Isu kesihatan jejas simpanan persaraan, 75 peratus rakyat tiada RM250,000 menjelang usia 54 tahun


  • Bonda
  • Rabu, 23 Jul 2025

Simpanan persaraan hari tua kian terjejas ekoran isu kesihatan dihadapi rakyat Malaysia. — Gambar hiasan/Freepik

PERSARAAN yang sepatutnya menjadi fasa rehat selepas puluhan tahun bekerja, kini semakin sukar dicapai bagi kebanyakan rakyat Malaysia. 

Data menunjukkan lebih 75 peratus individu berusia 54 tahun tidak memiliki simpanan persaraan mencukupi, malah jumlahnya kurang daripada RM250,000.

Jika dibahagikan, simpanan sebanyak itu hanya memberi sekitar RM1,050 sebulan untuk bertahan selama 20 tahun selepas bersara dan jumlah itu dikategorikan di bawah paras garis kemiskinan nasional.

BACA LAGI: Lindungi masa depan isteri dan anak, 5 perkara suami perlu cakna andai ditakdirkan 'pergi' dulu

BACA LAGI: 'Mereka bunuh semua impiannya, rai kematian anak saya', keluarga trauma, Ahmed Jazar ditembak tentera Zionis depan mata

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed menerusi kenyataan menyifatkan kebanyakan rakyat tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk hari tua.

Situasi itu lebih membimbangkan apabila sebahagian besar pekerja terpaksa meninggalkan alam pekerjaan lebih awal akibat masalah kesihatan.

Masalah kesihatan halang pekerja capai usia persaraan

Data Perkeso menunjukkan peningkatan mendadak dalam tuntutan keilatan meningkat lebih 160 peratus dalam tempoh 10 tahun lalu. 

Pada 2023 sahaja, lebih 52 daripada setiap 10,000 pekerja aktif membuat permohonan keilatan, dengan purata usia pemohon hanya sekitar 45 tahun.

Lebih membimbangkan, 85 peratus daripada kes itu berpunca daripada penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, penyakit jantung, strok dan kegagalan buah pinggang yang rata-ratanya bukan kerana kemalangan atau kecederaan.

Dalam pada itu, cadangan menaikkan umur persaraan kepada 65 tahun dilihat logik selari dengan peningkatan jangka hayat. 

Namun, tanpa menyokong golongan yang terjejas kesihatan, ia ibarat membina jambatan untuk segelintir yang bernasib baik, manakala yang lain tenggelam sebelum tiba ke seberang.

"Malaysia masih menggunakan sistem persaraan berasaskan caruman (defined contribution), di mana jumlah simpanan bergantung sepenuhnya kepada tempoh dan kadar caruman. 

"Sekiranya seseorang terpaksa berhenti awal, simpanan persaraannya akan terjejas teruk.

"Malah, pengeluaran KWSP disebabkan masalah kesihatan telah meningkat 41 peratus sejak 2015, dengan lebih RM93 bilion dikeluarkan pada 2023 sahaja kerana kehilangan upaya.

Mohammed Azman (gambar kecil) menyarankan rakyat Malaysia segera beralih ke sistem persaraan yang lebih inklusif dan realistik.

Bukan sekadar pampasan

Perkeso kini berperanan bukan hanya sebagai agensi pemberi faedah, tetapi turut memfokuskan kepada pencegahan dan pemulihan. 

Program Saringan Kesihatan menyasarkan golongan 40 tahun ke atas untuk mengesan awal risiko penyakit, manakala program Return-To-Work (RTW) pula membantu mereka yang hilang upaya kembali bekerja melalui rehabilitasi dan penyesuaian kerjaya.

Mohammed Azman dalam masa sama turut mensarankan agar rakyat Malaysia segera beralih ke sistem persaraan yang lebih inklusif dan realistik, antaranya:

- Laluan persaraan anjal.

- Pilihan pekerjaan untuk mereka yang hilang upaya separa.

- Jaminan pendapatan minimum bagi yang terpaksa berhenti awal.

Persaraan tidak lagi boleh dinilai semata-mata berdasarkan usia, sebaliknya bergantung pada kemampuan fizikal dan kesihatan individu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram