[VIDEO] DPR Indonesia tak ubah seperti pusat karaoke angkara Melly Goeslaw-Giring, tak dapat bayangkan jika berlaku di Dewan Rakyat


  • Hiburan
  • Khamis, 24 Jul 2025

Tangkap layar Melly Goeslaw (kiri) dan Giring Ganesha ketika saling berbalas lagu dalam mesyuarat di Kompleks Parlimen, Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

DEWAN Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia kecoh apabila dua tokoh terkenal, Melly Goeslaw dan Timbalan Menteri Kebudayaan, Giring Ganesha saling berbalas lagu dalam satu mesyuarat di Kompleks Parlimen, Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

Perbincangan itu yang sepatutnya membincangkan laporan bajet 2024 walau bagaimanapun berubah apabila Pengerusi Komisi X, Hetifah Sjaifudian mengumumkan terdapat agenda tambahan bagi meraikan hari lahir Giring yang juga bekas vokalis kumpulan Nidji tersebut.

BACA LAGI: Azhar Sulaiman titip rasa syukur, 3 anak tamat belajar 'overseas', dah mula bekerja

BACA LAGI: [VIDEO] ‘John Terry ingat saya pro player ke? Saya penyanyi je tau’, respons Tomok lepas kena ‘tackle’

"Rupa-rupanya kita ada dua agenda hari ini, satu membincangkan bajet 2024 dan satu lagi meraikan hari lahir Timbalan Menteri Kebudayaan.

"Jadi, kita minta Teh Melly bagi pihak Suruhanjaya X menyampaikan hadiah berupa beberapa rangkap lagu," ujarnya.

Memenuhi permintaan istimewa itu, Melly Goeslaw yang juga anggota Komisi X dari parti Fraksi Gerindra, tampil menyanyikan lagu popularnya Jika dengan lirik yang diubah sempena hari lahir Giring.

Momen itu disambut sorakan dan tepukan hadirin, sebelum Hetifah meminta Giring membalas dengan lagunya pula.

 

 

Giring yang kelihatan terharu, mengakui itu adalah kali pertama beliau bercakap dalam mesyuarat Komisi X dan menggunakan mikrofon dalam dewan tersebut.

"Saya harap ini adalah permulaan kerjasama yang luar biasa antara kami semua," katanya sebelum menyanyikan lagu Laskar Pelangi, sebuah naskhah ikonik yang sinonim dengan perjalanan seninya bersama Nidji.

"Menarilah dan terus tertawa, walau dunia tak seindah syurga, bersyukurlah pada yang kuasa, cinta kita di dunia, selamanya," balasnya yang mencetuskan suasana penuh ceria dalam dewan.

Rakaman tular itu hangat diperkatakan di laman sosial dengan rakyat tempatan khususnya di Malaysia juga terhibur dengan perubahan landskap politik di negara jiran.

Namun, tidak kurang juga pihak yang menyuarakan kebimbangan jika budaya sedemikian kian menular ke Parlimen negara satu hari kelak.

"Tak dapat bayangkan kalau berlaku di Malaysia, mesti ribut jadinya bila orang seni jadi ahli politik," kata Mohd Amar.

"Beza sungguh dengan politik di Malaysia, sini semua lantang bersuara dan tegas semuanya, mungkin lebih harmoni kalau penyanyi jadi wakil rakyat," ujar Shira.

"Jadi pusat karaoke dah Dewan Parlimen negara seberang, tak mustahil boleh jadi di Malaysia, kita ada penyanyi rap jadi wakil rakyat dah sekarang," tambah Amin889.

Sekadar info, politik tanah air sebelum ini turut dihiasi beberapa selebriti dan figura popular hiburan tempatan antaranya Altimet yang mewakili DUN Lembah Jaya, Dira Abau Zahar (DUN Rim), Datuk Afdlin Shauki (Parti Keadilan Rakyat), Datuk Seri Eizlan Yusof (PAS) dan Anne Ngasri (Puteri Umno). — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram