
UKURAN lilitan kepala bayi mungkin kelihatan remeh, namun ia sebenarnya petunjuk penting bagi mengenal pasti masalah kesihatan serius seawal usia dua tahun.
Simptom macrocephaly dan hydrocephalus merupakan antara isu sinonim dengan perubahan saiz kepala si kecil yang kerap kali dipandang ringan ibu bapa.
Pakar Kanak-Kanak, Dr. Ana Yasmin menekankan kepentingan pemantauan perkembangan saiz kepala anak sejak lahir hingga usia dua tahun yang menurutnya berupaya mencegah sebarang pertumbuhan tidak normal.
BACA LAGI: Isu kesihatan jejas simpanan persaraan, 75 peratus rakyat tiada RM250,000 menjelang usia 54 tahun
BACA LAGI: Lindungi masa depan isteri dan anak, 5 perkara suami perlu cakna andai ditakdirkan 'pergi' dulu
"Bayi dan kanak-kanak bawah dua tahun penting untuk pantau lilitan kepala.
"Ia memberi gambaran kasar perkembangan otak bayi dan kita boleh kenal pasti pertunjuk awal untuk keadaan seperti macrocephaly (saiz kepala besar) dan hydrocephaly (pengumpulan cecair berlebihan di otak)," kongsinya di laman Threads.
Apa itu Macrocephaly dan Hydrocephalus?
Menurut kajian antarabangsa, Macrocephaly ialah simptom di mana bayi mempunyai saiz kepala lebih besar daripada purata usia dan jantina mereka.
Keadaan itu menjejaskan kira-kira dua hingga lima peratus bayi di Amerika Syarikat (AS) dan boleh menjadi petanda awal kepada pelbagai masalah seperti:
- Pengumpulan cecair otak (hydrocephalus)
- Tumor atau jangkitan otak
- Gangguan genetik (contohnya Sindrom X Rapuh, neurofibromatosis)
- Pendarahan otak
Antara simptom awal boleh dikesan adalah seperti urat timbul di kepala, saiz kepala membesar dengan cepat, mata menjeling ke bawah (sunset eyes), kurang selera makan dan sawan.
Sementara itu, hydrocephalus pula ialah simptom di mana cecair serebrospinal terkumpul dalam ventrikel otak sehingga menekan struktur dalaman kepala.
Tekanan itu boleh merosakkan otak dan membawa kepada masalah kesihatan jangka panjang jika tidak dirawat.
Dr. Ana Yasmin kerap berkongsi ilmu dan kesedaran tentang kepentingan pemantauan kesihatan awal anak. — Instagram/Dr. Ana Yasmin
Gejala hydrocephalus pada bayi termasuklah:
- Kepala membesar luar biasa
- Bahagian lembut di atas kepala (fontanel) membonjol
- Muntah, mengantuk, sawan
- Mata tertumpu ke bawah (sunset eyes)
Justeru, pemantauan perkembangan fizikal anak termasuk ukuran kepala adalah tanggungjawab utama ibu bapa dalam tempoh dua tahun pertama kelahiran.
Ukuran lilitan kepala perlu dibandingkan dengan panjang dan berat badan si kecil bagi mengenal pasti sebarang ketidakseimbangan dalam tumbesaran mereka.
Diagnosis dan rawatan bagi kedua-dua simptom berkenaan boleh dilakukan dengan cara pemeriksaan fizikal (ukuran lilitan kepala), imbasan ultrasound, CT scan atau MRI serta pemeriksaan neurologi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram