
BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul. Demikian peribahasa sesuai digambarkan menerusi kecekalan seorang suami yang gigih berniaga demi kelangsungan hidup dan kesihatan isterinya.
Biarpun menghidap penyakit kronik buah pinggang tahap lima, perniagaan air balang dijalankan menjadi sumber rezeki seisi keluarganya selepas isterinya diserang strok dan lumpuh seluruh badan sejak beberapa tahun lalu.
Bergantung sepenuhnya kepada saluran tiub pernafasan, isterinya kini hanya terlantar di kerusi roda dan perlu diberikan penjagaan rapi oleh sang suami.
BACA LAGI: Azhar Sulaiman titip rasa syukur, 3 anak tamat belajar 'overseas', dah mula bekerja
"Isteri saya dia sakit kencing manis, lepas tu ada strok dan kaki dia dah dipotong, kemudian dia dah tak boleh bercakap dah sekarang nak makan pun tak boleh.
"Dia makan pakai tiub sekarang, saya terima je apa dah berlaku dan redha dengan kehendak ALLAH.
"Sekarang jual air kadang-kadang habis kadang-kadang tak, kalau habis tu saya suka la, tapi kebanyakannya diberi pada orang kalau lebih," katanya menerusi video tular di TikTok baru-baru ini.
Lebih memilukan apabila pasangan dipercayai warga emas itu perlu mengharungi perjalanan jauh ke tapak perniagaannya di sekitar Pantai Dalam, Kuala Lumpur dari kediaman flat dekat Meru, Klang, Selangor.
Atas faktor kesihatan isterinya yang kurang mengizinkan, individu terbabit cekal memikul isterinya setiap hari walaupun menetap di tingkat empat.
Menerima bantuan ikhlas sebanyak RM550 dari seorang pempengaruh, wang itu menurutnya merupakan hasil kutipan derma daripada pengikut dan orang awam yang tampil prihatin atas nasib pasangan peniaga tersebut.
Di ruangan komen, rata-ratanya mendoakan agar individu terbabit dikurniakan kesihatan dan tidak kurang juga yang ikhlas mahu menghulurkan bantuan kepadanya.
"Semoga tuhan permudahkan urusan pak cik ni dan isterinya, cukupkanlah rezeki mereka dan lindungi kesihatannya agar sentiasa dalam rahmat mu ya ALLAH," kata Faju.
"Besar sungguh pengorbanan seorang suami, gigih niaga demi kesihatan isteri, jom ramai-ramai bantu lariskan jualan pak cik ni di pasar Pantai Dalam minggu ni," ujar LiezaHasni.
"Kuatnya pak cik ni, setia sungguh dengan isterinya walaupun dan terlantar sakit, insya-ALLAH ramai yang mendoakan dan sudi membantu ikhlas perniagaan mereka," tambah Wieza.
Meraih perkongsian lebih 10,000 di laman sosial, kisah itu nyata membuka mata ramai pihak tentang nilai pengorbanan dan kasih sayang insan bergelar suami walaupun diuji dengan dugaan kesihatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram