
BERENTAP pada perlawanan amal Zurich Liga 7X7 All Stars baru-baru ini, penyanyi popular, Shah Indrawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Tomok berkongsi momen menarik ketika kakinya dipijak legenda Liga Perdana Inggeris (EPL), John Terry.
Dalam satu perkongsikan di laman Instagram, pelantun lagu Aku Datang itu terlibat dalam satu perebutan bola bersama bekas bintang pasukan Chelsea tersebut.
"Seni berat daripada John Terry, dia ingat saya ni pro player ke? Saya ini penyanyi je tau," tulisnya.
Dalam pada itu, pasukan Bangsa Bola yang dipimpin Terry, serta dibarisi bekas pemain Liga Super seperti Mahali Jasuli, Razman Roslan, Sean Selvaraj dan Sebastian Avanzini, muncul juara secara keseluruhan.
Berjaya menafikan tentangan pasukan Wizards yang diperkuatkan kehadiran legenda Manchester United Ryan Giggs, Terry dan rakan sepasukannya menang 6-2 dalam aksi kemuncak itu.
Enam gol diraih menerusi bekas pemain Selangor FC, Sean Selvaraj yang meledak empat gol; bekas pemain Harimau Malaya, Mahali Jasuli satu gol dan satu lagi disumbangkan pemain Negeri Sembilan FC, Sebastian Avanzini.
Juara membawa pulang trofi kejuaraan dan pingat emas yang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Liga X, Adam Azman, manakala yang lain membawa pulang medal.
Bekas pemain Chelsea itu menerusi laporan media meluahkan rasa teruja dengan pengajuran kejohanan tersebut selain berharap pasukannya dapat mempertahankan gelara juara dalam edisi yang akan datang nanti.
"Harap-harap ia akan ada lagi tahun depan dan kami boleh kembali ke sini untuk mempertahankan trofi kami.
"Amat baik untuk kembali ke sini kerana suasananya amat hebat. Chelsea kini juara dunia dan kami muncul juara di Malaysia," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram