
BANJIR yang melanda tidak menghalang pasangan pengantin dari Filipina untuk melangsungkan perkahwinan mereka di Gereja Barasoain, Malolos pada Selasa.
Walaupun menyedari risiko cuaca buruk dan banjir akibat Taufan Wipha yang membadai negara itu minggu lalu, boleh menjejaskan majlis pernikahan, Jade Rick Verdillo dan Jamaica Aguilar memilih untuk meneruskan hari bersejarah mereka.
Bagi pasangan yang telah bersama selama 10 tahun itu, perkahwinan bukan hanya tentang cuaca baik, tetapi kesediaan mengharungi apa jua cabaran termasuk air hampir setinggi lutut.
BACA LAGI: Pengantin redah banjir ke majlis nikah di masjid Hulu Terengganu
BACA LAGI: Rumah naik air, pengantin baharu di Kedah turun agih makanan kenduri pada mangsa banjir
“Kami hanya kumpulkan keberanian yang mencukupi.
“Kami pilih hari ini kerana ia sendiri satu bentuk pengorbanan dan bimbang akan ada lebih banyak pengorbanan jika majlis ini ditangguhkan,” ujar Verdillo yang tampil bergaya dengan pakaian tradisional lelaki Filipina, Barong Tagalog.
Sementara itu, Aguilar turut mencuri perhatian selepas berjalan perlahan-lahan menuju ke altar dengan gaun pengantin putihnya yang terapung di atas bah.
Walaupun cuaca tidak mengizinkan, beberapa ahli keluarga dan rakan rapat tetap hadir menyaksikan ikrar cinta mereka berdua.
“Saya rasa cabaran dalam hidup tidak akan berakhir. Ini cuma satu ujian dan kami berjaya laluinya bersama,” kata Verdillo mengulas mengenai dugaan yang mereka tempuhi.
Jamaica (tengah) diiringi kedua ibu bapanya ketika majlis berlangsung di Gereja Barasoain pada Selasa. — Agensi
Salah seorang tetamu, Jiggo Santos menyifatkan majlis itu sebagai bukti bahawa cinta sejati mengatasi segala-galanya.
“Anda boleh lihat cinta menang, walaupun menentang cuaca, ribut, hujan dan banjir, majlis tetap diteruskan. Ia satu perkahwinan yang luar biasa,” ungkapnya.
Untuk rekod, Taufan Wipha, yang kini menurun status kepada ribut tropika teruk, telah menyebabkan hujan lebat dan banjir, mengorbankan lima nyawa serta memaksa ribuan penduduk berpindah di Filipina.
Sejak 20 Julai lalu, hujan lebat yang dikaitkan dengan monsun barat daya telah menjejaskan kawasan Luzon, Visayas dan sebahagian Mindanao, termasuk Metro Manila.
Di Vietnam, taufan itu dijangka membawa hujan sehingga 500 milimeter ke wilayah utara, dengan pihak berkuasa tempatan memberi amaran mengenai risiko banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan rendah dan pergunungan, menurut kenyataan itu lagi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram