Ramai wanita kini pertimbang pembekuan telur, bimbang kahwin lewat usia, haram hukumnya keluarkan ovum sebelum nikah


  • Bonda
  • Rabu, 23 Jul 2025

Prosedur pembekuan telur diharamkan dalam Islam bagi wanita yang belum berkahwin dan melakukannya bukan atas sebab perubatan.

DIFAHAMKAN, semakin ramai wanita khususnya yang berusia lewat 30-an dan masih bujang, kini mempertimbangkan untuk menjalani prosedur pembekuan telur atau egg freezing kerana bimbang berdepan kesukaran untuk hamil apabila bertemu jodoh pada usia lewat.

Topik itu menjadi perbualan hangat dalam kalangan pengguna media sosial, khususnya di platform Threads baru-baru ini.

“Saya baca Threads hari ini, ramai perempuan lewat 30-an nak bekukan telur sebab takut susah dapat anak apabila jumpa jodoh,” kata seorang pengguna, sheryllfatihah.

BACA LAGI: 'Tak mahu terlalu fokus TTC, kini lebih positif', wanita kongsi fasa pulih selepas keguguran

BACA LAGI: Haid teratur tiap bulan tak semestinya subur, berisiko hidap PCOS, sukar hamil — Pakar

Keinginan tersebut dilihat seiring dengan pengaruh selebriti wanita antarabangsa yang secara terbuka berkongsi pengalaman menjalani prosedur tersebut. 

Antara nama terkenal yang pernah mengaku melakukan pembekuan telur ialah pelakon Indonesia Luna Maya, penyanyi Selvi Kitty dan penyanyi kelahiran Amerika Syarikat, Paris Hilton.

Pembekuan telur merupakan prosedur perubatan yang mana telur (ovum) wanita diambil daripada ovari, dibekukan menggunakan teknik khas dan disimpan untuk digunakan pada masa akan datang, biasanya melalui rawatan persenyawaan tabung uji (IVF).

Pembekuan telur merupakan prosedur perubatan yang mana telur wanita diambil daripada ovari. — Agensi

Wanita memilih kaedah itu atas pelbagai sebab antaranya termasuk belum menemui pasangan hidup, ingin menumpukan perhatian pada kerjaya atau menghadapi isu kesihatan seperti kanser yang memerlukan rawatan agresif. 

Turut menjadi faktor adalah sejarah keluarga berkaitan kesuburan awal atau penyakit genetik.

Hukum dalam Islam

Di sebalik peningkatan minat terhadap teknologi pembekuan telur, ramai yang tidak sedar bahawa prosedur itu diharamkan dalam Islam bagi wanita belum berkahwin dan melakukannya bukan atas sebab perubatan.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Irsyad Hukum Siri ke-714 menjelaskan, mengeluarkan ovum sebelum perkahwinan untuk disenyawakan selepas bernikah adalah haram, sekalipun tujuan akhirnya adalah untuk kehamilan selepas berkahwin.

Fatwa tersebut menegaskan bahawa menjaga keturunan (hifz al-nasl) dalam maqasid syariah hanya dibenarkan melalui hubungan perkahwinan yang sah. 

Tambahan lagi, sebarang sangkaan bahawa seseorang akan lewat berkahwin atau mungkin tidak subur pada masa depan bukanlah alasan yang diterima syarak.

Proses pembekuan telur juga melibatkan pengeluaran ovum yang disamakan dengan perbuatan istimna’ iaitu mengeluarkan air mani atau benih secara sedar tanpa hubungan seks yang sah. 

Hal tersebut menimbulkan persoalan syarak yang lebih luas berkaitan adab dan batas dalam menjaga kesucian serta nasab.

Meskipun teknologi perubatan terus berkembang dan menawarkan pelbagai solusi kesuburan, umat Islam diingatkan agar sentiasa merujuk kepada panduan agama sebelum mengambil sebarang keputusan berkaitan tubuh dan masa depan keturunan.

Dalam kes pembekuan telur, para wanita khususnya yang belum berkahwin disarankan untuk mendapatkan pandangan pakar perubatan yang selaras dengan hukum syarak dan fatwa semasa sebelum meneruskan sebarang prosedur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram