia 6 tahun didiagnosis mild autisme, wanita itu menceritakan cabarannya menguruskan tingkah laku cahaya matanya yang semakin sukar dikawal.
"Sebelum ni semuanya okay tapi semenjak dua menjak hari-hari berak dalam seluar, tapi bila bawa ke tandas dia tak nak buang air besar.
"Jenuh paksa masih tak berak di tandas tapi bila dah pakai baju, tak sampai dua jam dia mesti terberak seluar itu bermaksud dia tahan berak dia.
"Stress! Hari-hari aku marah, menangis, mengamuk tapi masih sama, lepas pakai baju tak sampai dua jam, dia mesti terberak," kongsinya di laman Threads.
Dalam pada itu, Has Mieza turut menyatakan kebimbangan apabila anaknya sering menahan diri daripada membuang air besar dan akan membuang secara tidak sengaja apabila terlambat.
Malah, dia juga pernah menyaksikan anaknya sengaja membuang air kecil di atas karpet rumah walaupun menyedari kelakuan tersebut.
Lebih menyedihkan apabila keluarga itu turut berdepan isu kewangan yang disifatkan hanya 'cukup-cukup makan' dan terpaksa menumpang di rumah keluarga mentua.
"Kami laki bini hari-hari cuma bersabar tapi dia tetap buat benda sama, dah mohon kemasukan ke Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), bulan depan baru tau keputusan sama ada diterima ke tak.
"Macam mana kalau sekolah tak terima keadaan dia, kami nak hantar ke swasta langsung tak mampu, makan minum, tempat tinggal pun tumpang rumah mentua memang semuanya cukup-cukup makan.
"Tak tau lagi mana nak cari kesabaran dan kekuatan nak jaga anak istimewa macam ni," ujarnya.
Di sebalik tekanan dihadapi, jauh di sudut hatinya dia amat menyayangi anaknya namun perasaan kecewa melampau kadangkala mendorongnya untuk berfikir perkara yang tidak sepatutnya dilakukan.
Menitip doa agar dikurniakan kesabaran, kekuatan dan kecekalan dalam membesarkan anak, kisah dikongsikan Has Mieza nyata membuka mata ramai pihak terutamanya mereka yang memiliki anak istimewa.
Ciri-ciri mild autisme
Mild autisme merujuk kepada autisme berfungsi tinggi (high-functioning autism) apabila seseorang kanak-kanak mempunyai keupayaan kognitif dan pertuturan yang hampir normal, tetapi menunjukkan kelainan dari segi sosial dan emosi.
Berikut merupakan antara tanda awal mild autisma perlu dipantau oleh ibu bapa:
1. Kurang hubungan mata
Si kecil jarang menatap mata ketika bercakap atau ketika dipanggil.
2. Suka bersendirian
Lebih selesa bermain seorang diri walaupun berada dalam kumpulan kanak-kanak.
3. Sukar faham arahan
Sukar memahami mimik muka, intonasi suara atau bahasa tubuh individu walaupun ibu bapa sendiri.
4. Minat yang terhad dan tingkah laku berulang
Contohnya suka menyusun barang secara berulang, tertarik dengan satu objek atau topik sahaja.
5. Sensitif terhadap bunyi, cahaya atau tekstur
Segelintir kanak-kanak mild autisme tidak suka disentuh, cepat panik jika terdengar bunyi bising dan gemar memilih makanan mengikut tekstur.
6. Isu tandas atau rutin harian
Sukar dilatih ke tandas (toilet train), menahan air kecil dan air besar atau suka ulang tingkah laku tertentu.
7. Bahasa dan pertuturan lewat
Kanak-kanak mild autisme kebanyakannya lewat bertutur atau menggunakan bahasa yang tidak sesuai dengan konteks sosial.
Justeru, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memantau dan memahami anak-anak sejak dari usia bayi bukan hanya untuk mengenal pasti masalah, tetapi juga untuk menyokong keperluan si kecil.
Program intervensi awal seperti terapi pertuturan dan kaunseling tingkah laku boleh membantu anak dengan ciri mild autisme membina kemahiran sosial serta kendiri yang lebih baik sebelum memasuki alam persekolahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram