Semakin ramai pilih perbelanjaan bijak, kesedaran 'deinfluencing' tolak pembelian impulsif didorong pempengaruh


  • Gaya
  • Khamis, 24 Jul 2025

Generasi muda lebih gemar berkhemah dan tidak terikut-ikut dengan trend fesyen di sosial media semata-mata. — Gambar hiasan/Freepik

DI sebalik inovasi dan perubahan fesyen yang semakin berkembang hari demi hari, trend deinfluencing kini mula diterima dalam kalangan generasi muda.

Merupakan satu pendekatan yang menyeru pembelian secara bijak, beretika dan berkesedaran, deinfluencing menolak budaya pempengaruh yang mendorong pembelian berlebihan secara atas talian.

Paling bagus, ia menggalakkan pengguna untuk menilai keperluan sebenar dan memupuk pemilihan pakaian yang berkualiti serta tahan lama.

BACA LAGI: Pantau ukur lilit kepala anak, cegah simptom Macrocephaly dan Hydrocephalus seawal usia 2 tahun

BACA LAGI: Lindungi masa depan isteri dan anak, 5 perkara suami perlu cakna andai ditakdirkan 'pergi' dulu

Portrait beautiful young asian woman review and use cosmetic on sofa in living room interior

Fesyen pempengaruh di media sosial memainkan peranan penting terhadap trend pembelian atas talian. — Gambar hiasan/Freepik

Sokongan generasi Z 

Golongan muda khususnya generasi Z dilihat sebagai kelompok utama yang menerajui perubahan tersebut.

Asfaq Luthfiya Kuthubtheen, 18, menyifatkan tekanan media sosial sebagai faktor utama yang menjadikan ramai pengguna seolah-olah perlu sentiasa memiliki pakaian baharu untuk kelihatan relevan.

"Media sosial menjadikan seolah-olah kita perlu membeli benda baru setiap masa. Tapi saya gembira semakin ramai yang mula sedar dan berani berkata tidak kepada trend yang tidak perlu," katanya.

Sementara itu, Leong Yew Keong, 22, yang dahulunya gemar membeli secara berlebihan, kini memilih pendekatan membeli barangan terpakai dan lebih berhemah. 

Namun, wanita itu sentiasa peka dan menghindari sebarang pembelian yang boleh membawa kepada pembaziran.

"Yang penting, pastikan setiap pembelian itu berbaloi dan benar-benar akan digunakan," katanya.

Fesyen lebih penting, bukan trend semata

Menurut Pensyarah Kanan di Universiti Taylor, Dr Alshaimaa Bahgat Ezzat Alanadoly, menjelaskan bahawa deinfluencing bukan sekadar satu trend semata-mata, sebaliknya ia merupakan budaya yang semakin berkembang sejak 2023.

"Deinfluencing memberi ruang kepada pengguna untuk berhenti sejenak, berfikir sebelum membeli dan membuat keputusan yang lebih bertanggungjawab. 

Ia bukan tentang rasa bersalah, tetapi lebih ke arah keseimbangan," jelasnya.

Tambahnya, faktor ekonomi turut memainkan peranan besar dalam perubahan tingkah laku pengguna hari ini. 

Platform seperti Carousell dan kedai barangan terpakai tempatan mendapat sambutan, manakala khidmat sewa pakaian menjadi pilihan yang lebih berpatutan terutamanya ketika musim perayaan.

Beliau dalam masa sama turut memuji inisiatif beberapa gedung pakaian tempatan seperti Biji-Biji Initiative, Kloth Circularity serta program kelestarian global dijalankan Re.Uniqlo yang membantu mendidik pengguna tentang pilihan fesyen yang lebih bijak.

Sokongan jenama popular

Terkesan dengan perubahan tersebut, beberapa jenama dikenali antarabangsa tampil menyuarakan sokongan dan perubahan dalam setiap keluaran serta penghasilan produk pakaian mereka.

Antara yang cakna tentang trend tersebut adalah jenama pakaian lelaki The Shirt Bar, yang beroperasi di Malaysia dan Singapura.

Pengasasnya, Serene Ang berkata, pendekatan jenamanya kini lebih tertumpu kepada trend slow fashion yang memberikan fokus kepada kualiti, fungsi serta nilai dalam tempoh jangka masa panjang.

"Kami tidak lagi mempromosikan trend semata-mata, sebaliknya lebih gemar berkongsi tip penggayaan bijak dan mendidik orang ramai agar memilih pakaian yang tahan lama dan memberi impak positif kepada kehidupan mereka," jelasnya.

Pakaian dihasilkan menurutnya dilengkapi ciri inovatif seperti teknologi anti bakteria, anti bau dan tahan tumpahan menjadikan setiap helaian bukan sekadar bergaya tetapi juga berkualiti.

Justeru, deinfluencing kini bukan sahaja semakin mendapat kepercayaan malah turut menjadi cerminan terhadap perubahan budaya serta kualiti dalam dunia fesyen era moden. 

Tidak lagi mengejar likes semata-mata di media sosial, pengguna kini lebih tertumpu kepada fesyen yang menonjolkan identiti diri serta menyokong gaya hidup yang lebih lestari. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram