'Mereka bunuh semua impiannya, rai kematian anak saya', keluarga trauma, Ahmed Jazar ditembak tentera Zionis depan mata


  • Bonda
  • Rabu, 23 Jul 2025

Kematian Ahmed Jazar meninggalkan kesan mendalam pada keluarga dan seluruh penduduk Gaza. — Agensi

PENDUDUK Sebastia, sebuah bandar purba yang pernah menjadi tumpuan pelancong dan tapak ziarah di Tebing Barat, Palestin kini hidup dalam ketakutan berikutan kehadiran tentera Israel yang semakin agresif.

Setiap kali kenderaan tentera Israel menghampiri, berita tentang pencerobohan akan tersebar dengan pantas dan golongan muda bergegas pulang, berlindung di rumah demi keselamatan keluarga.

Disedari penduduk yang berada di kawasan tinggi, amaran awal kebiasaannya akan dilaungkan selepas deretan konvoi tentera dilihat mula berarak ke kawasan bandar.

Tentera Israel berkawal semasa serbuan di Jenin, Tebing Barat, Palestin yang diduduki zionis. — Agensi

Tragedi Ahmed Jazar

Pada Januari lalu, seorang remaja lelaki Palestin Ahmed Jazar, 14, ditembak mati oleh seorang askar Israel.

Insiden itu bukan sahaja meragut nyawa, malah turut mendedahkan sisi kejam tentera Zionis yang didakwa menembak tepat ke bahagian dada mangsa.

"Dia meraikan kematian anak saya," luah bapanya, Rashid yang menganggap Ahmed sebagai anak yang matang melebihi usia.

Bukan sahaja berbakat dalam seni lukis, malah bercita-cita membuka kedai hiasan sendiri untuk membantu keluarganya keluar dari kemiskinan.

Ibunya, Wafaa, tegas menyatakan bahawa anaknya dibunuh dengan cara yang sangat kejam walaupun tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Mereka bunuh semua impiannya, tentera layan kami seperti musuh perang, tapi kami tak buat apa-apa pun, anak-anak kami sepatutnya selamat jika duduk di rumah," katanya.

Ahmed Jazar dilaporkan meninggal dunia akibat ditembak tepat pada bahagian dada oleh tentera rejim zionis.— Agensi

Kehidupan selepas tragedi

Terkesan dengan kehilangan itu, Wafaa dan Rashid kini hanya mampu termenung dan mengenang nasib keluarganya di samping tujuh lagi anaknya yang lain.

Sejak 7 Oktober lalu, Rashid tidak lagi dibenarkan bekerja di Israel, menyebabkan keluarganya kini semakin terhimpit dengan isu kewangan.

"Saya izinkan anak saya keluar beli roti, tapi saya bawa dia pulang berlumuran darah.

"Saya temuinya dalam keadaan berlumuran darah, saya bawa dia sendiri ke hospital, tapi tak sempat diselamatkan," ujarnya.

Penduduk dibelenggu ketakutan

Sejak insiden tragis itu, keluarga Ahmed dan ramai lagi penduduk lain kini hidup dalam ketakutan.

Setiap kali berlakunya pencerobohan, kesemua penduduk akan bertindak mengunci pintu, mematikan lampu dan bersembunyi di dalam bilik bagi mengelak daripada sebarang keganasan.

"Sekarang, semua orang takut keluar rumah, tentera Israel datang setiap hari dan mereka tak teragak-agak untuk tembak budak-budak," kata Wafaa.

Kematian Ahmed bukan sekadar kehilangan nyawa, bahkan menjadi satu mesej yang menyedihkan buat seluruh warga Palestin yang kini berdepan risiko kematian bila-bila masa sahaja. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram